Botol cuka beras di barisan pengeluaran di kilang Jiangsu Hengshun Group di Zhenjiang, di wilayah Jiangsu, China. ( AFP / Hector Retamal)

Sedut cuka tidak dapat rawat gejala Covid-19

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 13/10/2021 pukul 06:03
  • Dikemas kini pada hari Rabu 13/10/2021 pukul 07:29
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Pelbagai catatan yang dikongsi berulang kali di Facebook dan TikTok mendakwa bahawa menyedut cuka boleh merawat gejala Covid-19 dengan mengeluarkan kahak dari saluran udara pesakit. Dakwaan itu tak benar. Para pakar kesihatan berkata dakwaan itu "tidak berasas" dan kaedah tersebut "berpotensi membahayakan, baik secara langsung dan tidak langsung".

Dakwaan yang dimuat naikkan di Facebook di sini pada 21 Ogos 2021.

Ini kononnya pembuktian daripada bekas pesakit Covid-19.

Dakwan tersebut telah dikongsi lebih daripada 150 kali.

Sebahagian kapsyennya berbunyi: “Nak bagi tahu kawan2, kalau boleh jika kita kena covid tahap 3..jangan pergi lagi ke hospital, berubatlah cara tradisional dulu ... saya juga tahap 3 pergi hospital dgn kereta sendiri dan dimasukkan oksigen.

"Saya minta balik sebab ahli keluarga saya semua sakit dirumah. Alhamdulilah dibenarkan balik. Esoknya saya semakin teruk, nafas jadi tersekat sekat, tarik nafas hanya satu saat bila nak lepas hilang nafas macam bocor. Nak tarik kali kedua dah tercungap2..

"Teringat ada cuka makan di dapur. Saya tuang cuka makan kat tuala, pekup pada hidung, tarik nafas berkali2, pedih betul. Lepas tu pekup pulak tuala kat mulut, tutup hidung..tarik nafas melalui mulut, 3 kali tahan, rasa pedih, dan nak batuk dan ngilu kat peparu, tahan aja,, pastu lepaskan batuk sehabisnya, tarik nafas lagi..biar cuka tu masuk mulut..rasa terik, masam , lepas tu batuk..Alhamdulillah keluar kahak putih jernih banyak dari paru paru dan kerongkong..baru rasa lapang dan boleh bernafas..rupanya kahak putih tu ada virus covid yg menutup saluran pernafasan di paru paru kita..Alhamdulilah sekarang tak lagi rasa tersangkut, semput, penat dan susah bernafas.”

Image
Tangkapan skrin hantaran Facebook yang mengelirukan, diambil pada 17 September 2021

Dakwaan yang sama telah dikongsikan lebih 130 kali selepas ia muncul di Facebook di sini dan sini.

Video seorang lelaki yang membuat dakwaan serupa dikongsikan di Facebook di sini dan sini, dan di TikTok di sini.

Dakwaan itu tidak benar.

"Ia berpotensi memudaratkan, baik secara langsung dan tidak langsung" bagi pesakit Covid-19 untuk menyedut cuka, kata Dr Helmy Haja Mydin, seorang doktor yang pakar dalam perubatan pernafasan di Pantai Hospital Kuala Lumpur, kepada AFP pada 9 September 2021.

"Secara langsung: cuka mengandungi asid asetik, yang jika disedut boleh menghakis saluran udara, rongga mulut, esofagus, dan juga mata. Secara tidak langsung: ia menunda mendapatkan rawatan yang sesuai dan berpotensi mengancam nyawa," katanya.

Dr Anuradha P. Radhakrishnan, seorang doktor penyakit berjangkit di Hospital Selayang, di bandar Batu Caves, berkata melalui e-mel pada 3 September 2021: "Tidak berasas semua tanggapan bahawa cuka membantu dalam rawatan atau pencegahan Covid-19. Tidak ada data yang meyakinkan yang dapat dipercayai untuk menyokong dakwaan ini."

Health Desk, hab global untuk penyelidikan berasaskan bukti mengenai Covid-19 yang dicipta oleh organisasi bukan untung Meedan, menjawab dakwaan palsu itu di sini.

"Cuka, campuran asid asetik dan air, sedikit berasid. Jenis cuka yang berbeza boleh mengandungi bahan-bahan lain untuk rasa dan warna. Profesional perubatan menasihatkan waspada ketika membilas dengan bahan-bahan yang boleh merengsakan membran sensitif di dalam hidung, mulut dan tekak ...

"Terlebih membilas atau membilas dengan bahan-bahan yang kasar boleh menyebabkan kemudaratan daripada memberi faedah kesihatan. Pencuci hidung dan ubat kumur harus mengikuti panduan perubatan dan pergigian. Kaedah pencegahan dan rawatan Covid-19 harus mengikuti panduan perubatan dan kesihatan awam."

Sebelum ini, AFP telah membongkar pelbagai dakwaan tidak sahih berkaitan kaedah menyedut wap yang kononnya dapat menyembuhkan Covid-19, seperti di sini, sini, sini dan sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami