PDRM memberhentikan pemandu kenderaan untuk memeriksa dokumen perjalanan mereka di sekatan jalan raya di Kuala Lumpur pada 1 Jun 2021, semasa PKP di seluruh negara. ( AFP / Mohd Rasfan)

PDRM nafi catatan tidak benar kejadian samun guna senjata tersembunyi

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Isnin 20/12/2021 pukul 09:54
  • Dikemas kini pada hari Isnin 20/12/2021 pukul 10:59
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Satu dakwaan telah tersebar di media sosial yang memberi amaran bahawa pihak polis sedang menyiasat rentetan kejadian samun melibatkan penjenayah yang menggunakan senjata yang disembunyikan di sebalik kad nama. Dakwaan tersebut, yang telah beredar dalam talian sejak sekurang-kurangnya tahun 2014, tak benar. Polis Diraja Malaysia berkata ia tidak menerima sebarang laporan mengenai perompak yang menggunakan taktik sedemikian. Catatan-catatan yang mengelirukan tersebut juga mengongsikan foto-foto daripada dua kejadian yang tidak berkaitan dengan dakwaan itu.

Dakwaan dwibahasa itu, dalam bahasa Cina dan bahasa Malaysia, dimuat naikkan pada 4 November 2021 dalam catatan Facebook ini, di mana ia telah dikongsikan melebihi 300 kali.

Ia dikongsi bersama tiga imej berlainan; dua di antaranya melibatkan orang yang tercedera di bahagian mukanya.

Dakwaan itu berbunyi: “Tadi, menurut maklumat yang diterima daripada kawan polis trafik , sudah ada enam pemilik kereta membuat laporan polis, jika ada seseorang memegang kad nama dan mengetuk di tingkap kereta anda meminta arah. Sila jangan buka tingkap kereta anda, kerana terdapat pemotong diletakkan di bawah kad nama yang digunakan untuk mencakar muka mangsa dan merompak. Sila berhati-hati. Sila sampaikan mesej ini! Sila juga menghantar kepada mereka yang tidak memandu , demi rakan-rakan mereka yang memandu !”

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan yang diambil pada 24 November 2021

Dakwaan itu telah dikongsi tanpa imej-imej itu di sini dan sini di Facebook.

Kedua-dua imej orang tercedera itu muncul dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris di sini dan sini di Twitter.

Namun begitu, dakwaan itu tidak benar.

Dalam maklum balasnya kepada catatan-catatan yang mengelirukan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan siaran media ini pada 2 November 2021 di laman Facebook rasminya.

Kenyataan itu berbunyi: “Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu (1) sebaran maklumat melalui laman sosial dan aplikasi WhatsApp yang mendakwa terdapat individu yang mengetuk cermin pintu kereta sambil menghulurkan sekeping kad untuk bertanyakan arah.

"Pada masa yang sama, terdapat mata pisau (blade) di belakang kad tersebut digunakan untuk mencederakan mangsa sebelum melakukan samun. Turut ditularkan dua (2) keping gambar individu cedera yang didakwa mangsa dalam kejadian samun berkenaan.

“Hasil semakan mendapati, sebaran maklumat tersebut telah mula tular pada tahun 2014 dan ditularkan semula akhir-akhir ini oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab.

"PDRM mengesahkan tiada sebarang laporan polis berkaitan kejadian samun yang menggunakan modus operandi sedemikian. Wanita yang cedera adalah mangsa samun dalam kejadian yang berlainan. Manakala lelaki yang cedera pada bahagian muka adalah mangsa pergaduhan di sebuah pusat hiburan di luar negara.

"Orang ramai dinasihat untuk tidak mudah percaya dengan berita-berita yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya. Tindakan berkongsi atau menyebar berita-berita sedemikian akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat."

Dakwaan teks yang sama, dalam bahasa Inggeris, telah beredar di Singapura di Facebook pada tahun 2014 di sini dan tahun 2015 di sini

Pada masa itu, Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata tiada kes seperti itu telah dilaporkan, menurut artikel ini oleh The Straits Times, akhbar Singapura, yang diterbitkan pada 12 Februari 2014.

Foto-foto tidak berkaitan

Gambar pertama yang dikongsikan dalam catatan-catatan yang mengelirukan menunjukkan seorang wanita yang berdarah akibat kecederaan di muka.

Carian imej terbalik diikuti oleh carian kata kunci mendapati artikel berbahasa Cina ini, dari laman web Rojaklah, yang diterbitkan pada 14 Januari 2016.

Laporan tersebut mengenai kejadian rompakan di Johor Bahru yang dilaporkan kepada polis pada 13 Januari 2016.

Laporan itu tidak menyebut tentang sebarang pisau ataupun senjata dalam bentuk kad nama.

Berikut ialah tangkapan skrin artikel Rojaklah:

Tunjukkan Sembunyikan

Amaran kandungan

Image
Tangkapan skrin artikel Rojaklah, diambil pada 24 November 2021

Foto kedua menunjukkan seorang lelaki yang mukanya telah dikelar.

Carian imej terbalik diikuti dengan carian kata kunci mendapati artikel ini daripada laman web tabloid British The Daily Mail, Mail Online, yang diterbitkan pada 31 Disember 2014.

Laporan itu mengenai personaliti TV realiti Amerika yang dicederakan di sebuah kelab malam di Brooklyn, di bandar New York. 

Berikut ialah tangkapan skrin artikel Mail Online:

Tunjukkan Sembunyikan

Amaran kandungan

Image
Tangkapan skrin artikel Mail Online, diambil pada 24 November 2021

Foto ketiga ialah imej stok pisau bersaiz kad kredit, yang dijual sebagai alat utiliti poket.

Dakwaan yang sama telah dibongkar oleh Snopes, laman web semak fakta berpusat di Amerika Syarikat, pada 2016 di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami