Menghidu wap bunga cengkih tidak boleh rawat Covid-19, kata pakar perubatan

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Khamis 15/07/2021 pukul 05:47
  • Dikemas kini pada hari Khamis 15/07/2021 pukul 05:58
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Sebuah video telah ditonton ribuan kali di Facebook, YouTube dan TikTok, dengan dakwaan bahawa menghidu wap bunga cengkih boleh merawat Covid-19. Dakwaan itu adalah tak benar. Tidak ada bukti saintifik yang mengatakan bahawa menghidu wap bunga cengkih boleh merawat Covid-19, kata pakar perubatan kepada AFP.

Klip video tersebut dimuat naik pada 15 Mei 2021 di Facebook, di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 5,300 kali.

Klip tersebut menunjukkan sekumpulan lelaki sedang menghidu wap daripada peralatan yang diperbuat daripada periuk tekanan di kawasan dapur.

Kapsyen video tersebut berbunyi: “Wap bunga cengkih rawatan COVID19? Kes COVID di India turun mendadak sekarang. Mereka sedut wap bunga cengkih macam ini.”

Image
Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 14 Julai 2021

Video tersebut juga telah ditonton melebihi 2,400 kali selepas muncul dengan dakwaan yang sama di Facebook di sini dan sini, di TikTok di sini, dan di YouTube di sini.

Dakwaan serupa juga beredar dengan pelbagai klip video yang berlainan, di mana perakam video menunjukkan cara memasak bunga cengkih dan menghirup wap tersebut, contohnya di sini dan sini.

Dakwaan itu adalah tidak benar.

Ketika ditanya oleh AFP, Dr Jemilah Mahmood, penasihat khas kesihatan awam kepada perdana menteri Malaysia, mengatakan pada 11 Julai 2021: “Tiada bukti saintifik yang mengatakan ia adalah rawatan [bagi Covid-19], tetapi secara amnya, menghidu stim dengan menthol dan minyak bunga cengkih boleh melegakan kesesakan nafas dan membantu pesakit berasa lebih selesa, tetapi ia adalah cara memberikan kelegaan sementara.”

Dr Kelvin Yii, pengerusi jawatankuasa pilihan khas parlimen untuk sains, inovasi dan kesihatan, memberitahu AFP pada 11 Julai 2021 bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar.

“Antara isu yang boleh merebak dengan lebih cepat daripada penyakit itu sendiri adalah penyebaran maklumat salah dan juga sesetengah pihak yang mempermainkan kebimbangan dan ketakutan orang ramai terhadap penyakit ini untuk memperkenalkan rawatan alternatif atau penawar yang tidak berdasarkan fakta dan bukti perubatan,” kata beliau.

Video mengelirukan

Hasil carian imej terbalik menunjukkan bahawa video dalam catatan yang mengelirukan itu telah tersebar sejak sekurang-kurangnya September 2020 dalam pelbagai laporan, seperti ini dan ini, mengenai sebuah “stim bar” yang telah dibuka di Pune, bandar di barat negara India.

Alat-alat serupa juga turut dilaporkan di seluruh India semasa wabak dalam usaha untuk mencegah Covid-19, seperti di sini, sini dan sini.

Dr Faheem Younus, ketua jabatan penyakit berjangkit di University of Maryland Upper Chesapeake Health, berkongsi video itu pada 23 September 2020 dengan catatan dalam bahasa Inggeris, “Jangan jadikan ketakutan orang ramai sebagai perniagaan. Semua ini tidak berguna langsung.”

AFP telah menerbitkan beberapa laporan semakan fakta yang menyangkal dakwaan-dakwaan bahawa menghidu wap boleh mengelakkan atau merawat Covid-19, seperti di sini dan sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami