Ini foto remaja lelaki Afghanistan, bukan 'cucu Saddam Hussein'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Imej seorang remaja lelaki telah dikongsi beribu-ribu kali dalam siaran media sosial yang mendakwa ia menunjukkan cucu pemimpin Iraq Saddam Hussein, Mustafa Hussein, yang berusia 14 tahun. Budak itu dikatakan menembak mati 14 tentera AS semasa pertempuran yang membunuh bapanya dan pakciknya. Walau bagaimanapun, dakwaan ini tak benar. Jurugambar Amerika Steve McCurry, yang mengambil gambar itu, berkata ia menunjukkan seorang pejuang Afghanistan. Menurut komander tentera AS di Iraq waktu itu, empat askar AS cedera dalam serbuan yang membunuh Mustafa, bapa dan pakciknya pada Julai 2003.

Foto seorang remaja lelaki dengan senapang dan seekor anjing telah disiarkan di Facebook di sini pada 2 September 2022, di mana ia telah dikongsi lebih daripada 760 kali.

Kapsyen catatan berkenaan berbunyi: "Anak lelaki ini - Mustafa Hussein dari Iraq - cucu Saddam Hussein yang berusia 14 tahun, adalah orang terakhir, dengan berseorangan menentang pasukan khas USA semasa operasi. Menurut tentera Amerika yang terlibat dalam operasi itu, ketika mereka masuk ke dalam rumah, Mustafa Hussein melepaskan tembakan ke arah mereka.

"Pasukan AS, dalam jumlah 400 tentera, dihalang olehnya.
Di hadapannya mayat bapa saudaranya dan ayahnya, budak lelaki itu menembak dan membunuh 14 tentera laut Amerika dengan senapang penembak tepat. Pertempuran dengan cucu Saddam Hussein berlangsung sekitar enam jam.

"Ketika orang Amerika membunuh budak itu, mereka tidak percaya dan lebih kagum apabila mereka mengetahui bahawa dia sebenarnya kanak-kanak. Pada akhir artikel peringatan Mustafa, wartawan New York Times, Robert Yeisk menulis: 'Sekiranya kita mempunyai seseorang seperti lelaki ini di Amerika, kita akan membina sebuah tugu di setiap kota. Saya akan bercakap tentang keberaniannya di mana-mana dan ia akan telah menjadi model perlawanan."

Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 27 September 2022

Diktator Iraq Saddam Hussein ditangkap pada Disember 2003, beberapa bulan selepas pencerobohan tentera yang dipimpin Amerika Syarikat menjatuhkannya daripada kuasa. Dia dihukum mati tiga tahun kemudian, pada Disember 2006, selepas didapati bersalah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.

Anak lelaki Saddam -- Uday dan Qusay Hussein -- terbunuh dalam serbuan tentera di bandar Mosul, di Iraq, pada Julai 2003, bersama anak lelaki Qusay berusia 14 tahun bernama Mustafa Hussein dan seorang pengawal peribadi.

Menurut pegawai tentera AS, Mustafa kemungkinan besar yang terakhir mati dalam pertempuran senjata selama berjam-jam dan remaja itu terus menembak selepas bapa dan pakciknya terbunuh.

Foto yang sama telah dikongsi lebih daripada 1,600 kali selepas ia turut diedarkan dalam siaran serupa di Facebook di sini, di sini, di sini dan di sini; serta di Twitter di sini.

Gambar itu juga muncul bersama dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris, setidaknya sejak tahun 2019.

Tuntutan itu, bagaimanapun, adalah palsu.

'Pejuang Afghanistan'

Menggunakan gabungan carian imej terbalik dan kata kunci, AFP mendapati foto itu disiarkan oleh jurugambar Amerika Steve McCurry pada akaun Instagramnya yang mempunyai lecana yang disahkan di sini pada 14 Ogos 2017.

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, kapsyen catatan itu berbunyi: "Potret seorang pejuang Afghanistan ini akan berada dalam buku baharu saya, AFGHANISTAN, yang diterbitkan oleh @taschen yang keluar pada bulan September."

McCurry ialah jurugambar yang pernah memenangi pelbagai anugerah dan terkenal dengan foto "Gadis Afghanistan".

Taschen, syarikat penerbitan buku yang berpangkalan di Jerman, mengesahkan kepada AFP bahawa gambar itu ada di dalam buku foto McCurry "Afghanistan", yang diterbitkan pada tahun 2017.

Serbuan tentera AS

Walaupun pegawai AS percaya Mustafa Hussein terus menembak semasa serbuan tentera yang membunuhnya, bapanya dan bapa saudaranya, dia tidak menembak mati 14 tentera.

Di video sidang media pada 23 Julai 2003, yang dimuat naikkan di sini di C-Span, komander pasukan gabungan AS di Iraq ketika itu, Leftenan Jeneral Ricardo Sanchez berkongsi butiran serbuan di Mosul pada hari sebelumnya.

Beliau berkata bahawa tembakan itu membunuh empat orang dalam rumah yang dikepung dan mencederakan empat tentera AS.

Pada tanda 9 minit 45 saat video itu, Sanchez berkongsi butiran empat tentera cedera ketika mereka cuba untuk naik ke tingkat dua rumah itu. "Pada ketika ini, pasukan kami berundur," katanya.

Peluru berpandu dikerahkan pada jam 1:00 petang apabila tentera memasuki semula rumah, membunuh tiga orang dewasa, kata Sanchez.

Ketika tentera cuba memasuki rumah untuk kali ketiga, mereka menembak mati orang keempat yang melepaskan tembakan dari tingkat dua, kata Sanchez pada tanda 13 minit 50 saat video. Pasukan gabungan "selesai mengamankan bangunan itu pada kira-kira jam 1400 kelmarin", kata komander itu.

Media Amerika melaporkan tentang serbuan itu, seperti di sini, di sini dan di sini, mengatakan serangan itu mencederakan empat tentera AS dan empat orang dibunuh adalah Uday, Qusay dan Mustafa Hussein serta seorang pengawal pribadi.

Wartawan New York Times

Mustafa, juga ditulis sebagai Mustapha, Hussein muncul dalam beberapa laporan New York Times antara Julai 2003 dan Ogos 2007 -- di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini -- tiada satu pun daripadanya ditulis oleh "Robert Yeisk".

Carian dalam talian tidak menemui hasil wartawan New York Times dengan nama sedemikian.