Seorang ahli terapi pernafasan di klinik bergerak memberikan satu dos vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 kepada seorang penduduk Los Angeles Timur pada 9 Julai 2021 di California. ( AFP / Frederic J Brown)

Keputusan Mahkamah Agung AS tidak mengizinkan orang yang divaksin untuk dipatenkan

Pelbagai catatan media sosial mendakwa satu keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) pada 2013 bermaksud bahawa orang yang diberi vaksin terhadap Covid-19 bukan lagi manusia secara sah dan oleh itu boleh dipatenkan. Dakwaan ini tak benar. Keputusan itu tidak menyebut vaksin, dan para pakar berkata mahkamah memutuskan bahawa tidak ada yang berlaku secara semula jadi, termasuk manusia, boleh dipatenkan.

Dakwaan tersebut dimuat naikkan di sini di Facebook pada 31 Julai 2021.

Sebahagian kapsyennya berbunyi: "Di AS, Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa orang yang divaksin di seluruh dunia adalah produk, barang yang dipatenkan, menurut undang-undang AS, bukan lagi manusia.

“Melalui vaksinasi DNA atau RNA yang diubahsuai, vaksinasi mRNA, orang itu tidak lagi menjadi manusia dan menjadi PEMILIK pemegang hak paten vaksinasi GEN yang diubah, kerana mereka mempunyai genom sendiri dan bukan lagi "manusia" (tanpa orang semula jadi), tetapi "trans-manusia", jadi kategori yang tidak ada dalam Hak Asasi Manusia.

“Kualiti orang semula jadi dan semua hak yang berkaitan hilang.

“Ini berlaku di seluruh dunia dan paten tertakluk kepada undang-undang AS.

“Sejak tahun 2013, semua orang yang diberi vaksin dengan mRNA yang diubahsuai GM adalah trans-manusia secara sah dan secara sah dikenal sebagai trans-manusia dan tidak menikmati hak asasi manusia atau negara lain, dan ini berlaku di seluruh dunia, kerana paten teknologi GEN-POINT berada di bawah bidang kuasa dan undang-undang AS, tempat mereka didaftarkan."

Image
Tangkapan skrin hantaran Facebook, diambil pada 24 September 2021

Catatan itu juga menyertakan beserta pautan dokumen Association for Molecular Pathology v. Myriad Genetics, Inc. dari laman sesawang Mahkamah Agung AS di sini.

Dakwaan serupa telah dikongsikan lebih daripada 90 kali setelah dimuat naikkan di Facebook di sini dan sini, dan di Telegram di sini.

Dakwaan yang serupa juga muncul dalam bahasa Inggeris di Instagram dan Facebook.

Namun dakwaan itu tak benar.

Kes Mahkamah Agung yang dirujukkan dalam dakwaan itu "tidak berkaitan dengan persoalan untuk menentukan siapa/apa ialah manusia dan apa yang bukan," kata Ana Santos Rutschman, pakar dalam undang-undang vaksin dan penolong profesor di Pusat Kajian Undang-Undang Kesihatan Universiti St Louis, kepada AFP.

"Tidak ada hubungan antara kes ini dan apa-apa dakwaan yang berkaitan dengan pemberian sebarang jenis vaksin, termasuk vaksin mRNA," juga tidak ada "kes atau undang-undang yang mengatakan bahawa selepas apa-apa jenis campur tangan perubatan (termasuk menerima vaksin) seseorang tidak lagi dianggap manusia untuk tujuan undang-undang," kata Rutschman.

Sebaliknya, Mahkamah Agung mendapati dalam Association for Molecular Pathology v. Myriad Genetics, Inc. bahawa segmen DNA manusia yang terasing tidak dapat dipatenkan.

Keputusan sebulat suara pada 13 Jun 2013 membatalkan hak eksklusif untuk menggunakan gen tetapi membolehkan syarikat-syarikat mempatenkan perkembangan mereka dalam DNA pelengkap sintetik.

Carian untuk keputusan mahkamah tersebut mendapati tidak ada sebutan perkataan "vaksin", dan kebenaran penggunaan kecemasan untuk vaksin mRNA Covid-19, iaitu Pfizer-BioNTech dan Moderna, datang lebih daripada tujuh tahun selepas kes itu diputuskan pada bulan Jun 2013.

Para pakar juga berulang kali menolak dakwaan yang tidak berasas bahawa vaksin mRNA dapat mengubah DNA manusia, seperti dilaporkan AFP di sini dan sini.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS berkata bahawa vaksin mRNA adalah bentuk imunisasi baru yang telah dirancang untuk "mengajar sel-sel kita bagaimana membuat protein — atau bahkan hanya sebahagian daripada sejenis protein — yang mencetuskan tindak balas imun di dalam badan kita."

CDC menambah lagi bahawa suntikan tidak dapat "mempengaruhi atau berinteraksi dengan DNA kita dengan apa cara sekalipun".

Jennifer Piatt, dari Pusat Undang-Undang dan Dasar Kesihatan Awam Universiti Negeri Arizona, memanggil dakwaan media sosial itu "tidak masuk akal" dan "salah nyata mengenai bagaimana vaksin berfungsi dan apa yang dinyatakan oleh kes mahkamah itu."

Pertama, "tidak ada kemungkinan untuk mengubah DNA manusia melalui vaksin Covid-19 seperti yang dicadangkan oleh catatan-catatan ini," kata Piatt, yang juga merupakan peguam kanan dengan Rangkaian Undang-Undang Kesihatan Awam.

Seterusnya, dakwaan-dakwaan tersebut cuba "memanipulasi bahasa keputusan Mahkamah Agung untuk berhujah bahawa manusia boleh dipatenkan. Itu tidak munasabah ... mereka melihatnya melalui lensa yang tidak ada pun dalam keputusan mahkamah."

Kes tersebut menyatakan bahawa apa sahaja yang berlaku secara semula jadi tidak layak mendapat hak paten, kata Piatt dan Rochelle Dreyfuss dari Sekolah Undang-undang Universiti New York.

"Tubuh anda tidak dapat dipatenkan," kata Dreyfuss, yang merupakan pakar undang-undang harta intelek.

"Mahkamah melihat sama ada sesuatu itu sebenarnya bersifat semula jadi, tetapi ia tidak pernah mengajukan pertanyaan, 'Adakah ini manusia?'" kata Dreyfuss, yang menggambarkan catatan-catatan media sosial tersebut sebagai "gila".

Pelbagai dakwaan yang tidak sahih mengenai vaksin telah tular di internet ketika negara-negara di seluruh dunia berusaha untuk mengimunkan populasi mereka terhadap Covid-19.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami