Aplikasi rangkaian sosial Facebook, Instagram dan WhatsApp seperti yang dilihat pada skrin telefon pintar. ( AFP / Kirill Kudryavsev)

Penggodam remaja China bukan sebab Facebook tergendala

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai hantaran media sosial mendakwa penggendalaan global yang menyebabkan Facebook di luar talian selama lebih daripada enam jam pada 4 Oktober adalah hasil kerja seorang penggodam remaja China. Dakwaan itu tak benar. Facebook mengatakan krisis itu disebabkan oleh ralat dalaman, bukan aktiviti berniat jahat. Sebuah foto budak lelaki yang dikongsi dalam catatan-catatan yang mengelirukan tersebut menunjukkan seorang remaja berusia 12 tahun yang berucap bercakap pada persidangan keselamatan internet di Beijing pada tahun 2014 setelah menggodam sistem komputer sekolahnya.

Satu catatan Facebook yang dimuat naikkan pada 5 Oktober 2021 di sini berkapsyen: "Yang menyebabkan kamunda dpt masuk Fb, Wasap san insta mlm kelmarin tu hanyalah perbuatan seorang budak berumur 13 tahun."

Catatan itu sudah dikongsikan lebih daripada 120 kali. 


 

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 12 Oktober 2021

Catatan yang mengelirukan tersebut mengongsikan tangkapan skrin catatan Facebook dalam bahasa Inggeris.

Tangkapan skrin itu menampilkan foto seorang budak lelaki berkaca mata.

Diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia, catatan berbahasa Inggeris itu berbunyi: "Penggodam China yang menggendalakan Facebook, WhatsApp, Instagram di seluruh dunia. Budak lelaki berusia 13 tahun itu, Sun Jisu, yang menggodam ketiga-tiga laman web itu dan juga menyebabkan para pekerja Facebook dihalang daripada memasuki ibu pejabat institusi global itu selepas melumpuhkan portal elektronik dan menyebabkan kerugian ekonomi dianggarkan bernilai berbilion dolar di seluruh dunia."

Facebook di luar talian selama lebih daripada enam jam pada 4 Oktober 2021 dalam satu penggendalaan global yang turut melanda platform-platform lainnya, iaitu Instagram dan WhatsApp.

Foto itu juga dikongsikan dengan dakwaan serupa di sini, sini dan sini.

Catatan-catatan mengelirukan yang serupa dikongsikan di media sosial dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Indonesia, bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Amhara, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol and bahasa Hausa

Dakwaan itu juga muncul di Twitter di sini dan sini

Sebilangan catatan tersebut mendakwa berita penggodaman remaja dari China itu dilaporkan oleh agensi berita Reuters.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar. 

Penjelasan Facebook

Carian kata kunci tidak menemui sebarang laporan oleh agensi berita Reuters atau mana-mana media lain yang boleh dipercayai yang menyalahkan penggendalaan Facebook kepada seorang penggodam dari negara China.

Dalam satu kenyataan pada 4 Oktober 2021, Facebook berkata bahawa "tidak ada aktiviti berniat jahat di sebalik penggendalaan ini - punca utamanya adalah perubahan konfigurasi yang tidak betul oleh pihak kami."

Dalam kenyataan berasingan pada 5 Oktober 2021, syarikat media sosial gergasi itu menyatakan bahawa penggendalaan tersebut "bukan disebabkan oleh aktiviti berniat jahat, tetapi kesilapan perbuatan kita sendiri". 

Penggodam dari China

Hasil carian imej terbalik mendapati foto budak lelaki itu muncul dalam artikel ini oleh ECNS, portal berbahasa Inggeris Perkhidmatan Berita China, sebuah agensi berita yang dikendalikan oleh kerajaan negara China, pada 28 September 2014.  

Tangkapan skrin artikel ECNS

Kapsyen foto itu berbunyi: "Wang Zhengyang, penggodam termuda di China, menghadiri dan berucap di Persidangan Keselamatan Internet China 2014 di Bejing pada 24 Sep 2014."

Laporan itu menyatakan: "Budak lelaki berusia dua belas tahun Wang Zhengyang telah menjadi satu sensasi pada Persidangan Keselamatan Internet China di Beijing, sebagai penggodam termuda di negara ini.

"Dia memulakan perjalanannya dengan menggodam sistem sekolahnya untuk mengelakkan daripada menghabiskan masa untuk kerja rumahnya."

Foto-foto Wang, yang pada masa itu merupakan pelajar tahun pertama di Sekolah Menengah Universiti Tsinghua, berucap di Persidangan Keselamatan Internet China di Beijing pada bulan September 2014, juga diterbitkan oleh saluran media China yang lain di sini dan sini

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin gambar dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar dalam artikel ECNS (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin gambar dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar dalam artikel ECNS (kanan)

Logo pada mikrofon dalam gambar itu sepadan dengan logo Persidangan Keselamatan Internet China, yang berlangsung dari 24 hingga 25 September 2014.