Seorang penanam ketum menunjukkan tunas pokok ketum di sebuah ladang di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia, pada 25 Disember 2018. ( AFP / Louis Anderson)

Hantaran media sosial berkongsi dakwaan mengelirukan bahawa ketum mencegah Covid-19

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 25/08/2021 pukul 06:06
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia, AFP Thailand
Pelbagai catatan media sosial telah menyebarkan dakwaan bahawa ketum, yang digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit, boleh mencegah Covid-19. Dakwaan itu mengelirukan. Para pakar kesihatan berkata tidak ada bukti saintifik bahawa daun ketum dapat digunakan untuk mencegah atau merawat Covid-19. Mereka juga memberi amaran terhadap penggunaan tumbuhan tersebut secara tidak terkawal kerana ia mengandungi bahan-bahan ketagihan.

Dakwaan itu dimuat naikkan di Facebook di sini pada 20 Mac 2020.

Catatan itu telah dikongsikan lebih daripada 870 kali.

Sebahagian kapsyen catatan itu berbunyi: "Ditakdirkan Allah jadikan buah dan bunga tumbuhan kontroversi ketum atau ketum ini mirip virus covid-19. Barangkali ini merupakan penawar atau pencegah dari jangkitan, atau kedua-duanya sekali."

Image
Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 18 Ogos 2021

Ketum telah digunakan selama berabad-abad di Asia Tenggara dan Papua New Guinea kerana kesannya yang melegakan kesakitan dan agak merangsang, seperti yang dilaporkan oleh AFP di sini.

Namun begitu, popularitinya menimbulkan kebimbangan kerana sebatian-sebatian yang dijumpai di dalam ketum adalah opioid, yang boleh mendedahkan para pengguna kepada risiko ketagihan.

Dakwaan serupa yang mempromosikan ketum sebagai cara untuk mencegah Covid-19 dikongsikan di sini dan sini.

Dakwaan itu juga muncul dalam bahasa Thai di sini dan sini.

Walau bagaimanapun, dakwaan ini mengelirukan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan infografik ini di laman Facebook rasminya pada 25 Jun 2020, yang menyatakan bahawa "tiada bukti saintifik ataupun kajian makmal yang membuktikan air ketum mampu melawan Covid-19."

Malah, KKM memberi amaran bahawa "pokok ketum mengandungi bahan-bahan psikoaktif mitragynine yang memberi kesan stimulan, sedatif dan euphoria yang boleh menyebabkan penagihan."

Kenyataan yang sama juga dinyatakan oleh pakar perubatan keluarga Dr Suhazeli Abdullah. Dalam catatan Facebook yang diterbitkan pada 11 Ogos 2021 ini, beliau berkata: "Bahan aktif metragynine dalam ketum itu adalah dimasukkan di bawah kategori dadah bahaya yang boleh merosakkan mental (psycho-active)."

Dr Kajornsak Kaewjaras, timbalan ketua pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, berkata bahawa tidak ada bukti saintifik bahawa mengambil daun ketum dapat mencegah Covid-19.

"Dalam konteks perlindungan daripada Covid, ia tidak mungkin, dan tidak disarankan kerana ketum adalah bahan ketagihan," katanya kepada AFP. "Tidak ada percubaan dalam mana-mana kumpulan pun."

Dia juga mengatakan bahawa "tidak ada penyelidikan" untuk menyokong penggunaan tumbuhan itu dalam pencegahan Covid-19.

Para saintis memberi amaran bahawa hanya sedikit kajian telah dilakukan terhadap ubat tersebut, dan pihak berkuasa Amerika Syarikat telah melancarkan kekangan ketika negara itu bergelut dengan wabak opioid.

KKM telah berusaha mendidik orang ramai tentang penyalahgunaan daun ketum selama bertahun-tahun, seperti di sini dan sini.

Penggunaan ketum juga adalah salah di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sebelum in, AFP pernah membongkar pelbagai dakwaan lain yang kononnya penawar untuk Covid-19.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami