Model ini tidak memegang Rekod Dunia Guinness kerana warna kulitnya

Imej seorang wanita berkulit gelap telah dikongsi ratusan kali setelah tersebar di Facebook dan Twitter dengan dakwaan bahawa perempuan itu ialah model bernama Nyakim Gatwech yang berada dalam Rekod Dunia Guinness kerana memiliki kulit paling gelap. Dakwaan itu tak benar. Jurucakap Rekod Dunia Guinness menafikan kewujudan rekod sedemikian. Ejen Gatwech turut mengesahkan bahawa dakwaan itu adalah palsu.

Foto yang menunjukkan seorang wanita yang sedang bergaya membaca akhbar untuk kamera telah dikongsikan di sini di Facebook pada 16 Mac 2021.

Image
Tangkapan skrin catatan menyesatkan, diambil pada 28 Disember 2021

Catatan itu mengatakan: "Siapa bilang hitam itu tidak menawan..ini bukan patung cendana ataw ukiran kayu..Nyakim Gatwech dari Sudan adalah antara model yg paling ngetop dibarat masakini.Tercatat dalam Guinness Book of World Record sebagai memiliki kulit paling gelap didunia...Black beauty yg rare ini juga dikenali dgn jolokan Queen of Dark.."

Foto itu telah dikongsikan lebih daripada 900 kali setelah beredar dengan dakwaan serupa sekurang-kurangnya sejak tahun 2020 di sini, sini, sini dan sini.

Imej itu juga muncul dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris di Facebook dan di Twitter.

Akan tetapi, dakwaan tersebut tak benar.

Foto model

Dalam temu bual dengan majalah Teen Vogue dan Cosmopolitan, Nyakim Gatwech, seorang model yang digelar "Queen of Dark" oleh peminatnya, berkata bahawa keluarganya berasal dari Sudan Selatan tetapi beliau dibesarkan di kem pelarian di Ethiopia dan Kenya sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat, di mana beliau kini menetap.

Carian imej terbalik menjumpai imej yang sama dimuat naikkan pada 6 Januari 2020 di akaun Instagram Gatwech yang disahkan di sini.

Hantaran itu diberi kapsyen berbahasa Inggeris yang berbunyi: "DIA TAJUK UTAMA SURAT KHABAR BACA SEMUA TENTANGNYA."

Guinness menafikan dakwaan

Apabila dihubungi oleh AFP pada 6 Disember 2021, perkhidmatan akhbar Rekod Dunia Guinness menafikan kewujudan rekod berdasarkan warna kulit.

"Sila maklum kepada mereka bahawa cerita ini tidak benar dan kami tidak memantau rekod ini atau sebarang rekod berdasarkan warna kulit," kata pejabat akhbar itu kepada AFP.

Rekod Dunia Guinness telah pun menyangkal dakwaan itu dalam ciapan yang dimuat naikkan pada 4 Mei 2020. Ciapan berbahasa Inggeris tersebut berbunyi: "Hi, ini tidak benar kerana ton kulit bukan sesuatu yang kami pantau."

Erodney Davis, ejen Gatwech, turut mengesahkan bahawa dakwaan itu adalah palsu.

"Ia tidak benar, ia adalah khabar angin. Guinness Book of World Records tidak menjejak ton kulit," katanya kepada AFP pada 7 Disember 2021.

Dakwaan serupa yang beredar dengan foto seorang model wanita berbeza telah dibongkar oleh AFP di sini.

AFP juga pernah membongkar catatan tidak sahih yang mendakwa satu gambar yang menunjukkan lelaki paling gelap dan lelaki yang paling putih di dunia.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami