Gambar ubat gigi di atas berus gigi ( AFP / Saul Loeb)

Siaran palsu mendakwa 'jalur berwarna pada tiub ubat gigi mendedahkan bahan yang digunakan'

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Khamis 20/10/2022 pukul 05:52
  • Dikemas kini pada hari Khamis 20/10/2022 pukul 06:31
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Sri Lanka, AFP Malaysia
Imej tiub ubat gigi telah dikongsi puluhan ribu kali di pelbagai catatan media sosial, dengan dakwaan bahawa warna jalur di bahagian bawah tiub memberikan maklumat mengenai ramuan pes itu. Dakwaan ini adalah palsu. Jalur itu, yang nama teknikalnya adalah "eye mark" atau tanda mata, sebenarnya digunakan untuk membantu dalam pembuatan tiub ubat gigi supaya tiub itu boleh dipotong dan dimeterai dengan betul, menurut pakar industri.

Beberapa foto tiup ubat gigi dikongsi di catatan Facebook ini pada 4 Oktober 2022.

Sebahagian keterangan catatan itu berbunyi: "RAHSIA KOD WARNA PADA UBAT GIGI

"Kod warna pada setiap ubat gigi melambangkan kandungan bahan asas dalam ubat gigi yang kita guna seharian. Anda guna yang mana? Adakah anda sudah bijak membuat pilihan utk menjaga gigi supaya sihat dan kekal lama?

  • MERAH Bahan semulajadi + bahan kimia
  • BIRU Bahan semulajadi + bahan ubat-ubatan
  • HIJAU Bahan semulajadi sahaja
  • HITAM Bahan kimia keseluruhannya

Salah satu gambar menunjukkan tiga tiub ubat gigi yang mempunyai tanda berwarna berbeza -- yakni merah, hitam dan biru -- dan ini ditanda dengan bulatan merah. Di atas foto ditambahkan pula tulisan "Brand x y z" (Jenama x y z).

Catatan itu turut memuat naik beberapa gambar yang mengiklankan ubat gigi jenama Glister.

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 17 Oktober 2022

Dakwaan serupa telah dikongsi lebih daripada 71,000 kali selepas beredar sekurang-kurangnya sejak tahun 2013 di sini, di sini, di sini dan di sini.

Ia turut tersebar dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, bahasa Sinhala, bahasa Indonesia, bahasa Sepanyol dan bahasa Perancis.

Walau bagaimanapun, tuntutan itu adalah palsu.

Bantuan pembuatan

Carian kata kunci di Google mendapati artikel ini, yang diterbitkan di laman web Colgate, jenama Amerika yang mengeluarkan pelbagai produk kebersihan mulut, termasuk ubat gigi.

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris, artikel itu bertajuk: "Apakah Kod Warna Ubat Gigi?"

Sebahagian perenggan berbunyi: "Kami pasti anda tertanya-tanya ... mengapa terdapat blok warna pada tiub ubat gigi?

"Ia sebenarnya membantu dalam pembuatan tiub ubat gigi dengan memberitahu sensor cahaya di mana hujung tiub itu supaya ia boleh dipotong dan dimeterai dengan betul."

Jalur yang secara teknikalnya dikenali sebagai "eye mark" (tanda mata) ialah kawasan bercetak segi empat tepat kecil yang terletak berhampiran tepi bahan pembungkusan fleksibel bercetak, yang boleh didapati pada pembungkusan pelbagai produk, bukan hanya ubat gigi.

Jonathan Kusu, seorang jurutera pembungkusan di firma kosmetik global Avon, memberitahu AFP pada tahun 2019: "Segi empat tepat (tanda mata) ini diletakkan di tengah hiasan tiub, yang berbentuk silinder, dengan bahagian depan dan bahagian belakang.

"Segi empat tepat itu akan dibaca oleh mesin yang, dari tanda itu, akan meninggalkan silinder itu di tengah dan dibahagikan antara depan dan belakang dan kemudian meterai tiub itu."

Kusu menjelaskan warna tanda mata ditentukan berdasarkan warna pembungkusan produk.

"Sekiranya tiub itu berwarna terang, segi empat tepat hitam digunakan kerana mesin itu perlu mempunyai perbezaan kontras untuk dapat membacanya. Sebaliknya, jika tiub itu gelap, warna putih digunakan," katanya.

Di bawah ialah foto yang diambil AFP yang menampilkan produk ubat gigi di Sri Lanka yang mempunyai tanda mata hijau pada tiubnya -- dengan senarai bahan dan tanda mata ditambah tanda bulatan merah:

Image
Produk ubat gigi yang terdapat di Sri Lanka yang mempunyai eye mark hijau pada tiubnya --  AFP menambah tanda bulatan merah pada senarai bahan dan eye mark. ( AFP)

Bertentangan dengan dakwaan yang dibuat dalam siaran media sosial yang mengelirukan, produk itu mengandungi pelbagai bahan sintetik, termasuk natrium lauril sulfat dan natrium benzoat.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami