Rakaman latihan simulasi dikongsi dalam catatan palsu tentang 'mangsa tikam' di Hospital Taiping
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Isnin 19/09/2022 pukul 08:20
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Rakaman pegawai perubatan yang sedang merawat dua lelaki, salah seorang daripadanya kelihatan mempunyai pisau besar yang menjulur dari dadanya, telah ditonton ribuan kali selepas ia tersebar dalam catatan media sosial yang mendakwa ia menunjukkan dua orang mangsa pergaduhan di Hospital Taiping, di bandar Taiping, Perak. Walau bagaimanapun, rakaman itu menunjukkan kakitangan hospital mengambil bahagian dalam latihan simulasi anjuran pihak Hospital Taiping. Polis tempatan berkata tiada laporan mengenai kejadian menikam di hospital tersebut.
Video itu dimuat naikkan di sini di Facebook pada 25 Ogos 2022, di mana ia telah ditonton melebihi 1,000 kali.
Video berdurasi 34 saat itu menunjukkan beberapa pegawai perubatan membawa dua lelaki yang nampaknya berlumuran darah di atas pengusung. Salah seorang lelaki tersebut mencekam pisau yang nampaknya terjulur keluar dari dadanya.
Kapsyennya berbunyi: "Kes gaduh tukang masak Kat taiping".
Hospital Taiping ialah hospital kerajaan di bandar Taiping, Perak.
Video itu telah ditonton lebih daripada 5,100 kali selepas dimuat naikkan bersama dakwaan serupa dalam catatan yang lain di Facebook, di Instagram dan di YouTube
Ia juga beredar bersama dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris dan bahasa Cina.
Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak benar.
Carian kata kunci menggunakan Google mendapati siaran media ini dari laman Facebook Polis Daerah Taiping yang menjelaskan bahawa video itu menunjukkan latihan simulasi kebakaran.
Dua perenggan pertama kenyataan bertarikh 25 Ogos 2022 tersebut berbunyi: "Pada 24 Ogos 2022 (Rabu) sekitar jam 11.50 pagi hingga 1.00 petang, pihak Hospital Taiping dengan kerjasama Balai Bomba & Penyelamat Taiping telah mengadakan satu latihan simulasi kebakaran di Jabatan Diatetik & Sajian Hospital Taiping. Latihan simulasi tersebut diadakan sebagai pendedahan mengenai latihan bencana, kaedah mencegah dan langkah-langkah yang perlu diambil semasa berhadapan kebakaran pada masa akan datang.
“Latihan simulasi tersebut telah menarik perhatian orang ramai yang berada di kawasan tersebut dan telah disebarkan melalui media sosial ‘Facebook' berikutan gambaran dan aksi semasa latihan tersebut kelihatan seperti aksi pergaduhan. Walau bagaimanapun, peralatan yang digunakan dan setiap aksi yang 'dilakonkan' adalah latihan semata-mata kepada 54 orang petugas hospital berkenaan bagi mempersiapkan kakitangan KKM mengenai prosedur pengurusan bencana seperti kebakaran dan lain lain."
Asistan Superintenden Polis (ASP) Rozaina Ahmad dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Perak memberitahu AFP pada 13 September 2022 bahawa tidak ada laporan mengenai kejadian tikam di hospital.
'Pelakon lima bintang'
Hospital Taiping menerbitkan kenyataan ini di laman Facebooknya pada 25 Ogos 2022 yang memuji "pelakon lima bintang" yang mengambil bahagian dalam latihan itu.
Sebahagian kenyataan itu berbunyi: "Latihan Simulasi Kebakaran peringkat Hospital Taiping 2022 yang diadakan di Jabatan Dietetik dan Sajian itu merupakan aktiviti tahunan anjuran Unit Penyelia Hospital serta Balai Bomba dan Penyelamat Taiping dengan kerjasama Edgenta Mediserve."
Seramai 54 kakitangan mengambil bahagian dalam latihan itu, tambahnya lagi.
Kumpulan Facebook bernama "Taiping With Love" yang berkongsi berita tempatan turut memuat naikkan catatan ini yang berisi laporan berita Harian Metro mengenai latihan di Hospital Taiping, berserta gambar salah seorang lelaki yang berlakon sebagai mangsa dalam rakaman video.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi video di catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto dalam kumpulan Facebook itu (kanan):
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami