Ujian DNA hanya syarat untuk kes-kes tertentu dalam pendaftaran kelahiran, kata JPN

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menafikan siaran media yang mendakwa semua bayi baru lahir perlu manjalankan ujian paterniti untuk proses pendaftaran kelahiran. JPN memberitahu AFP ujian DNA hanya diperlukan sebagai dokumen sokongan dalam kes-kes tertentu, seperti percanggahan maklumat dalam dokumen atau untuk mengesahkan pertalian kekeluargaan apabila kelahiran kanak-kanak didaftarkan oleh orang lain selain ibu bapa kanak-kanak itu.

"dengar cerita JPN ada aturan baru, setiap anak yang baru lahir perlu ada test DNA baru boleh daftar. aku sokong, demi jaga keturunan," bunyi teks pada video TikTok yang mendapat lebih 310,000 tontonan sejak 10 Januari 2025. 

Image
Tangkapan skrin siaran TikTok palsu, diambil pada 7 Februari 2025

Dakwaan serupa juga dikongsi di TikTok dan Facebook di sini, di sini dan di sini dalam siaran yang mendapat lebih daripada 4.5 juta tontonan.

Malaysia mewajibkan semua kelahiran didaftarkan dalam tempoh 60 hari oleh ibu bapa, penjaga yang sah atau orang yang mempunyai pengetahuan tentang kelahiran itu (pautan arkib). Bagi anak tidak sah taraf, pendaftaran perlu dilengkapkan oleh kedua-dua ibu dan bapa.

Laman web rasmi JPN menyenaraikan dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran, termasuk borang daftar kelahiran, borang pengesahan kelahiran daripada hospital atau surat pengesahan doktor. Dokumen pengenalan diri ibu bapa atau sijil kematian jika berkenaan, serta dokumen perkahwinan atau perceraian juga diperlukan. 

Ia tidak menyenaraikan ujian DNA sebagai satu keperluan.

Jurucakap JPN juga menolak dakwaan salah itu menerusi video yang disiarkan pada akaun TikTok rasminya pada 21 Januari (pautan arkib).

"Permohonan DNA ini hanya kita minta individu buat bagi kes-kes tertentu sahaja dan bukan untuk semua kelahiran, bukan untuk semua permohonan kad pengenalan (IC), tidak," kata salah seorang jurucakap dalam video itu.

Image
Tangkapan skrin video TikTok yang disiarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara

JPN meminta ujian DNA untuk kes melibatkan percanggahan maklumat dalam permohonan pendaftaran kelahiran atau dalam kes apabila permohonan itu memerlukan individu lain untuk bertindak sebagai penjaga, dimana pertalian kekeluargaan perlu disahkan, kata jurucakap jabatan itu kepada AFP pada 6 Februari.

"Perkara sebegini boleh dikategorikan sebagai maklumat yang diragui dan memerlukan siasatan lanjut sebelum dokumen pengenalan diri dapat dikeluarkan," katanya. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami