Video ini menunjukkan pergaduhan yang tercetus selepas perkataan ‘menteri sial’ diucapkan di Parlimen

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Video yang telah dikongsi di beberapa posting Facebook bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan penduduk Kampung Baru bertembung dengan seorang ahli politik dan polis disebabkan kontroversi ke atas projek pembangunan semula tanah Kampung Baru di Kuala Lumpur. Dakwaan itu tidak benar. Rakaman itu sebenarnya menunjukkan pertembungan dari 2016 yang tercetus di luar kawasan Parlimen selepas menteri yang disasarkan di dalam video menggunakan kata kesat.

Video satu minit 57 saat tersebut telah dimuat naikkan di sini di Facebook pada 12 November 2019. Ia telah ditonton melebihi 332,000 kali dan mendapat lebih daripada 3,700 kongsian.

Rakaman menunjukkan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad sedang diiringi polis melalui sekumpulan orang yang marah.

Di bawah adalah tangkapan skrin posting yang mengelirukan itu:

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Kapsyen posting menyatakan:
“RAKYAT KALAU DAH MARAH, PAYAH.....
TU BARU SIKIT TU......
JGN DIJOLOK SARANG TEBUAN....

“Menteri W.Persekutuan Khalid Samad nak jual tanah Kampung Baru KL..tanpa rundingan..memang patut pun kena belasah maki hamun oleh penduduk..buat malu menteri PH klon DAP..”

Khalid merupakan Menteri Wilayah Persekutuan dan juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Kapsyen tersebut merujuk kepada usaha Khalid dan kerajaan Malaysia untuk membeli balik tanah Kampung Baru di Kuala Lumpur daripada penduduknya.

Video tersebut juga telah dikongsi dengan dakwaan yang serupa di dalam posting Facebook yang disiarkan di sini, sini dan sini.

Dakwaan itu adalah tidak benar. Rakaman tersebut sebenarnya dari 2016 dan menunjukkan huru-hara di luar kawasan Parlimen selepas Khalid memanggil seorang ahli politik yang lain sebagai “menteri sial”, yang boleh dikatakan kata kesat.

Rakaman tersebut telah disiarkan pada 23 November 2016 oleh The Star Online, sebuah media tempatan, di dalam video YouTube. Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia, judul itu berbunyi: “Gerombolan yang geram menyerang Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad atas komen ‘sial’.” 

Di bawah adalah tangkapan skrin video di dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan video original daripada The Star Online (kanan):

Perbandingan antara tangkapan skrin video di dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan video original daripada The Star Online (kanan)

Kapsyen video mengatakan: “Pegawai keselamatan melindungi Amanah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad daripada gerombolan yang marah, dipercayai penyokong Umno Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, di luar pintu masuk ke Dewan Rakyat pada Khamis. Kejadian tersebut dipercayai akibat Khalid memanggil Tajuddin ‘menteri sial’ pada Isnin.”

Kapsyen itu juga merujuk kepada Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak yang saat itu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, dan yang dikatakan Khalid ‘menteri sial’.

Di suatu ketika di dalam video, seorang lelaki boleh kedengaran menjerit “Hidup Pasir Salak” dan “Hidup Tajuddin”.

 Pasik Salak adalah sebuah bandar di barat Semenanjung Malaysia.

Kejadian itu juga telah dilaporkan oleh suratkhabar New Straits Times pada 24 November 2016 di sini.