Seorang kakitangan perubatan bersiap sedia untuk menyuntik satu dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur pada 31 Mei 2021. ( AFP / Mohd Rasfan)

Pengguna media sosial salah kait Pfizer kepada ciptaan pemantauan Covid-19

Pelbagai catatan Facebook telah berkongsi satu imej dokumen pendaftaran paten dari Amerika Syarikat bersama dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan vaksin Covid-19 dari Pfizer telah diluluskan untuk digunakan untuk "pengesanan kontak jauh semua manusia yang divaksin di seluruh dunia". Dakwaan itu tak benar. Paten berdaftar itu bukan bertujuan untuk mengesan orang telah divaksin dan tidak mempunyai kaitan dengan Pfizer, pencipta paten dan syarikat farmaseutikal tersebut memberitahu AFP.

Dakwaan itu dikongsi dalam hantaran Facebook ini pada 28 September 2021.

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 22 November 2021

Catatan itu menyertakan tangkapan skrin sebahagian dokumen paten AS sambil mendakwa bahawa ia menunjukkan permohonan paten Pfizer untuk mengesan orang yang telah divaksin melalui kawalan jauh telah diluluskan dan orang yang sudah divaksin akan disambungkan ke "internet benda" atau "internet of things".

Catatan itu juga mendakwa frekuensi dari menara sel dan satelit akan bersambung dengan grafen dalam tisu orang yang divaksin untuk menjejaki mereka.

Dakwaan serupa juga muncul di sini dan sini.

Beberapa catatan seperti ini dan ini juga mengongsikan dakwaan tersebut bersama-sama meme yang juga membuat dakwaan yang telah disangkal bahawa Mahkamah Agung AS telah berputus bahawa orang yang menerima vaksin boleh dipatenkan.

Dakwaan serupa tentang permohonan paten Pfizer juga beredar dalam bahasa Inggeris, bahasa Sepanyol dan bahasa Itali; dan juga tersebar di Reddit dan laman web seperti ini.

Namun begitu, dakwaan itu tidak benar.

Tangkapan skrin tersebut menunjukkan dokumen pendaftaran Paten AS ini, yang menerangkan sebuah sistem yang menggunakan Bluetooth dalam telefon mudah alih untuk menentukan potensi keberjangkitan seseorang individu berdasarkan pergerakan mereka.

Paten itu menyenaraikan dua orang, Gal Ehrlich dan Maier Fenster, sebagai penciptanya. Kedua-duanya adalah peguam paten di firma undang-undang tanda dagangan dan paten Ehrlich dan Fenster di Israel.

Dalam e-mel kepada AFP, Ehrlich menjelaskan bahawa paten itu dibayangkan pada April dan Mei 2020, sebelum vaksin Covid-19 tersedia, dan paten itu dimiliki oleh mereka — bukan Pfizer atau mana-mana pengeluar vaksin yang lain.

"Paten tersebut dimiliki oleh penciptanya: Maier Fenster dan saya sendiri. Malangnya, baik Pfizer mahupun sesiapa pun setakat ini menyatakan sebarang minat terhadap ciptaan/paten ini," kata Ehrlich kepada AFP pada 28 Oktober 2021.

Ciptaan itu akan memerangi penularan Covid-19 menggunakan teknologi seperti Bluetooth untuk mengesan ahli komuniti yang aktif secara sosial supaya vaksin-vaksin atau ubat-ubatan boleh disasarkan kepada mereka, katanya.

"Pelaksanaan pendekatan keutamaan ini mungkin dicapai dengan mengira interaksi sosial dengan memantau interaksi-interaksi Bluetooth antara telefon bimbit individu-individu yang berinteraksi secara sosial dengan cara yang sama dari segi teknologi dengan apa yang dikenali secara umum sebagai pengesanan kontak digital.

"Dengan satu perbezaan yang besar: kenalan individu yang nampaknya sihat dipantau untuk mengutamakan pemberian langkah-langkah seperti vaksin, jika, di mana dan bila benda-benda ini kekurangan," kata Ehrlich.

Mereka membuat hipotesis bahawa pemberian vaksin-vaksin "terlebih dahulu kepada mereka yang lebih kerap berinteraksi secara sosial akan mencegah penyebaran super dan menyebabkan hasil epidemiologi yang lebih baik secara keseluruhan", tambahnya lagi.

Tiada grafen oksida, peranti pengesan dalam vaksin

Jurucakap Pfizer mengesahkan dengan AFP dalam e-mel bertarikh 29 Oktober 2021 bahawa "permohonan paten yang dipersoalkan tidak berkaitan dengan Pfizer" dan menjelaskan bahawa "grafen oksida tidak digunakan dalam pembuatan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech."

Maria Victoria Sanchez, penyelidik di Majlis Kebangsaan bagi Penyelidikan Saintifik dan Teknikal (Conicet) di Argentina, memberitahu AFP bahawa paten itu tidak menyebut tentang pengesanan orang menggunakan penjejak yang terdapat dalam vaksin.

"Tiada pengesan dalam vaksin-vaksin, dan jelas tiada grafen di dalamnya," katanya. "Vaksin tidak mengandungi grafen."

Senarai ramuan vaksin yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa tiada vaksin Covid-19 yang dibenarkan mengandungi grafen atau grafen oksida.

Senarai ini termasuk bahan-bahan untuk AstraZeneca, Janssen, Moderna, Pfizer-BioNTech; vaksin keluaran China Sinopharm, Sinovac, CanSino dan Anhui Zhifei; vaksin keluaran Rusia Sputnik; dan vaksin keluaran India Bharat Biotech.

Jurucakap Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) memberitahu AFP pada 28 Oktober 2021 bahawa dakwaan-dakwaan bahawa vaksin-vaksin mempunyai peranti pengesan yang ditanam di dalamnya adalah "benar-benar palsu".

"Sila yakin bahawa tiada vaksin (termasuk vaksin Covid-19) yang dibenarkan atau diluluskan oleh FDA untuk digunakan di Amerika Syarikat mengandungi peranti pengesan apa jua jenis," kata jurucakap FDA itu.

AFP telah membongkar pelbagai maklumat tidak sahih yang mendakwa peranti pengesan dan grafen telah ditanam ke dalam vaksin dan menghubungkan menara sel 5G kepada vaksin, seperti di sini, sini, sini dan sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami