Produk monosodium glutamat (MSG) daripada syarikat makanan Ajinomoto dipamerkan di sebuah pasar raya di Tokyo pada 20 Januari 2020. ( AFP / Behrouz Mehri)

Catatan kongsi dakwaan tak benar bahawa produk MSG Ajinomoto diperbuat daripada daging babi

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 24/08/2021 pukul 06:44
  • Dikemas kini pada hari Selasa 24/08/2021 pukul 07:06
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Pelbagai hantaran di Facebook mengongsikan dakwaan bahawa produk perasa umami daripada Ajinomoto diperbuat daripada daging babi. Dakwaan itu tak benar. Ajinomoto menyatakan bahawa produknya menggunakan bahan-bahan berasaskan tumbuhan. Produk MSG syarikat Jepun itu menerima sijil halal di Malaysia dan Indonesia.

Dakwaan tersebut dikongsikan pada 4 Ogos 2021 di Facebook di sini.

Catatan itu berkongsi foto produk perasa makanan umami Ajinomoto.

Perasa umami, yang mengandungi monosodium glutamat (MSG), ditemui oleh mendiang ahli kimia Jepun, Kikunae Ikeda. Beliau mendaftarkan paten itu pada tahun 1908.  

Image
Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 18 Ogos 2021

Kapsyen catatan tersebut berbunyi: "Nama Bahan : Aji-No-Moto.

"Umami seasoning adalah campuran tulang BABI. * PERHATIAN*
Sesiapa yg suka pakai campuran ini. Sabaik nya hentikan."

Dakwaan itu juga telah muncul di sini dan sini.

Dakwaan serupa juga dikongsikan oleh pengguna Facebook Filipina di sini, sini dan sini; dan oleh pengguna Indonesia di sini dan sini.  

Walau bagaimanapun, dakwaan itu adalah tidak benar.

Bahan-bahan berasaskan tumbuhan

Syarikat gergasi makanan Jepun, Ajinomoto menjelaskan di laman webnya: "Hari ini, MSG (monosodium glutamat) yang dikeluarkan oleh Kumpulan Ajinomoto dihasilkan melalui penapaian bahan-bahan berasaskan tumbuhan seperti tebu, bit gula, ubi kayu atau jagung."

Ia juga memperincikan bagaimana ia menghasilkan produk MSG di sini di Facebook.

Sijil halal

Carian di pangkalan data Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menunjukkan bahawa Ajinomoto diluluskan sebagai halal di negara ini.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menolak dakwaan tersebut di halaman Facebooknya di sini pada 6 Ogos 2021. 

Keterangannya menyatakan: "Tapi jangan risau, pengilang MSG terbesar di Malaysia ni ada sijil Halal JAKIM pun. Sumber bahan mentah adalah drpd ubi kayu dan tebu."

Dalam siaran akhbar bertarikh 20 Jun 2021, PT Ajinomoto Indonesia berkata produknya sekali lagi telah menerima sijil halal dari Majlis Ulama Indonesia (MUI).

AFP pernah membongkar dakwaan tidak sahih yang serupa bahawa produk MSG Ajinomoto mengandungi ramuan babi di sini dan sini.

Tangkapan skrin mengelirukan

Carian kata kunci mendapati bahawa tangkapan skrin yang dikongsikan dalam catatan yang mengelirukan telah diambil daripada laman web ini iaitu Pusat Maklumat Umami, sebuah pertubuhan bukan untung yang berpusat di Tokyo.

Ia menyenaraikan daging babi sebagai salah satu sumber ramuan yang kaya dengan umami. Senarai ini juga merangkumi sumber lain, seperti telur, daging ayam, daging lembu, rumpai laut, makanan laut, sayur-sayuran dan cendawan.

Tangkapan skrin yang dikongsikan oleh catatan yang mengelirukan yang berbeza diambil daripada laman sesawang Pusat Maklumat Umami ini, di bawah tajuk "Asas Umami".

Dua perenggan pertama "Sinergi umami" menyatakan: "Bahan utama umami adalah glutamat, inosinat dan guanylate, dan telah terbukti secara saintifik bahawa umami dirasakan jauh lebih kuat apabila hadir bukan secara individu, tetapi apabila glutamat digabungkan dengan inosinat atau guanylate. Ini disebut sebagai sinergi umami. 

"Namun orang ramai telah memanfaatkan sinergi umami selama berabad-abad, jauh sebelum kesan ini terbukti secara saintifik. Di seluruh dunia, dalam hidangan daripada sup yang menggabungkan sayur-sayuran kaya dengan glutamat, dan daging dan ikan yang kaya dengan inosinat, hingga ke rasa pedar masakan Cina yang diekstrak dari tulang ayam atau babi dan bawang hijau, ke dashi Jepun yang diperbuat daripada kombu (tinggi glutamat) dan katsuobushi (tinggi inosinat), orang ramai telah memperoleh pemahaman empirikal mengenai sinergi umami dan mengaplikasikan pengetahuan itu untuk memasak."

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami