Video dikongsikan di catatan tak benar tentang pisang yang 'dijangkiti cacing Helicobacter'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.
   

Satu video yang tular dalam catatan media sosial di pelbagai negara memberi amaran ia menunjukkan "cacing Helicobacter" dalam pisang yang diimport dari Somalia. Dakwaan itu tak benar. Para pakar memberitahu AFP rakaman itu tidak menunjukkan seekor cacing. Pihak berkuasa di beberapa negara telah menggesa orang ramai untuk mengabaikan amaran sedemikian.

Video berdurasi satu minit dan 29 saat itu dimuat naikkan di Facebook di sini pada 8 November 2021, di mana video itu telah ditonton lebih daripada 1,700 kali. 

Ia menunjukkan seorang lelaki membuka pisang untuk mendedahkan seekor cacing di dalamnya. Suara berbahasa Perancis dalam video itu kedengaran bercakap: "Berhati-hati apabila anda makan pisang."

Teks berbahasa Perancis yang ditindih pada video itu berbunyi: "Tengok baik-baik sebelum makan."

Tangkapan skrin hantaran Facebook yang mengelirukan, diambil pada 22 November 2021

Kapsyen catatan itu berbunyi: “Hello kawan-kawan dan orang ramai tolong sebarkan video ini sebanyak mungkin. Baru-baru ini, 500 tan pisang dari Somalia tiba di pasaran, yang mengandungi cacing yang dipanggil Helicobacter yang mengeluarkan pisang beracun di dalam perutnya menu birit, muntah, loya, sakit kepala) dan selepas 12 jam orang itu akan mati. daripada kematian otak.

"Sila elakkan daripada membeli dan makan pisang hari ini, atau jika anda membeli, pastikan anda membukanya di dalam. Tonton video."

Video itu telah ditonton melebihi 1,300 kali setelah juga muncul di Facebook di sini, di YouTube di sini dan di TikTok di sini.

Video dan dakwaan serupa tersebar di media sosial dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Arab, bahasa Cina, bahasa Hindi, bahasa Indonesia, bahasa Perancis dan bahasa Sepanyol

Dakwaan itu juga muncul di Twitter dan Instagram

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tak benar.

'Bukan cacing'

Walaupun AFP tidak dapat mengesahkan asal-usul video itu secara berasingan, para pakar berkata makhluk dalam video itu bukan seekor "cacing Helicobacter".

"Ia bukan cacing atau parasit. Helicobacter ialah bakteria," kata Sixto Raul Costamagna, pakar parasitologi dari Argentina, kepada AFP.

Beliau berkata jangkitan Helicobacter boleh menyebabkan masalah pencernaan, seperti ulser.

Ignacio Silva, pakar jangkitan di Hospital Barros Luco dan Universiti Santiago di Chile, berkata bakteria itu tidak boleh dilihat dengan mata kasar dan hanya boleh dilihat di bawah mikroskop.

Jangkitan Helicobacter menjejaskan kira-kira dua pertiga daripada populasi dunia, terutamanya di negara-negara membangun, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

Fabricio Loyola, ahli agronomi dari Ecuador dan ahli Kolej Jurutera Pertanian Pichincha, berkata, makhluk yang muncul dari pisang dalam video itu kelihatan seperti "serabut" dan mencadangkan bahawa pisang tersebut mengalami masalah pematangan.

"Apabila pisang 'matang secara paksa' [proses pematangannya dipercepatkan], bahagian putih yang boleh dimakan buah itu tidak mencapai kandungan gula yang sepatutnya dan berubah menjadi tisu berserabut," katanya kepada AFP.

Beliau berkata bahawa "larva gergasi" seperti yang dilihat dalam rakaman itu tidak realistik.

Pihak berkuasa di beberapa negara, termasuk Malaysia, Afrika Selatan, Maghribi dan Emiriah Arab Bersatu, menggesa orang ramai untuk mengabaikan amaran kononnya tentang pisang yang dijangkiti helicobacter yang tiba dari Somalia.

Pisang dari Somalia

Menurut Analisis Pasaran Pisang 2019, diterbitkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB, Ecuador, Filipina, Costa Rica dan Colombia adalah pengeksport pisang terbesar di dunia. 

Di Afrika, pengeksport pisang terbesar adalah Ivory Coast dan Cameroon, dan produk mereka khusus untuk pasaran Eropah.

Dokumen itu tidak menyebut Somalia.

Somalia merupakan pengeksport pisang rantau Afrika yang utama sehingga tercetusnya perang saudara pada tahun 1991. 

Negara Afrika Timur itu kembali mengeksport pisang pada 2019 ke Arab Saudi dan pada 2020 ke Turki, sambil menjalankan eksport percubaan ke Qatar dan Oman pada tahun yang sama.