Video ini menunjukkan cubaan rompakan di sebuah kedai tilam di Brazil

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Ahad 11/07/2021 pukul 05:47
  • Dikemas kini pada hari Rabu 03/11/2021 pukul 10:46
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Singapura, AFP Malaysia
Satu video telah ditonton ribuan kali di Facebook dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan satu kejadian di sebuah klinik di Malaysia. Dakwaan itu tidak benar: video itu merupakan rakaman CCTV dari sebuah kedai tilam di Brazil. Cubaan rompakan itu digagalkan oleh pemilik yang menembak balik dengan pistol.
     

Video tersebut dikongsikan pada 29 Jun 2021 di sini di Facebook, di mana ia telah ditonton setidaknya 100 kali. 

Image
Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil 30 Jun 2021

Keterangan catatan itu menyatakan: "Klinik kena rompak di Puchong, perompak ditembak Oleh doktor beberapa kali. Seorg lepas lari". 

Video itu telah ditonton melebihi 5,000 kali selepas ia dikongsikan di Facebook di sini, sini dan sini, bersama-sama dakwaan serupa.

Ia juga muncul di sini dan sini, dengan dakwaan berbahasa Inggeris yang mendakwa bahawa kejadian tersebut berlaku di Johor Bahru.

Dakwaan itu tidak benar.

Hasil carian imej terbalik di Google mendapati video tersebut telah muncul dalam laporan ini dari portal berita Brazil G1 pada 9 Jun 2021.

Diterjemahkan daripada bahasa Portugis ke dalam bahasa Malaysia, ia bertajuk: "VIDEO: Pemilik kedai bertindak balas terhadap rompakan dan menembak perompak yang masuk ke dalam kedai tilam di RO."

RO bermaksud Rondonia, sebuah negeri di utara Brazil.  

Dua perenggan pertama menyatakan: "Pemilik sebuah kedai tilam menembak dua perompak bersenjata yang menyerang kedainya, di kejiranan Nova Brasília, di Ji-Parana (RO). Kamera CCTV merakam aksi tersebut.

"Menurut laporan polis itu, kes itu berlaku pada tengah hari Selasa (8 Jun), selepas penjenayah pertama tiba di kedai tersebut dengan menyamar sebagai pelanggan. Sebaik sahaja anak perempuan peniaga itu membuka pintu kedai itu, lelaki itu masuk dan mengumumkan rompakan itu."

Menurut laporan itu, salah seorang penyerang tersebut meninggal dunia di hospital ketika menjalani pembedahan, manakala seorang lagi dikesan dan ditahan semasa dia sedang meminta bantuan perubatan di sebuah bandar jiran.

Video yang sama juga dimuat naikkan oleh media Brazil, Band Jornalismo di saluran YouTube rasminya di sini pada 10 Jun 2021.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video di catatan yang mengelirukan (kiri) dan video di laporan G1 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video di catatan yang mengelirukan (kiri) dan video di laporan G1 (kanan)

Polis Diraja Malaysia telah mengeluarkan kenyataan pada 29 Jun 2021 di laman Facebooknya di sini dan sini bahawa kejadian itu berlaku di luar negara, bukan di Puchong. 

3 November 2021 Artikel ini dikemas kini untuk membetulkan terjemahan laporan berita mengenai penyerang kedua.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami