'Tak mungkin kerajaan akan paksa' rakyat ambil vaksin susulan pindaan akta penyakit berjangkit: pakar
- Diterbitkan pada hari Rabu 30/10/2024 pukul 04:39
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Planning baru nak paksa cucuk," bunyi kapsyen siaran Facebook pada 16 Oktober 2024.
Siaran itu merujuk kepada pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang diluluskan Dewan Rakyat, namun belum dibentang di Dewan Negara atau mendapat kelulusan Yang di-Pertuan Agong.
Ia dikongsi bersama grafik yang memperincikan pindaan baharu itu, dengan teks bertindih yang menyatakan "Apa-Apa Arahan!", bersama dengan gambar seorang doktor bernama Roland Victor yang sebelum ini pernah disiasat kerana menyebar maklumat palsu berkenaan Covid-19 (pautan arkib).
Siaran serupa di Facebook yang mendakwa orang awam akan dipaksa mengambil suntikan vaksin juga dikongsi di sini dan di sini.
Pindaan terhadap akta itu membabitkan peruntukan yang memberi kuasa kepada ketua pengarah kesihatan untuk "mengeluarkan apa-apa arahan" untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menyangkal dakwaan yang orang awam akan dipaksa mengambil vaksin dalam satu siaran di laman rasmi Facebooknya pada 17 Oktober (pautan arkib).
Beliau berkata pindaan itu akan membantu kerajaan menggunakan teknologi untuk membantu dalam pengawasan penularan penyakit, mewartakan tempat kuarantin dan mengenakan kompaun, sama seperti langkah yang diambil kerajaan semasa wabak Covid-19 merebak.
"TIADA peraturan yang mewajibkan rakyat untuk mengambil suntikan vaksin secara paksa," kata beliau.
Pakar perundangan turut memberitahu AFP bahawa kerajaan "tidak mungkin" menggunakan pindaan itu untuk memaksa orang awam mengambil vaksin.
Cabaran undang-undang
Walaupun pindaan itu amat luas, ia adalah wajar, kata Daniel Abishegam, pengarah akademik dan pensyarah kanan di Advance Tertiary College.
"Benar bahawa pindaan itu memberi kuasa yang luas kepada kerajaan, terutamanya pengarah kesihatan, namun tidak mungkin ia akan digunakan untuk memaksa orang awam mengambil vaksin atau mengenakan denda yang terlalu melampau," katanya kepada AFP pada 23 Oktober.
"Jika ini berlaku, ia akan membuka ruang untuk kerajaan dicabar di mahkamah, terutamanya jika tindakan yang dikenakan terlalu melampau."
Joshua Wu, timbalan pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam Malaysia, berkata jika kerajaan ingin melaksanakan mandat vaksin, ia tidak perlu tunggu pindaan kepada akta penyakit berjangkit dilaksanakan.
Merujuk kepada Seksyen 11(3) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Wu berkata seksyen ini memberi kuasa kepada pegawai kerajaan untuk mengarahkan sesiapa yang menduduki kawasan yang dijangkiti penyakit untuk mengambil vaksin.
Namun, dia memberitahu AFP kerajaan "tidak mungkin" memaksa orang awam mengambil vaksin kerana ia akan membuka pintu kepada cabaran undang-undang seperti dakwaan ia melanggar hak perlembagaan.
"Vaksin mungkin mendatangkan kesan sampingan dan menjejaskan kebebasan diri seseorang," katanya dengan merujuk kepada kesan sampingan jarang berlaku selepas vaksinasi Covid-19.
"Dari segi kebebasan agama, ada kemungkinan sesetengah agama menentang vaksin."
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami