Para sukarelawan mandi di pangkalan sementara mereka di daerah Taungoo di wilayah Bago, Myanmar pada 6 Ogos 2021. ( AFP / Ye Aung Thu)

Mandi pada waktu malam bukan sebab air masuk ke dalam paru-paru

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.
 

Dakwaan bahawa mandi pada waktu malam akan menyebabkan air masuk ke dalam paru-paru telah dikongsikan puluhan ribu kali di Facebook. Dakwaan itu palsu. Mandi malam tidak menyebabkan air masuk ke dalam paru-paru, kata para pakar kesihatan. 

Dakwaan itu dimuat naikkan pada 25 Ogos 2021 di Facebook di sini, di mana ia telah dikongsikan lebih daripada 8,200 kali.

Sebahagian daripada kapsyennya menyatakan: "3 WAKTU TIDAK DIGALAKKAN MANDI :

"1. 30 minit selepas solat Asar.
2. Selepas Maghrib.
3. Selepas Isyak sehingga 12 malam."

Tulisan selebihnya menjelaskan bahawa mandi pada waktu-waktu yang dikatakan akan menyebabkan "badan menjadi letih dan penat", "jantung mulai lemah" dan "paru-paru boleh dimasuki air".

Tiga waktu solat itu kebiasaannya berlangsung antara jam 4 petang dan jam 8 malam.

Tangkapan skrin siaran Facebook mengelirukan, diambil pada 20 Oktober 2021

Dakwaan tersebut, yang telah beredar sekurang-kurangnya sejak 2018, telah dikongsikan lebih daripada 23,000 kali setelah muncul di sini, sini, sini dan sini.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tak benar.

'Paru-paru berair'

Dr Helmy Haja Mydin, seorang doktor pakar dalam perubatan pernafasan di Hospital Pantai Kuala Lumpur, memberitahu AFP melalui e-mel: "Perlu diperhatikan bahawa paru-paru berair bermakna perkara yang lain kepada orang yang berbeza.

"Bagi sesetengah orang ia adalah pneumonia (biasanya disebabkan oleh jangkitan); bagi yang lain, ia adalah edema pulmonari (biasanya disebabkan oleh kegagalan jantung atau buah pinggang) atau juga efusi pleura (banyak sebab, biasanya berkaitan dengan paru-paru atau jantung). Tiada satu pun daripada penyakit-penyakit ini boleh disebabkan oleh mandi pada waktu senja atau malam."

Dr Malar Santhi Santherasegapan, pegawai perubatan di Hospital Columbia Asia di Cheras, berkata: "Kulit kita sebenarnya adalah organ kalis air", sambil menambah bahawa ia sebenarnya tidak boleh membenarkan cecair melaluinya.

Doktor keluarga Dr Zubaidi Haji Ahmad membicarakan dakwaan tersebut di Facebook di sini pada 21 September 2021.

Beliau berkata paru-paru berair mungkin disebabkan oleh pelbagai punca, seperti kanser, serta pelbagai faktor risiko, termasuk merokok dan minum minuman keras, tekanan darah tinggi dan pernah terdedah kepada asbestos.

"Tidak ada lagi bukti yang mengaitkan mandi malam dengan peparu berair. Malah, mandi pada waktu malam terbukti boleh membuatkan anda tidur dengan lebih nyenyak," kata Dr Zubaidi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menangani dakwaan itu pada 2018 dengan mengongsikan pautan ini dari Root of Science, laman Facebook yang dikendalikan oleh sekumpulan ahli akademik dan profesional perubatan dari Malaysia.

Catatan blog tersebut menyatakan bahawa "penggunaan istilah paru-paru berair sebagai istilah perubatan adalah tidak spesifik dan boleh mendatangkan kekeliruan. Kerana ia boleh membawa maksud kepada dua perkara iaitu samada 'pleural effusion' ataupun 'pulmonary edema' dan kedua-dua penyakit ini adalah berbeza."

Tambahnya: "Malah penyebab-penyebab penyakit-penyakit di atas langsung tiada kaitan dengan mandi malam."   

Tiada larangan dalam al-Quran

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerbitkan artikel ini, yang bertajuk: "Hukum Mandi Malam" pada 11 Mei 2017.

"Kami tidak mendapati ayat al-Qur’an, hadith dan juga athar daripada para sahabat berkaitan larangan mandi pada waktu malam. Untuk itu, kita dibolehkan untuk mandi pada bila-bila sahaja yang kita kehendaki kerana tidak ada dalil berkaitan larangan mandi pada waktu malam," menurut artikel itu. 

"Walaupun begitu, terdapat beberapa pendapat daripada kalangan ahli ilmu tentang kemakruhan mandi ketika matahari hampir terbenam dan di antara dua isyak (antara maghrib dan isyak)."

AFP pernah membongkar dakwaan mengelirukan bahawa mandi pada waktu malam akan menyebabkan penyakit reumatik.