Ini video simulasi latihan ketenteraan Kuwait, bukan 'menteri Arab Saudi lari dari mercun'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton puluhan ribu kali selepas beredar dalam catatan media sosial yang mendakwa ia menunjukkan menteri pertahanan Arab Saudi melarikan diri daripada mercun yang dinyalakan di luar kedutaan China di ibu negara Riyadh. Dakwaan ini tidak benar. Video itu sebenarnya menunjukkan simulasi latihan ketenteraan pada tahun 2019 di Kuwait.

Video itu dimuat naikkan di sini di Facebook pada 6 September 2022, di mana ia telah ditonton lebih daripada 190 kali.

Keterangan catatan itu menyatakan: "Ketibaan Menteri Pertahanan Saudi di Kedutaan China di Riyadh. Kisahnya deme terlupa nak memaklumkan kepada kaki tangan Menteri Arab Saudi bahawa akan ada mercun menyambutnya.

“Jadi kau saksikan kisah lucu di video ini."

Video berdurasi seminit itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian kain keffiyeh putih, keluar dari kenderaan pegun yang dikelilingi oleh pegawai keselamatan dan disambut oleh lelaki kedua, yang membawanya menuju ke arah sebuah bangunan.

Tiba-tiba bunyi tembakan beruntun-runtun kedengaran, menyebabkan para pegawai keselamatan bergegas membawa lelaki pertama lari dalam kenderaannya sebelum ia dipandu laju sambil meninggalkan kepulan asap biru di belakangnya.

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 8 September 2022

Klip itu telah beredar bertahun-tahun dan telah ditonton lebih daripada 52,600 kali selepas dikongsikan bersama dengan dakwaan serupa di Facebook di sini, serta pada tahun 2020 di sini dan di sini.

Rakaman video itu juga beredar di Twitter dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris dan bahasa Hindi.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar.

Simulasi latihan ketenteraan

Carian imej terbalik di Google menjumpai video sepadan yang diterbitkan di sini pada 13 Disember 2019, oleh Alsaa News, sebuah saluran berita yang berpusat di Jordan.

Diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia, kapsyen catatan berbahasa Arab itu berbunyi: "Latihan ketenteraan untuk pengawal-pengawal peribadi di Kuwait".

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asal dari Alsaa News (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asli dari Alsaa News (kanan)

Video yang menunjukkan adegan sama yang dirakam dari sudut berbeza telah diterbitkan di sini di Twitter pada 12 Disember 2019, oleh Al-Hadath News, penyiar yang berpangkalan di Kuwait.

Ciapan berbahasa Arab itu berbunyi: "Pameran Pertahanan Teluk dan Aeroangkasa. Pertunjukan latihan ketenteraan oleh Pengawal Emir."

Dalam video itu, pembaca berita menjelaskan dalam bahasa Arab bahawa latihan itu dijalankan semasa Gulf Defense and Aerospace Exhibition and Conference (GDA) kelima di Kuwait yang bermula secara rasmi pada 10 Disember 2019.

GDA, atau Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Aeroangkasa Teluk, ialah acara antarabangsa yang berlangsung dua kali setahun untuk pertahanan, aeroangkasa, perlindungan dan keselamatan tanah air.

Ratusan syarikat antarabangsa terkemuka dari bidang pertahanan dan persenjataan menyertai acara tahun 2019, menurut laporan ini, yang diterbitkan oleh Kuwait Times, surat akhbar berbahasa Inggeris, pada 10 Disember 2019.

Tapak pameran di Kuwait

Carian kata kunci selanjutnya juga menemui video ini yang diambil dari sudut berbeza yang diterbitkan oleh Ibu Pejabat Staf Am Tentera Kuwait di akaun Instagramnya yang telah disahkan.

"Sebahagian daripada paparan Kor Pengawal Putera yang telah dijalankan semasa Pameran Pertahanan dan Aeroangkasa Teluk kelima, yang diadakan dari 10 hingga 12 Disember 2019 di Tapak Pesta Antarabangsa Kuwait," bunyi kapsyen video berbahasa Arab video itu.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan (kiri) dan video yang dimuat naikkan di akaun Instagram tentera Kuwait (kanan), dengan ciri-ciri sepadan diketengahkan dalam warna merah oleh AFP:

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan (kiri) dan video di akaun Instagram tentera Kuwait (kanan)

Dalam foto Tapak Pesta Antarabangsa Kuwait di Google Maps, struktur glob di bulatan boleh diperhatikan dan sepadan dengan struktur yang dilihat dalam video dalam catatan yang mengelirukan.

Lokasi dalam video itu sepadan dengan imej ini, yang ditandakan pada tapak pameran di Google Street View:

Tangkapan skrin imej di Google Street View

Pada Januari 2021, AFP pernah membongkar dakwaan palsu berbahasa Arab yang mengaitkan video itu dengan timbalan ketua polis Dubai di Emiriah Arab Bersatu.