Bagaimana kami bekerja

Menyiasat maklumat salah yang tular dan berbahaya

Penyemak fakta AFP berusaha untuk menyiasat dakwaan meragukan yang tersebar dalam talian yang tular, memberi kesan dan berpotensi membahayakan orang ramai. Tuntutan yang kami sahkan muncul dalam pelbagai cara, termasuk pada platform media sosial, blog dan tapak web, aplikasi pemesejan dan forum lain di ruang awam.

Kami mengenal pasti dakwaan yang ingin kami siasat dengan menilai sama ada semakan fakta adalah untuk kepentingan awam dan sama ada kami akan dapat mengumpul bukti yang jelas dan mencukupi untuk menafikan dakwaan atau tuntutan khusus yang dibuat. Pasukan penyemak fakta AFP mengesahkan fakta, bukan pendapat atau kepercayaan. Jika kami tidak dapat mewujudkan bukti dan semakan silang yang kukuh, kami tidak akan menerbitkan semakan fakta.

Kami memberi perhatian khusus kepada maklumat salah yang boleh membahayakan kesihatan atau nyawa orang ramai, memusnahkan proses demokrasi, atau mempromosikan ucapan kebencian dan perkauman.

Kami menggunakan pendekatan penyiasatan dan piawaian bukti yang sama tanpa mengira siapa yang telah membuat tuntutan dan kami tidak menumpukan pada mana-mana satu calon, parti atau laman web. Walau bagaimanapun, kami mungkin menghasilkan lebih banyak semakan fakta pada sumber yang konsisten penyebar maklumat salah yang berpotensi berbahaya. Anda boleh membaca lebih lanjut mengenai piawaian etika yang menyokong komitmen AFP terhadap kesaksamaan dan kebebasan di sini.

Sumber terbuka

Semakan fakta kami adalah berdasarkan bahan sumber utama bukan partisan yang dikumpul oleh wartawan pemeriksa fakta kami, termasuk bahan yang disahkan melalui arkib AFP sendiri dan kerjasama dengan wartawan AFP di seluruh dunia yang bekerja di lapangan. Kami juga bercakap dengan pakar dan memetik mereka dalam semakan fakta kami, mengenal pasti untuk siapa mereka bekerja, bidang kepakaran mereka dan sebarang konflik kepentingan yang mungkin mereka ada. Kami memerlukan sekurang-kurangnya dua sumber maklumat bebas untuk mengesahkan tuntutan pusat semakan fakta.

Kami berhasrat untuk menunjukkan secara telus langkah yang kami ambil sepanjang proses pembongkaran dengan memasukkan pautan, benam, tangkapan skrin, gambar dan bukti arkib yang telah kami gunakan untuk mencapai kesimpulan. Matlamat kami adalah untuk pembaca memahami cara penyiasatan dijalankan dan dapat mengikuti langkah yang sama dengan sendiri.

Sebagai peraturan umum, AFP tidak menggunakan sumber tanpa nama dalam semakan faktanya. Mungkin terdapat kes luar biasa di mana keselamatan sumber terancam dan maklumat yang mereka berikan adalah perlu untuk laporan semakan fakta dan telah disokong oleh sumber terbuka lain.

Jika mana-mana elemen tuntutan yang sedang disiasat adalah benar, kami akan akui dalam semakan fakta kami, disokong oleh bukti.

Alat dan pendekatan

Kami menggunakan kemahiran kewartawanan tradisional dan beberapa alat mudah, pemikiran yang wajar dan pendekatan yang berhati-hati.

Contohnya, jika kami percaya imej telah dimanipulasi atau dipersembahkan di luar konteks, kami mencari imej asal dan cuba bercakap dengan jurugambar atau subjek untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya. Atau jika kami melihat tuntutan yang membentangkan data untuk menyokong hujah, kami akan mencari sumber asal dan bercakap dengan pakar untuk mendapatkan pandangan termaklum mereka tentang statistik yang dibentangkan dalam tuntutan itu.

Kami menggunakan alat arkib, seperti Wayback Machine atau Perma CC, untuk mengelakkan peningkatan klik pada maklumat palsu dan untuk menyimpan rekod sekiranya siaran kemudian berubah atau hilang.

Di bawah ialah langkah kaedah yang kerap kami gunakan dalam penyiasatan kami:

Mencari imej

Banyak maklumat palsu melibatkan imej lama yang diambil di luar konteks.

Untuk mengesan sumber imej, kita mulakan dengan carian imej terbalik, memasukkan gambar dalam satu atau beberapa enjin carian untuk melihat sama ada ia telah muncul dalam talian sebelum ini.

Klik kanan pada gambar pada pelayar Google Chrome memberikan pilihan “cari imej dengan Google”. Enjin carian akan mencari pangkalan datanya untuk melihat sama ada terdapat imej serupa dalam indeksnya.

Kami kerap menggunakan dan mengesyorkan sambungan pelayar kami, iaitu InVID/WeVerify. Selepas dipasang, dengan hanya klik kanan pada imej, sambungan pelayar itu memberi anda pilihan enjin carian imej termasuk Google, Bing, Yandex, TinEye dan Baidu.

Carian terbalik tidak selalu memberikan hasil, sama ada kerana imej tidak pernah diterbitkan di internet atau kerana ia belum diindeks. Kadangkala, enjin carian imej terbalik boleh dikelirukan dengan imej yang telah diterbalikkan, seperti yang kami temui dalam laporan ini tentang bekas perdana menteri Jepun.

Oleh itu, kami juga memerhatikan petunjuk visual (seperti papan tanda kedai, papan tanda jalan, seni bina, tumbuh-tumbuhan, plat lesen) untuk mencari lokasi atau tarikh imej.

Sebagai contoh, dalam penyiasatan ini, seperti dilihat di bawah, kami mengesahkan lokasi foto diambil di Hospital Kuala Lumpur dengan membandingkan butiran dan tanda seni bina dalam foto (kiri) dengan Google Street View (kanan).

 
Image
Désactivé

Gambar atau video sahaja tidak cukup menjadi bukti atas sesuatu kenyataan. Kami juga perlu menyemak koheren gambar dengan maklumat lain seperti tarikh ia diterbitkan dan butiran di dalamnya seperti keadaan cuaca.

Apabila menyemak gambar yang mengelirukan, kami cuba sedaya upaya untuk mendapatkan fail asal untuk menentukan jika gambar tersebut telah diubah.

Menyiasat video

Untuk menganalisis video, kami juga menggunakan sambungan pelayar InVID/WeVerify, yang dikembangkan bersama oleh AFP. Alat ini membolehkan kita memotong rakaman video kepada lakaran kecil (thumbnail) dan kemudian menjalankan carian terbalik atas imej yang sama. 

 
Image
Désactivé

La juga boleh membantu jika anda mengesyaki imej yang diduga telah diterbalikkan, kerana sambungan membolehkan anda membalikkannya kembali.

Mencari dan mengesahkan ulasan dan data

Salin dan tampal perenggan teks ke dalam enjin carian selalunya boleh mendedahkan jika ia telah disebarkan dalam talian.

Jika komen dikaitkan dengan seseorang, kami akan mencari sumber yang boleh dipercayai (rakam audio atau video, transkrip rasmi), dan menyemak akaun dalam talian orang tersebut untuk pengesahan selanjutnya. Kami juga akan menghubungi orang tersebut untuk mengesahkan kenyataan mereka.

Apabila berurusan dengan data kuantitatif, kami akan mencari kajian asal dan metodologinya dan bercakap dengan pakar yang merupakan pengarang kajian asal atau pakar yang mempunyai rekod prestasi penyelidikan dalam bidang yang sama untuk mengesahkan sama ada data tersebut disalah ertikan dalam tuntutan dalam siasatan.  

Kami selalunya menangani topik yang bukanlah kemahiran kami. Dalam hal seperti ini, kami bekerjasama dengan wartawan AFP yang mempunyai kemahiran di dalam subjek, daerah atau bahasa yang khusus. Kami bekerjasama dengan jaringan semakan fakta AFP di pelbagai negara untuk mengesahkan aspek tuntutan yang mungkin berkaitan dengan wilayah mereka.

Pemeriksaan silang maklumat

Jika imej atau maklumat tersebar di dalam internet meragukan -- terutamanya jika ia tidak menyertakan sumber yang boleh dipercayai -- langkah pertama adalah untuk mengkaji komen tersebut. Kemungkinan besar ada komen yang memberikan maklumat yang berlawanan atau menanyakan kebenaran pos tersebut.

Jika seseorang atau organisasi disebut dalam pos tersebut, kami menghubungi mereka untuk mendengar versi mereka. Jika sesuai dan mungkin, kami menghubungi sumber tuntutan yang sedang disiasat untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Jika terbitan yang dipersoalkan berdasarkan gambar atau video, kami mencari gambar lain dari kejadian yang sama sebagai perbandingan. Kami juga menghubungi pemilik gambar untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Tidak terbatas pada internet

Untuk sesetengah semakan fakta, carian di dalam talian dan telefon tidak mencukupi. Kadang-kadang -- seperti hal kewartawanan secara umum -- penyemakan secara langsung diperlukan.

Apabila sesuatu boleh disahkan secara langsung, kami akan menghantar wartawan kami untuk menyiasat dengan mata dan telinga mereka sendiri. Kami juga bekerjasama dengan wartawan AFP yang membuat liputan berita di seluruh dunia.

Sebagai contoh, apabila pihak berkuasa Rusia mendakwa pada April 2022 bahawa video yang menunjukkan jalan yang berselerak dengan lebih daripada sedozen mayat di bandar Bucha, Ukraine telah dipentaskan, wartawan AFP yang telah mendokumentasikan tempat kejadian itu sendiri mengesahkan kepada pasukan pemeriksa fakta bahawa mayat-mayat itu sebenarnya tidak bergerak dan menunjukkan tanda-tanda telah mati selama beberapa hari.

Penyuntingan dan penilaian

Wartawan kami berhubung dengan editor serantau sepanjang proses menghasilkan semakan fakta. Editor membincangkan dakwaan dan cadangan semakan fakta dengan wartawan, menilai dan menerangkan bukti yang diperlukan, serta menyunting artikel sebelum diterbitkan.

Semakan fakta yang diterbitkan di blog AFP membawa penarafan untuk menunjukkan kepada pembaca kesimpulan setiap penyiasatan. Penilaian adalah sama ada sebahagian daripada imej pengepala di bahagian atas artikel, seperti yang ditunjukkan di bawah, atau dijelaskan dalam pengenalan semakan fakta.

 
Image
Désactivé

Istilah yang kami gunakan ialah: 

  • Tak Benar -- Kami menyatakan kandungan adalah tak benar apabila pelbagai sumber yang dipercayai menafikannya.
  • Benar -- Kami menyatakan sesuatu kandungan adalah benar apabila pelbagai sumber yang dipercayai telah mengesahkan maklumat itu adalah sahih.
  • Mengelirukan -- Kami menyatakan kandungan mengelirukan apabila ia termasuk maklumat tulen (teks, foto atau video) yang telah dialih keluar daripada konteks atau bercampur dengan konteks palsu.
  • Foto Diubah -- Apabila foto telah dimanipulasi untuk menipu.
  • Video Diubah -- Apabila video telah dimanipulasi untuk menipu.
  • Hilang Konteks -- Apabila tuntutan mempunyai beberapa unsur kebenaran tetapi mungkin menipu tanpa maklumat lanjut.
  • Satira -- Apabila dakwaan adalah palsu dan berpotensi untuk memperdaya tetapi mungkin pada asalnya tidak bertujuan untuk menipu (contoh, jenaka, parodi).
  • Olok-olok (Hoax) -- Apabila imej atau kejadian telah direka.
  • Deepfake -- Apabila rakaman video atau audio telah dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan untuk mencipta rekaan yang kelihatan nyata.

Butiran lanjut tentang proses semakan fakta dan garis panduan editorial kami boleh didapati dalam FactChecking Stylebook AFP

 

Perkongsian dengan platform dalam talian

Program Meta

Sebagai sebahagian daripada program Semakan Fakta Pihak Ketiga Meta, kami menganggap siaran yang diketengahkan di Facebook dan Instagram sebagai sebahagian daripada bahan yang kami siasat. Laporan semakan fakta kami muncul pada siaran yang telah kami nilaikan sebagai tak benar, sebahagiannya tak benar atau hilang konteks.

WhatsApp

Pasukan pemeriksa fakta kami yang bekerja di Brazil, Mexico, Amerika Syarikat (dalam bahasa Sepanyol), India, Jerman dan Perancis mengendalikan nombor tipline WhatsApp yang melaluinya orang ramai boleh mengemukakan kemungkinan tuntutan untuk siasatan lanjut.

Alat Claim Review

AFP menggunakan alat Claim Review dalam artikel semakan faktanya. Ini membolehkan enjin carian, seperti Google dan Bing, membentangkan artikel semakan fakta dengan mudah sebagai tindak balas kepada carian untuk tuntutan tertentu.

Butiran lanjut tentang perkongsian dan pembiayaan kami boleh didapati di sini.