Seorang pekerja penjagaan kesihatan mengambil sebotol vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada 24 Ogos 2021, di pusat vaksinasi di Holon, Israel. ( AFP / Ahmad Gharabli)

Komen doktor Israel tentang vaksin Covid-19 diputarbelitkan dalam catatan media sosial

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 20/10/2021 pukul 05:31
  • Dikemas kini pada hari Rabu 20/10/2021 pukul 06:40
  • Durasi bacaan 5 minit
  • Oleh: Ede ZABORSZKY, AFP Singapura, AFP Malaysia
Rakaman seorang doktor Israel yang bercakap tentang vaksin Covid-19 telah ditonton dalam pelbagai hantaran media sosial yang mendakwa beliau mengkritik suntikan itu. Catatan-catatan tersebut mengelirukan. Video wawancara penuh telah disunting agar kelihatan seperti beliau berkata suntikan tidak berkesan. Doktor itu sebenarnya menggalakkan pemvaksinan dalam wawancara penuh itu.

Video tersebut disiarkan di Facebook di sini pada 8 Ogos 2021, dan telah ditonton melebihi 1,400 kali.

Klip itu memaparkan pelbagai petikan dari satu wawancara TV dengan doktor Israel, Kobi Haviv.

Keterangan hantaran Facebook yang mengelirukan itu berbunyi: "Dr. Kobi Haviv, di Chanel 13 di Israel hari ini: '95% pesakit yang sakit parah diberi vaksin. RAKYAT YANG DILENGKAPKAN SEPENUHNYA menyumbang 85-90% kemasukan ke hospital. Kami membuka lebih banyak wad COVID. Keberkesanan vaksin semakin berkurang atau beransur hilang.'"

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 14 Oktober 2021

Dakwaan serupa juga muncul beserta video atau tangkapan skrin wawancara TV itu di sini, sini dan sini.

Video dan dakwaan tersebut telah dikongsikan di beberapa platform lain, termasuk Twitter, Instagram, YouTube dan Reddit, dan juga dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol, bahasa Korea, bahasa Cina, bahasa Rusia, bahasa Turki dan bahasa Hungary.

Walau bagaimanapun, catatan-catatan tersebut mengelirukan.

Catatan-catatan tersebut salah memetik doktor itu, mengambil komen beliau di luar konteks dan meninggalkan konteks utama daripada wawancara penuh tersebut, di mana beliau menggalakkan vaksinasi Covid-19.

Konteks penting dihilangkan

Carian kata kunci mengesahkan bahawa lelaki dalam video tersebut ialah Dr Jacob "Kobi" Haviv, pengarah di Herzog Hospital di Jerusalem.

Rakaman yang dikongsikan di media sosial diambil daripada wawancara ini yang disiarkan pada 5 Ogos 2021, oleh Saluran 13 di Israel. Temu ramah Haviv Israel bermula dari tanda 5:09 di rakaman program itu.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asal dari Saluran 13 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asal dari Saluran 13 (kanan)

Dalam wawancara penuh, beliau menyokong vaksinasi Covid-19 dan menyalahkan lonjakan kes-kes di hospitalnya atas hakikat bahawa perlindungan yang diberikan oleh vaksin semakin lama semakin berkurang.

"Sayangnya, seperti yang kita dengar, keberkesanan vaksin semakin pudar. Itulah sebabnya saya berharap orang ramai akan mendengar seruan untuk dos vaksin ketiga dan bahawa vaksin ketiga akan membantu," katanya dalam bahasa Ibrani.

Seruan ini agar orang ramai mengambil dos penggalak tidak termasuk dalam klip yang dikongsikan di media sosial.

Kapsyen yang mengelirukan

Catatan-catatan tersebut mendakwa bahawa Haviv berkata "95% pesakit yang kritikal sudah divaksin." Namun begitu, beliau tidak mengucapkan kata-kata ini dalam video penuh mahupun yang disunting.

Beliau sebenarnya berkata, "Sebilangan besar warga tua sudah divaksinasi, sebahagian besar populasi telah divaksinasi, dan itulah sebabnya sekitar 90 peratus, 85-90 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital di sini adalah pesakit-pesakit yang sudah menerima vaksinasi lengkap."

