Video ini menunjukkan kemalangan kereta maut di Rusia pada tahun 2014

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video kenderaan terbakar telah ditonton ratusan ribu kali di Facebook, Twitter dan YouTube bersama dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan kemalangan kereta yang mengorbankan pelukis Sweden Lars Vilks, yang melukis kartun kontroversial menggambarkan Nabi Muhammad, pada Oktober 2021. Dakwaan tersebut tak benar. Video itu telah beredar dalam pelbagai laporan berita mengenai kemalangan jalan raya yang membawa maut di Rusia pada tahun 2014.

Video berdurasi lima minit itu dikongsikan pada 7 Oktober 2021 di sini di Facebook, di mana ia telah ditonton lebih daripada 351,000 kali.

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 13 Oktober 2021

Sebahagian kapsyennya berbunyi: "Iblis Sweden ini memanggil Lars Vilks ... yang telah melukis kartun Nabi Suci (محمد ) dibakar hingga abu bersama-sama dengan dua Pengawal Polisnya."

Kartunis berumur 75 tahun itu, yang hidup di bawah perlindungan polis selepas berdepan ugutan bunuh susulan lukisan Nabi Muhammad yang dihasilkannya pada tahun 2007, maut dalam nahas kereta pada 3 Oktober 2021.

Video itu telah ditonton lebih daripada 11,800 kali setelah dimuat naikkan dengan dakwaan serupa di sini, sini dan sini.

Video tersebut tersebar di Facebook, YouTube dan Twitter di seluruh dunia, termasuklah di Indonesia, Bangladesh, India, Pakistan dan Nigeria.

Namun begitu, dakwaan tersebut tak benar.

Gabungan carian imej terbalik dan kata kunci mendapati video yang lebih panjang yang dimuat naikkan di sini di saluran YouTube bernama "Kemalangan trafik dan jalan raya kecemasan Udmurtia" pada 22 September 2014.

Tajuk video berbahasa Rusia itu berbunyi: "(PERHATIAN 18+) 21/09/2014 Akibat kemalangan Izhevsk-Mozhga, 9 buah kereta. (amaran: bahasa kesat)".

Izhevsk dan Mozhga adalah dua bandar di Republik Udmurt, atau Udmurtia, di Rusia.

Bahagian video yang kelihatan dalam catatan-catatan yang mengelirukan bermula pada tanda 2:03.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube dari tahun 2014 (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube dari tahun 2014 (kanan)

Portal berita Izhlife, yang berpusat di Izhevsk, memuat naikkan sebahagian daripada video itu di YouTube pada 22 September 2014.

Klip itu juga muncul dalam artikel Izhlife ini dari 25 September 2014, yang bertajuk: "Isteri seorang penduduk Izhevsk yang terbakar di dalam kereta: anak perempuan bongsu mungkin bersamanya."

"Pada 21 September, seorang penduduk Izhevsk yang berusia 39 tahun, Sergei Knyazev, terbakar hidup-hidup di dalam keretanya," artikel itu berbunyi. "'Nombor tujuh' miliknya hancur dalam kemalangan tersebut, lelaki itu terhimpit di dalam kabin. Saksi kemalangan itu cuba menyelamatkan lelaki itu, memadamkan api kereta, tetapi gagal."

"Nombor tujuh" adalah gelaran yang diberikan kepada kereta Lada 2017, buatan Rusia.

Video itu juga diketengahkan dalam laporan mengenai kemalangan itu oleh penyiar Rusia REN TV di sini dan laman berita Rusia Fontanka di sini.