Gambar-gambar ini tersebar bertahun-tahun sebelum musim panas Kuwait yang melampau pada 2021

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 31/08/2021 pukul 04:51
  • Dikemas kini pada hari Selasa 31/08/2021 pukul 06:18
  • Durasi bacaan 6 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Lima foto telah dikongsi ribuan kali dalam catatan-catatan Facebook dan Twitter bersama-sama dakwaan mereka diambil semasa suhu melampau di Kuwait cecah sehingga 73 darjah Celsius pada bulan Julai 2021. Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar: semua gambar beredar bertahun-tahun sebelum musim panas Kuwait yang melampau pada tahun 2021. Menurut Pusat Meteorologi Kuwait, suhu tertinggi yang dicatatkan di negara itu setakat ini pada tahun 2021 adalah 53.5 darjah Celsius, bukan 73 darjah Celsius.

Lima gambar itu dimuat naikkan di Facebook di sini pada 5 Julai 2021, di mana ia telah dikongsi melebihi 210 kali.

Keterangannya berbunyi: "Kesan cuaca panas ekstrem yang melanda bandar kuwait. Cuaca 73°c sehingga boleh masak telur kat jalan raya."

Image
Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 31 Ogos 2021

Kelima gambar itu telah dikongsikan lebih daripada 690 kali setelah muncul dengan dakwaan serupa di sini, sini, sini dan sini.

Gambar-gambar itu telah dikongsikan lebih daripada 170,000 kali setelah dimuat naikkan dengan dakwaan serupa dalam bahasa lain, seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Itali di Facebook; serta dalam bahasa Turki dan bahasa Rusia di Twitter.

Gambar-gambar tersebut tersebar selepas Kuwait mencatat suhu yang sangat tinggi pada bulan Jun dan Julai 2021, seperti yang dilaporkan di sini dan sini.

Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut adalah tidak benar. Kesemua lima gambar itu wujud sebelum musim panas yang sangat terik di Kuwait pada tahun 2021.

Foto 1: kereta-kereta lebur

Gabungan carian imej terbalik di Google dan carian kata kunci di Facebook menemui gambar pertama kereta-kereta lebur yang diterbitkan dalam catatan Facebook ini, yang dimuat naik oleh seorang pengguna yang tinggal di Tucson, di negeri Arizona, Amerika Syarikat (AS), pada 20 Jun 2018.

Kapsyen catatan tersebut menyatakan: "Dari seberang jalan di mana kebakaran projek pembinaan perumahan pelajar berlaku semalam."

Foto-foto yang serupa tentang kereta-kereta lebur itu muncul dalam laporan berita tempatan mengenai kebakaran besar yang berlaku di tapak pembinaan perumahan pelajar di Tucson pada 20 Jun 2018, seperti di sini dan sini.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin foto pertama dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto Facebook asli dari tahun 2018 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin foto pertama dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto Facebook asli dari tahun 2018 (kanan)

Foto 2: telur di atas jalan raya

Carian imej terbalik di TinEye menjumpai foto kedua telah diterbitkan dalam laporan ini oleh surat akhbar Kuwait Al Watan pada 8 Jun 2014.

Laporan tersebut mengisahkan satu foto tentang percubaan menggoreng telur di jalan raya di Kuwait yang telah beredar di media sosial.

AFP mendapati bahawa gambar itu diambil berhampiran Menara Kuwait di Bandar Kuwait, seperti yang dilihat di sini dalam paparan jalan Google Maps.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin foto kedua dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto dalam laporan Al Watan (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin foto kedua dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto dalam laporan Al Watan (kanan)

Foto 3: tong sampah cair

Carian imej terbalik di Bing mendapati gambar ketiga, yang menunjukkan tong sampah cair, telah dimuat naikkan di Facebook laman web berita Maghribi, Chtoukapress di sini pada 21 Ogos 2019.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin foto ketiga dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar dari Chtoukapress (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin foto ketiga dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar dari Chtoukapress (kanan)

Foto 4: tangki air lebur

Carian imej terbalik Google pada gambar keempat, yang menunjukkan tangki air yang lebur, menemui bahawa ia telah diterbitkan di sini dalam laman Facebook saluran berita Iraq Hilla Street 40 pada 6 Julai 2018.

Gambar yang sama juga telah diterbitkan pada hari yang sama oleh seorang pengguna Twitter dari Iraq di sini.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin foto keempat dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar dari Hilla Street 40 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin foto keempat dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar dari Hilla Street 40 (kanan)

Foto 5: lampu isyarat cair

Carian imej terbalik Google menggunakan gambar terakhir, disusuli dengan carian kata kunci, menemui imej yang sama telah diterbitkan dalam laporan ini oleh akhbar dalam talian Kuwait, Sabr pada 1 Julai 2013.

Laporan tersebut bertajuk: "Dalam video, lampu isyarat Al-Eqaila telah cair".

Menurut laporan Sabr itu, foto viral lampu isyarat yang cair membuat orang ramai berspekulasi sama ada ia disebabkan oleh hari yang terlampau panas atau kualiti lampu isyarat yang buruk. Namun, ternyata ia disebabkan oleh api dari kenderaan yang terbakar di kawasan berhampiran.

Bangunan yang kelihatan di belakang lampu isyarat lebur itu padan dengan foto Pusat Beli-belah Al-Bairaq di Bandar Kuwait.

Tangkapan skrin Google Maps menunjukkan jarak di antara dua lokasi tersebut — dengan gambar-gambar bangunan dan lampu isyarat di atas peta ditambahkan oleh AFP:

Image
Tangkapan skrin jarak di antara dua lokasi itu di Google Maps

Foto-foto dari platform data lokasi Foursquare di sini, dan paparan jalan di Google Maps di sini dan sini menunjukkan sudut-sudut berbeza bangunan yang sama.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin foto kelima dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar dalam laporan Sabr (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin foto kelima dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar dalam laporan Sabr (kanan)

Suhu tertinggi di Kuwait

Data dari Jabatan Meteorologi Kuwait menunjukkan bahawa suhu tertinggi yang pernah dicatatkan di Kuwait ialah 54 darjah Celsius pada 21 Julai 2016 di Mitribah, sementara suhu tertinggi yang dicatatkan pada tahun 2021 ialah 53.5 darjah Celsius pada 1 Julai di Al Jarrah.

Berikut adalah tangkapan skrin dari laman web Jabatan Meteorologi Kuwait seperti yang diambil pada 28 Ogos 2021:

Image
Tangkapan skrin laman web Jabatan Meteorologi Kuwait

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami