Seorang pekerja kesihatan (kiri) menggunakan swab hidung untuk mengumpul spesimen untuk ujian PCR koronavirus di Buenos Aires, Argentina pada 28 Mei 2021 ( AFP / Juan Mabromata)

Agensi kesihatan AS tidak batal ujian PCR Covid-19

Pelbagai catatan media sosial mendakwa pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat membatalkan kebenaran untuk ujian-ujian PCR Covid-19 yang digunakan secara meluas kerana mereka tidak tepat. Dakwaan ini tidak benar. Satu agensi AS mengatakan perubahan yang diminta dalam kebenaran yang dipetik dalam beberapa catatan bukan disebabkan oleh prestasi yang buruk. Agensi yang lain mengatakan bahawa ia tidak membuat pengumuman sedemikian dan ujian PCR adalah "piawai emas" untuk diagnosis Covid-19.

Dakwaan itu tersebar secara meluas bersama dengan tangkapan skrin yang dimuat naikkan di sini di Facebook pada 29 Julai 2021.

Kapsyen itu berbunyi: "CDC dah stop penggunaan PCR test hujung tahun ini sebab ia tak boleh bezakan kobid dan flu. Satu dunia kena tipu. Bila orang awal2 cakap, dipanggil conspiracy theorist. Sekarang siapa yg tipu?!!"

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook, diambil pada 2 September 2021

CDC merujuk kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.

Dakwaan yang serupa dimuat naikkan di Facebook di sini, sini dan sini, serta artikel dalam talian di sini.

Dakwaan itu juga muncul dalam bahasa Inggeris di Instagram di sini, di Facebook di sini dan sini, dan di Twitter di sini, sambil memetik FDA, atau Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS.

Ujian PCR digunakan oleh pekerja penjagaan kesihatan di seluruh dunia untuk mengesan SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan Covid-19, dan telah menjadi sasaran maklumat yang salah sepanjang pandemik, seperti ini, ini dan ini.

Image
Ilmu sains di sebalik kaedah utama pengujian untuk novel koronavirus ( AFP / John Saeki)

Tangkapan skrin dalam catatan yang mengelirukan itu diambil dari pengumuman yang diterbitkan di laman web CDC di sini pada 21 Julai 2021.

Dalam pengumuman itu, CDC berkata pihaknya akan menarik balik permintaan untuk Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) ujian RT-PCR yang dibangunkannya pada permulaan pandemik, jelas jurucakap CDC, Jade Fulce.

Tetapi langkah itu bukan kerana masalah prestasi. Sebaliknya, permintaan untuk ujian CDC itu menurun selepas kemunculan prosedur yang lebih berteknologi tinggi, katanya.

Pengumuman itu menyatakan bahawa CDC "menggalakkan makmal untuk mempertimbangkan penggunaan kaedah multipleks yang dapat memudahkan pengesanan dan pembezaan virus SARS-CoV-2 dan influenza."

Fulce berkata agensi itu merujuk kepada ujian-ujian yang dapat mengenal pasti kedua-dua virus SARS-CoV-2 dan selesema pada masa yang sama, dan tidak bermaksud ujian sebelum itu menggabungkan kedua-duanya.

Pengumuman CDC itu adalah usaha untuk menghentikan hanya salah satu daripada pelbagai ujian untuk Covid-19 yang telah diluluskan.

Catatan-catatan yang mengelirukan tersebut mengulang balik dakwaan yang meragui penyakit Covid-19, yang mendorong naratif tidak sahih bahawa CDC menambahkan kes dan kematian selesema kepada yang berkaitan dengan koronavirus untuk membuat pandemik itu kelihatan lebih memudaratkan.

Jim McKinney, jurucakap FDA, memberitahu AFP pada 27 Julai 2021 bahawa ujian PCR dianggap cara terbaik untuk menguji Sars-CoV-2.

"FDA belum mengeluarkan pernyataan yang mempertanyakan kebolehpercayaan keputusan ujian PCR secara umum," katanya.

"Sehingga kini, FDA telah mengesahkan lebih daripada 300 ujian dan kit pengumpulan sampel untuk mendiagnosis Covid-19, yang kebanyakannya adalah ujian PCR. Ujian PCR secara umumnya dianggap sebagai 'piawai emas' untuk diagnosis Covid-19," tambah McKinney.

Ana Santos Rutschman, penolong profesor di Pusat Pengajian Undang-Undang Kesihatan, Universiti St Louis, mengatakan bahawa EUA dimaksudkan bersifat sementara.

"Pembatalan dengan sendirinya hanyalah cara teknikal untuk memberikan status yang berbeza kepada produk itu ... CDC menyokong jenis ujian yang berbeza, tetapi tidak mengatakan apa-apa mengenai ujian PCR" secara umum, kata Rutschman.

Jennifer Piatt, seorang penyelidik di Pusat Undang-Undang dan Dasar Kesihatan Awam di Universiti Negeri Arizona, bersetuju.

"Tidak ada apa dalam kenyataan CDC yang menunjukkan bahawa ujiannya menggabungkan Covid-19 dengan influenza, atau bahawa ujian PCR secara amnya melakukannya. Hujah-hujah sebaliknya menyalahartikan bahasa CDC," katanya.

Sebaliknya, "kenyataan itu hanya menunjukkan sokongan CDC untuk ujian-ujian yang dapat mengesan kedua-dua influenza dan Covid-19 untuk tujuan menjimatkan masa dan sumber," kata Piatt, yang juga merupakan peguam kanan Rangkaian Undang-Undang Kesihatan Awam.

Pelbagai laporan AFP yang membongkar dakwaan tidak benar mengenai ujian PCR boleh didapati di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami