The Merlion, mercu tanda ikonik Singapura, pada 24 Januari 2019. ( AFP / Theodore LIM)

Foto-foto lama beredar dalam catatan tidak sahih tentang wabak cacar monyet di Singapura

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari 12/07/2021 jam 09:47
  • Dikemas kini pada hari 13/07/2021 jam 10:23
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia, AFP Singapura
Dua foto telah dikongsi dalam pelbagai catatan di Facebook bersama-sama dakwaan yang mereka menunjukkan orang yang dijangkiti cacar monyet di Singapura. Catatan-catatan tersebut seterusnya mendakwa bahawa tercetusnya wabak cacar monyet yang baru pada tahun 2021. Dakwaan itu tidak benar: foto-foto tersebut telah beredar dalam talian dalam laporan mengenai cacar monyet di Nigeria sejak sekurang-kurangnya 2018.  Sehingga 13 Julai 2021, tidak ada laporan rasmi mengenai wabak cacar monyet di Singapura.

Tangkapan skrin sebuah laporan dalam talian telah dikongsikan dalam catatan Facebook ini pada 15 Mei 2021.

Image
Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 29 Jun 2021

Keterangannya tangkapan skrin itu berbunyi: “Hati2 Cacar Monyet sdh masuk ke Batam.”

Batam merupakan sebuah pulau Indonesia berhampiran Singapura.

Tangkapan skrin tersebut juga dikongsikan dalam kumpulan Facebook di Malaysia, seperti di sini, sini dan sini.

Gambar yang sama beredar dengan dakwaan yang serupa dalam bahasa Cina dan bahasa Indonesia.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar.

Laporan yang ditunjukkan dalam catatan-catatan yang mengelirukan berasal dari tahun 2019.

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, laporan yang ditunjukkan dalam tangkapan skrin tersebut bertajuk: “Lelaki Diuji Positif Untuk Cacar Monyet di Singapura, 23 Orang Dikuarantin Selama 21 Hari.”  

Ia diterbitkan di sini pada 10 Mei 2019 oleh laman web berita World of Buzz.

Kes cacar monyet itu juga dilaporkan oleh Channel NewsAsia pada 9 Mei 2019. 

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) memberitahu AFP pada 29 Jun 2021 bahawa "tidak ada kes cacar monyet yang disahkan yang diberitahu kepada MOH sejak kes import yang lalu pada tahun 2019".

MOH Singapura memantau penyakit berjangkit di negara itu di sini.

Imej-imej lama

Salah satu foto-foto itu, yang menunjukkan kaki seseorang, telah digunakan sebagai ilustrasi dalam laporan ini mengenai cacar monyet di Nigeria. Ia diterbitkan oleh saluran media yang berpusat di Amerika Syarikat (AS), Face2Face Africa pada 17 Mac 2018.

Foto yang selebihnya, yang menunjukkan tangan seseorang, muncul dalam laporan ini yang diterbitkan oleh jurnal Emerging Infectious Diseases pada bulan Jun 2018.

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, judul laporan itu berbunyi: "Kemunculan Semula Cacar Monyet Manusia di Nigeria, 2017".

Keterangan gambar itu berbunyi: "Ruam papulopustular pada tangan (A) ... pesakit yang dijangkiti cacar monyet."

AFP pernah membongkar dakwaan mengelirukan tentang kes cacar monyet di Singapura pada tahun 2019.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami