![](/sites/default/files/medias/factchecking/g2/2025-02/a34a6b5e03aaf5eea8d7d217ad337dc8.jpeg)
Video lama Covid disiarkan dengan dakwaan palsu ia menunjukkan penularan HMPV
- Diterbitkan pada hari Jumaat 07/02/2025 pukul 04:04
- Durasi bacaan 4 minit
- Oleh: AFP Timur Tengah & Afrika Utara, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Virus HMPV menyerang China.. Keadaan darurat telah diisytiharkan di tengah-tengah kebimbangan bahawa ia akan bertukar menjadi pandemik global," bunyi kapsyen siaran Facebook pada 6 Januari 2025.
Video berdurasi dua minit yang disertakan dengan siaran itu menunjukkan orang berpakaian alat pelindung diri dengan tulisan "polis" dibelakang mengheret penduduk ke dalam tahanan manakala beberapa pemerhati menjerit meminta mereka dibebaskan.
![](/sites/default/files/styles/image_in_article/public/medias/factchecking/g2/2025-02/05fb4e76389eb6f24ee86a0d499cee4a.jpeg?itok=sBICrPlT)
Siaran serupa juga tular dalam bahasa Arab.
Satu lagi video yang menunjukkan sekumpulan orang berpakaian alat pelindung diri mengheret penduduk ditonton lebih 8,000 kali di Facebook.
![](/sites/default/files/styles/image_in_article/public/medias/factchecking/g2/2025-02/08fec45ef8cc7e356578c8a554378624.jpeg?itok=IN7DfbOw)
Laporan penularan kes HMPV di China telah mencetuskan kebimbangan dan perbandingan dengan Covid-19. Ia juga menyumbang kepada satu gelombang maklumat salah di media sosial (pautan arkib).
Namun, pakar berkata situasi HMPV tidak boleh dibandingkan dengan pandemik, manakala video yang tular di media sosial tiada kaitan dengan virus HMPV.
Kes HMPV
Virus Covid-19 yang mula tular pada akhir 2019 merupakan virus baharu yang menyebabkan penyakit serius berikutan orang ramai tidak pernah terdedah kepada virus tersebut dan tidak mempunyai imuniti.
HMPV pula sudah lama diketahui dan kebanyakan orang sudah mempunyai sedikit perlindungan.
Pada 7 Januari, WHO berkata ia sudah berhubung dengan pegawai kesihatan China dan ia tidak mendapat laporan yang menunjukkan penularan yang luar biasa (pautan arkib).
"Pihak China berkata sistem kesihatan mereka belum lagi kritikal dan negara itu tidak mengisytiharkan darurat," kata WHO.
Mi Feng, jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, dalam sidang akhbar pada 17 Januari berkata, "Data pengawasan menunjukkan bahawa semua penyakit berjangkit pernafasan pada musim sejuk dan musim bunga adalah disebabkan oleh patogen yang diketahui, dan tiada penyakit berjangkit baharu telah muncul" (pautan arkib).
Laporan pengawasan sentinel Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China pada 30 Januari menunjukkan beberapa virus sedang tular di negara itu, termasuk influenza, HMPV, adenovirus dan mycoplasma pneumonia (pautan arkib). Tambahnya, penularan HMPV sudah menurun.
Video lama Covid-19
Carian kata kunci di Google membawa kepada laporan syarikat penyiaran British BBC yang disiarkan di YouTube pada 15 April 2022 (pautan arkib).
Video BBC menunjukkan pergaduhan antara polis dan penduduk di Shanghai, China tiga minggu selepas bandar itu dikenakan perintah berkurung yang ketat untuk membendung penularan Covid-19.
![](/sites/default/files/styles/image_in_article/public/medias/factchecking/g2/2025-02/d88a5b26cca11606b38f09b2b1db4e44.jpeg?itok=RmISFRvK)
Menurut laporan AFP, sebanyak 25 juta penduduk di Shanghai, pusat ekonomi dan bandar terbesar di China, dikenakan perintah berkurung selama sebulan yang mencetuskan pembelian panik dan pergelutan antara polis dan penduduk (pautan arkib).
Akhbar British The Guardian juga menyiarkan video serupa dari sudut berbeza yang menunjukkan pertembungan antara pihak polis dan penduduk di Shangai pada 15 April 2022 (pautan arkib).
Video kedua yang menunjukkan seorang wanita diheret telah tular di media sosial sejak 2022.
Carian imej terbalik di Google membawa ke siaran X pada 22 Oktober 2022.
![](/sites/default/files/styles/image_in_article/public/medias/factchecking/g2/2025-02/1761a2d87b0085a06d5a88a0db8b6974.jpeg?itok=z9YymqoN)
Akhbar Arab Saudi Sada juga menyiarkan tangkapan skrin video tersebut pada 2022 (pautan arkib).
Beberapa siaran berkenaan HMPV yang dikongsi di Facebook turut menggunakan gambar AFP yang menunjukkan mayat terbaring di jalan yang diambil di Wuhan ketika permulaan wabak Covid-19 pada 2020 (pautan arkib).
![](/sites/default/files/styles/image_in_article/public/medias/factchecking/g2/2025-02/41922d774766458920c5dce6a02bf977.jpeg?itok=_I5sXFI3)
AFP telah menafikan siaran serupa yang mendakwa China mengisytiharkan kecemasan kesihatan berhubung kes HMPV pada Januari 2025 di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami