Ini gambar letupan di Lubnan, bukan 'serangan Israel ke atas Iran' pada Oktober 2024

Selepas Israel melancarkan serangan udara terhadap sasaran ketenteraan di ibu negara Iran, Tehran pada Oktober 2024, satu gambar dikongsi dalam siaran palsu yang mendakwa ia menunjukkan serangan terbabit. Imej itu sebenarnya menunjukkan serangan Israel yang berbeza di Lubnan.

Gambar itu tersebar selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas sasaran tentera di Iran pada 26 Oktober 2024 (pautan arkib).

Serangan itu adalah pembalasan terhadap 200 peluru berpandu yang dilancarkan oleh Tehran terhadap Israel pada 1 Oktober, serangan langsung kali kedua oleh Iran ke atas musuh ketatnya.

Pada waktu yang sama dengan serangan Israel terhadap Iran, agensi berita negara Syria SANA berkata serangan udara Israel menyasarkan kedudukan tentera di tengah dan selatan Syria.

"Letupan Kuat Gegar Tehran, Karaj Dipercayai Serangan Pengganas Israel," bunyi tajuk artikel pada laman web yang menggunakan gambar letupan itu pada 26 Oktober 2024. 

Image
Tangkapan skrin artikel salah, diambil pada 6 November 2024

Pautan artikel itu turut dikongsi di platform media sosialnya yang lain seperti di FacebookInstagram, X dan Telegram.

Kapsyen sama digunakan dalam siaran terbabit berbunyi: "Serangan pengganas Israel mensasarkan Tehran dan bandar berdekatan, Karaj kononnya ‘membalas’ serangan Iran ke atas Tel Aviv."

Gambar letupan itu juga dikongsi secara salah dalam bahasa Thai dan bahasa Inggeris

Sejak bulan lepas, Israel sedang berperang dengan Hizbullah yang disokong oleh Iran. Ia juga berperang degan Hamas di Gaza, Palestin sejak tahun lepas. 

Serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 mengakibatkan kematian 1,206 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka Israel. 

Serangan balas Israel telah membunuh 43,391 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan di wilayah yang diperintah Hamas itu. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan angka itu sebagai boleh dipercayai.

Bagaimanapun, gambar itu menunjukkan serangan Israel yang lain ke atas Lubnan.

Serangan Israel

Carian imej terbalik di Google menemui imej sepadan yang diterbitkan oleh seorang jurugambar Lubnan, Nabil Ismail bersama sepuluh imej lain dalam akaun Instagramnya (pautan arkib).

Tarikh pada catatan Instagramnya menunjukkan gambar itu disiar pada 7 Oktober 2024, seperti berikut:

Image
Screenshot of the original Instagram post, taken on October 30, 2024

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi siaran palsu (kiri) dan foto asal yang diterbitkan oleh Nabil Ismail (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi siaran palsu (kiri) dan foto asal yang diterbitkan oleh Nabil Ismail (kanan)

Pada malam 6 Oktober, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengeluarkan amaran dengan menyatakan sasaran mereka di pinggir bandar selatan Beirut (pautan arkib).

Memetik media rasmi Lubnan, AFP melaporkan bahawa empat serangan Israel terhadap selatan Beirut pada 6 Oktober, sejurus selepas gesaan oleh tentera Israel supaya penduduk mengosongkan kubu kuat Hizbullah itu yang telah dibom selama beberapa hari (pautan arkib).

AFP melaporkan mengenai serangan Israel pada 6 Oktober di Beirut, yang menunjukkan adegan serangan berbeza (pautan arkib).

Menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi, sekurang-kurangnya 1,964 orang telah terbunuh di Lubnan sejak 23 September, apabila pertempuran meningkat susulan Israel melancarkan serangan udara dan darat terhadap Hizbullah, yang telah melancarkan serangan roket untuk menyokong Hamas.

Menurut angka rasmi Israel, sekurang-kurangnya 63 orang telah terbunuh di pihak Israel, termasuk 12 di Golan Heights yang diduduki Israel, sejak pertukaran rentas sempadan dengan Hizbullah meletus pada Oktober tahun lalu berikutan serangan maut Hamas ke atas Israel.

Tentera Israel berkata 38 askar telah terbunuh sejak ia memulakan operasi darat di Lubnan.

AFP telah menafikan maklumat salah lain mengenai konflik Israel-Palestin di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami