Dakwaan bahawa 'menggosok telur rebus pada badan kanak-kanak boleh sembuhkan demam' adalah palsu, kata pakar

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Catatan Facebook yang telah dikongsi belasan ribu kali mendakwa bahawa menggosok telur rebus pada badan kanak-kanak boleh merawat demam. Catatan tentang rawatan itu mengesyorkan ia berasal dari perubatan tradisional Cina. Dakwaan ini, bagaimanapun, adalah palsu. Pakar perubatan memberitahu AFP tiada bukti telur rebus boleh menyembuhkan demam, dan berkata ia tidak mempunyai kaitan dengan perubatan tradisional Cina.

Catatan itu dikongsi di Facebook di sini pada 6 Oktober 2022.

Siaran itu, yang mengandungi gambar telur rebus dan seorang anak kecil, telah dikongsi lebih sebanyak 10,000 ribu kali.

Antara catatan yang dikongsi adalah seperti berikut: "Anak demam, baby badan panas.. malam2 buta pulak tu. Risau kan. / Saya ada satu cara yg boleh dibuat dirumah dengan apa yang ada didapur sebelum ke klinik.. ihktiar, usaha apa yang mampu kan, jangan menyerah terus..

"Telur rebus. / Rebus telur biar masak penuh, kupas, balut kain dan gelek kat bdn anak.. kat dada, kat kepala, kat perut, kat kaki, kat semua seluruh badan la senang cerita.. gelek telur suam tu sampai sejuk. Mula2 tu panas kan, balut la kain dlu. Bila dah suam2 tu blh buang kain gelek macam tu je.. sambil2 gelek tu selawat nabi, baca surah2 pendek 3qul, alfatihah, atau mana2 surah yang biasa amal.."

Ia kemudian berkongsi: "Sehari bolh buat 2kali.. nak gelek kat mana badan anak panas saja pun blh, cth.. kepala dia panas...gelek kat kepala je telur tu. InshaAllah dengan izin Allah boleh kurgkan panas. Sebenarnya ini amalan tabib cina, apa salahnya kita cuba selagi tidak langgar hukum agama kita. Semoga semua baik2.."

Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 18 Oktober 2022

Dakwaan itu telah dikongsi lebih daripada 3,600 kali setelah turut beredar di catatan Facebook ini, ini, ini dan ini.

Tuntutan itu juga tersebar di antara pengguna media sosial dari Myanmar, di mana perubatan tradisional digunakan secara meluas, seperti di sini, di sini dan di sini.

Bagaimanapun, pengamal perubatan Cina dan pakar perubatan memberitahu AFP bahawa tiada bukti bahawa telur rebus boleh menyembuhkan atau melegakan demam kanak-kanak, dan tiada kaitan antara rawatan ini dengan perubatan Cina.

Dr Wendy Wong, pengamal perubatan Cina berdaftar dan bekas penolong profesor di Chinese University of Hong Kong, berkata bahawa "dakwaan telur rebus boleh menyembuhkan demam adalah benar-benar palsu dan mengelirukan".

Rawatan itu "sama sekali bukan dalam konteks perubatan tradisional Cina mahupun budaya Cina", katanya.

Dr Thurein Hlaing Win, pengurus negara laman web penjagaan kesihatan Hello Sayarwon di Myanmar, memberitahu AFP bahawa dakwaan itu tidak mempunyai bukti untuk menyokongnya.

"Memandangkan kita hidup dalam era kegemilangan perubatan berasaskan bukti, mesti ada bukti besar dan penjelasan logik untuk setiap rawatan yang mendakwa boleh merawat atau menyembuhkan penyakit tertentu," katanya.

Ia menambahkan "tiada bukti" soal dakwaan tentang tentang telur rebus itu.

AFP tidak dapat mengesan asal usul gambar dalam catatan palsu itu.