Para pakar kesihatan telah menyatakan bahawa di tempat-tempat dengan kadar vaksinasi yang tinggi, dijangka bahawa sebilangan besar orang yang dimasukkan ke hospital dengan Covid-19 telah menerima suntikan tersebut, kerana masih ada risiko jangkitan bulus.

Tambahan lagi, catatan-catatan tersebut membuatnya seperti Haviv sedang menggambarkan keadaan vaksin Covid-19 secara umum, padahal sebenarnya beliau merujuk kepada hospitalnya sendiri.

Catatan-catatan itu mendakwa beliau berkata bahawa "85-90% daripada orang yang dimasukkan ke hospital adalah orang yang sudah lengkap vaksin", tetapi tidak memasukkan perkataan Ibrani "etslenu", yang bererti "di tempat kami".

Dengan cara yang serupa, catatan-catatan tersebut salah memetik Haviv sebagai berkata, "Kami akan membuka lebih banyak wad-wad COVID," walaupun beliau tidak berkata sedemikian.

Dalam versi penuh video itu, Haviv menjelaskan bahawa unit kedua yang dibuka untuk pesakit Covid-19 di hospitalnya sudah penuh. Beliau tidak berkata bahawa "lebih banyak" wad Covid akan dibuka, sama ada di hospitalnya atau di lokasi lain.

Petikan terakhir yang dikaitkan kepada Haviv mengenai keberkesanan vaksin Covid-19 "beransur hilang" hilang konteksnya.

Hantaran-hantaran tersebut mendakwa beliau berkata, "Keberkesanan vaksin semakin berkurang/beransur hilang".

Dalam wawancara penuh, beliau berkata dalam bahasa Ibrani, "Sayangnya, seperti yang kita dengar, keberkesanan vaksin semakin pudar. Itulah sebabnya saya berharap orang ramai akan mendengar seruan untuk dos vaksin ketiga dan bahawa vaksin ketiga akan membantu."

Suntikan ketiga

Israel melancarkan kempen untuk menawarkan suntikan vaksin Covid-19 ketiga kepada warga emas pada 30 Julai 2021.

Dalam pesanan video pada 18 Ogos 2021, Haviv berkata jumlah pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospitalnya semakin menurun dan mengaitkannya dengan kempen suntikan penggalak.

"Pada hujung minggu, kami mula melihat penurunan dan kami sangat berharap ia berkaitan dengan warga tua yang mendapatkan dos ketiga vaksin. Hari ini tidak ada keraguan, dos ketiga berfungsi," katanya dalam bahasa Ibrani.

Haviv telah menyokong vaksinasi Covid-19 dan satu foto beliau semasa beliau menerima vaksinasinya sendiri telah dimuat naikkan di sini di laman Facebook hospitalnya.

Pada 19 September 2021, Kementerian Kesihatan Israel berkata tiga juta warganegaranya telah menerima suntikan penggalak.

'Tidak bervaksin paling berisiko'

Sebilangan besar pesakit Covid-19 yang serius di Israel tidak divaksinasi.

Menurut data Kementerian Kesihatan Israel yang dipetik oleh akhbar Haaretz pada 1 Oktober 2021, 73 peratus pesakit Covid-19 yang sakit teruk tidak divaksinasi.

Pemberian vaksin di Israel yang bermula pada bulan Disember 2020 adalah antara yang paling cepat di dunia dan berjaya membawa angka kes jangkitan ke paras yang rendah menjelang Jun 2021, apabila semua sekatan pandemik dimansuhkan.

Tetapi lonjakan dalam jumlah kes sepanjang musim panas membuat para pakar sangsi sama ada ia disebabkan oleh varian Delta atau keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech yang semakin berkurang — satu-satunya vaksin Covid yang tersedia di Israel — lima bulan selepas suntikan kedua.

Beberapa minggu selepas pemberian suntikan ketiga bermula, jumlah kes yang teruk menjadi stabil.

Kementerian Kesihatan Israel berkata pada bulan Julai 2021 bahawa pihaknya telah melihat "penurunan ketara dalam keberkesanan vaksin" dalam mencegah jangkitan dan penyakit simptomatik.

"Penurunan ini telah diperhatikan serentak dengan penyebaran varian Delta di Israel," katanya.

"Walaupun begitu, vaksin tersebut mengekalkan kadar keberkesanan sekitar 93 peratus dalam mencegah penyakit serius dan kes kemasukan ke hospital."

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami