Sebuah kenderaan Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur pada 25 Mac 2020. ( AFP / Mohd Rasfan)

Mesej amaran tentang 'geng pemerdagangan organ' adalah palsu, kata PDRM

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Sejumlah catatan media sosial mendakwa menyebarkan "notis segera" daripada Kementerian Dalam Negeri dan polis mengenai kumpulan penyeludup organ yang menggunakan kanak-kanak jalanan untuk mengumpan mangsa. Dakwaan itu telah dikongsikan ratusan kali di Facebook. Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar. Polis Diraja Malaysia, di bawah naungan Kementerian Dalam Negeri, mengatakan mesej tular itu adalah palsu.

Satu amaran kononnya daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis mengenai sindiket pemerdagangan organ menggunakan kanak-kanak jalanan telah disebarkan di Facebook di sini pada 7 September 2022, di mana ia telah dikongsi lebih daripada 280 kali.

Keterangan catatan mengelirukan tersebut berbunyi: "NOTIS SEGERA Kementerian Dalam Negeri . Dari semua balai polis kepada semua rakyat .Terdapat kanak-kanak di jalanan kini membawa kertas dengan alamat rumah mereka tertulis di atasnya dan mendakwa bahawa mereka hilang. Jika anda melihat kanak-kanak ini, jangan bawa mereka ke alamat bertulis kerana orang sedang menunggu anda di sana untuk membunuh anda, mencuri organ anda, atau merogol, jadi kami meminta anda untuk membawa mereka ke balai polis berhampiran atau rondaan kecemasan terdekat dan segera melaporkan mereka.

“Tolong edarkan ini. Perkara itu benar, dan kami mengesahkan bahawa mereka menyerahkan mereka ke balai polis terdekat atau peronda terdekat yang anda temui. Jangan cuba menjadi pahlawan atau orang Samaria yang baik. Hantarnya kepada semua kenalan anda. -Pasukan Penyelamat”.

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 28 September 2022

Dakwaan yang sama juga beredar di Facebook di sini, di sini dan di sini.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak sahih.

Carian kata kunci di Google mendapati siaran media ini daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Facebook rasminya pada 7 September 2022, yang menafikan dakwaan tular bahawa terdapat kegiatan jenayah yang berlangsung menggunakan kanak-kanak jalanan.

Dua perenggan pertama kenyataan itu menyatakan: "Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan satu (1) mesej tular di media sosial yang didakwa sebagai 'notis amaran dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan balai polis seluruh negara'. Mesej mendakwa terdapat pihak menggunakan kanak-kanak jalanan yang memegang kertas tertulis alamat rumah mereka sebagai taktik untuk meraih bantuan bagi dihantar pulang. Mana-mana individu yang membantu menghantar kanak-kanak sedemikan ke alamat yang tertera didakwa akan dibunuh, organ dicuri dan dirogol.

"PDRM mengesahkan mesej yang ditularkan tersebut adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri atau PDRM. Semakan juga mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan insiden jenayah sepertimana ditularkan."

Ketika dihubungi AFP, jurucakap KDN menyatakan bahawa PDRM, yang berada di bawah bidang kuasa kementerian itu, telahpun mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu.