Ini gambar pegawai pengiring penjara untuk Anwar Ibrahim pada 2015, bukan untuk Najib Razak

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Sabtu 27/08/2022 pukul 10:26
  • Dikemas kini pada hari Sabtu 27/08/2022 pukul 10:45
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Pengguna media sosial di Malaysia telah berkongsi imej yang mereka dakwa menunjukkan pegawai penjara menunggu untuk membawa bekas perdana menteri Najib Razak ke penjara pada 23 Ogos 2022. Pada hari itu Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun ke atas beliau dalam kes rasuah 1MDB yang melibatkan SRC International. Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar. Foto itu dikongsi pada tahun 2015 dalam catatan media sosial yang mengatakan ia menunjukkan pegawai pengiring penjara yang mengawal pergerakan Anwar Ibrahim, bekas timbalan perdana menteri, yang masih dipenjara pada ketika itu ke hospital di Kuala Lumpur.
 

Gambar itu dikongsikan di Facebook di sini pada 23 Ogos 2022.

Ia menunjukkan seorang lelaki memakai topi keledar dan jaket bertulis "Penjara" berdiri di sebelah sebuah motosikal dan memerhati sebuah kereta hitam melalui pintu gerbang masuk.

Kapsyen catatan itu menyatakan: "Pegawai pengiring penjara pun. Awal sangat sampai pun. Datuk Seri tak lari ke mana haih."

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, ditangkap pada 24 Ogos 2022

Foto itu beredar pada hari yang sama Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas perdana menteri Najib Razak atas tuduhan rasuah dalam skandal kewangan 1MDB, dengan mengatakan rayuannya "tidak mempunyai merit".

Menurut The Star, Najib telah dihantar terus dari Mahkamah Persekutuan ke Penjara Kajang.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan sabitan dan hukuman terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung pemindahan 42 juta ringgit daripada SRC International, bekas unit dana 1MDB, kepada akaun bank peribadinya.

Gambar itu telah dikongsikan lebih daripada 1,100 kali selepas beredar berserta dakwaan serupa tentang Najib di Twitter di sini dan di sini, dan di Facebook di sini dan di sini.

Namun begitu, dakwaan itu tidak benar.

Gambar lama lawatan Anwar ke hospital

Carian imej terbalik di Google dan carian kata kunci seterusnya mendapati foto itu dikongsikan di Facebook di sini pada 2 Jun 2015 oleh Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri. 

Kapsyen catatan tersebut berbunyi: "Kenderaan yang membawa DSAI sudah tiba di HKL dengan kawalan yang amat ketat.." -- merujuk kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim. 

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin gambar dalam catatan mengelirukan (kiri) dan gambar asal daripada Wan Azizah (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin gambar dalam catatan mengelirukan (kiri) dan gambar asal daripada Wan Azizah (kanan)

Anwar, yang pada ketika itu sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan meliwat di Penjara Sungai Buloh, dibawa ke hospital itu untuk rawatan perubatan, seperti yang dilaporkan di sini oleh surat khabar The Sun Daily pada hari yang sama.  

AFP mengesan lokasi gambar itu ke kawasan ini di Hospital Kuala Lumpur, yang dirakam pada November 2015 melalui Google Maps.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin gambar dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan lokasi di Google Maps tahun 2015 (kanan), dengan ciri-ciri yang sama dibulatkan oleh AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin gambar dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan lokasi di Google Maps tahun 2015 (kanan)

Nanyang Siang Pau, surat akhbar berbahasa Cina, turut berkongsi foto yang sama dalam catatan Facebook ini mengenai kemasukan Anwar ke hospital tersebut pada 2 Jun 2015.  

Gambar itu turut digunakan dalam catatan Facebook ini oleh Penjara Seremban pada 6 Februari 2020, bertajuk: "Unit Pengiring Bermotorsikal Jabatan Penjara Malaysia."

Harian Metro juga membongkar dakwaan mengelirukan tentang gambar pegawai penjara menunggu Najib di luar mahkamah di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami