Mahkamah Agung AS di Washington, DC, diambil pada 1 September 2021 ( AFP / Mandel Ngan)

Mahkamah Agung AS tidak putus menentang vaksinasi wajib

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 03/11/2021 pukul 11:06
  • Dikemas kini pada hari Isnin 08/11/2021 pukul 04:14
  • Durasi bacaan 5 minit
  • Oleh: Juliette MANSOUR, AFP Malaysia, AFP Perancis
Satu catatan telah tersebar secara meluas di Facebook yang mendakwa bahawa Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) "membatalkan" vaksinasi wajib berikutan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh peguam Robert F. Kennedy Jr. Dakwaan tersebut tidak benar. Duluan untuk vaksinasi wajib bermula sejak keputusan Mahkamah Agung dari tahun 1905 dan tidak dicabar sejak itu.

Dakwaan itu dikongsikan bersama dengan satu pautan di Facebook di sini pada 28 Ogos 2021.

Sebahagian kapsyennya berbunyi: "Mahkamah Agung telah membatalkan vaksinasi sejagat Di Amerika Syarikat, Mahkamah Agung telah membatalkan vaksinasi sejagat. Bill Gates, Ketua Pakar Penyakit Berjangkit AS Fauci, dan Big Pharma telah kehilangan tuntutan di Mahkamah Agung AS, gagal membuktikan bahawa semua vaksin mereka selama 32 tahun terakhir telah selamat untuk kesihatan warga! Tuntutan itu diajukan oleh sekumpulan saintis yang diketuai oleh Senator Kennedy."

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook, diambil pada 3 November 2021

Dakwaan serupa juga dikongsikan di sini dan di sini.

Dakwaan itu muncul di Facebook dalam bahasa Inggeris, bahasa Itali, bahasa Serbia, dan di Twitter dalam bahasa Perancis.

Dakwaan tersebut juga diterbitkan di laman web berbahasa Inggeris ini.

Vaksinasi wajib di Amerika Syarikat

Vaksinasi wajib berada di bawah bidang kuasa negeri, bukan persekutuan. Setiap negeri mempunyai kuasa undang-undang dan perlembagaan untuk mengkehendaki warganya divaksinasi terhadap penyakit berjangkit.

Kini, semua 50 negeri mempunyai undang-undang yang mengkehendaki kanak-kanak diberi vaksin "terhadap penyakit berjangkit tertentu" untuk menghadiri sekolah awam dan swasta.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS memperincikan undang-undang vaksinasi sekolah negeri di laman webnya. Terdapat juga vaksin wajib tertentu untuk para pekerja penjagaan kesihatan dan untuk orang yang memohon untuk kediaman tetap di Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, semua negeri membenarkan pengecualian perubatan — seperti alergi terhadap vaksin — dan 45 negeri dan Washington DC memberikan pengecualian untuk tujuan keagamaan, mengikut Persidangan Kebangsaan Badan Perundangan Negeri.

Vaksinasi yang dimandatkan oleh negeri bermula dari kes Jacobson vs. Massachusetts Supreme Court pada tahun 1905. Dalam keputusan mereka, Mahkamah Agung tersebut memutuskan bahawa vaksinasi wajib berada di bawah bidang kuasa negeri.

"Beberapa tahun kemudian, Mahkamah Agung tersebut memetiknya sebagai duluan untuk perlembagaan undang-undang negeri yang mengkehendaki kanak-kanak diberi vaksin sebelum mula bersekolah (Zucht v. King)," kata Wendy E. Parmet, seorang pakar dalam dasar kesihatan awam dan seorang profesor undang-undang di Universiti Northeastern, kepada AFP Fact Check.

Sebelum ini, tiada negeri yang mewajibkan vaksin Covid-19, tetapi setelah kehabisan pilihan dan akibat penularan varian-varian Covid-19 baru, beberapa negeri dan perbandaran telah mengumumkan bahawa mereka menghendaki kategori pekerja tertentu untuk diberi vaksin.

"Negeri-negeri mempunyai kuasa undang-undang dan perlembagaan untuk mengkehendaki orang yang tinggal di negeri itu divaksinasi, atau untuk memperkenalkan mandat vaksin," jelas sarjana undang-undang Joanne Rosen dalam wawancara ini yang diterbitkan oleh Sekolah Kesihatan Awam Bloomberg di Universiti Johns Hopkins.

Presiden Joe Biden berjanji pada awal Disember 2020 bahawa vaksinasi terhadap Covid-19 tidak akan diwajibkan pada peringkat persekutuan, tetapi pada 9 September 2021 beliau memandatkan vaksin Covid-19 untuk dua pertiga pekerja AS melalui langkah-langkah khusus dalam usahanya untuk membendung kes-kes Covid-19 akibat varian Delta.

Tidak ada keputusan Mahkamah Agung

Dakwaan itu juga menyebut bahawa Mahkamah Agung "membatalkan" vaksinasi wajib di AS. Namun begitu, tidak ada keputusan seperti itu yang muncul di laman web Mahkamah Agung, yang menyenaraikan semua keputusan di bawah "pendapat mahkamah" untuk kes-kes yang sedang disemak dan di bawah "perintah mahkamah" untuk ringkasan keputusan.

"Sepanjang pengetahuan saya, tidak ada keputusan baru-baru ini mengenai peraturan vaksin yang dibatalkan oleh Mahkamah Agung. Saya tidak tahu ada kes Mahkamah Agung AS yang membatalkan duluannya sendiri mengenai vaksin," kata Parmet.

Keselamatan vaksin

Dakwaan yang sama menuduh “Bill Gates”, “Fauci” dan “Big Pharma” yang telah kalah di Mahkamah Agung AS dan gagal membuktikan bahawa semua vaksin mereka sejak 32 tahun kebelakangan ini selamat untuk kesihatan warga AS.

Tuduhan ini nampaknya merujuk kepada khabar angin lain yang disebarkan secara meluas di AS mengenai satu keputusan mahkamah dari tahun 2018 yang dikendalikan oleh Daerah Selatan New York, di mana organisasi anti-vaksin AS, Rangkaian Tindakan Persetujuan Termaklum Anti Vaksin (ICAN) mengemukakan tuntutan mahkamah terhadap Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS (HHS) untuk melepaskan laporan-laporan terperinci tentang kesan sampingan vaksin.

Tetapi, jabatan itu berkata ia tidak dapat menemui laporan-laporan tersebut, yang dipetik oleh ICAN sebagai bukti bahawa kerajaan persekutuan telah gagal mengkaji sepenuhnya kesan vaksin sejak 30 tahun yang lalu.

Walau bagaimanapun, para saintis dan laman web penyemak fakta PolitiFact memperhatikan bahawa banyak laporan-laporan mendalam mengenai kesan sampingan vaksin telah diterbitkan oleh HHS dan agensi AS yang lain.

Robert F. Kennedy Jr.

Dakwaan itu juga mendakwa "sekelompok ilmuwan" yang diketuai oleh "Senator Kennedy" mengemukakan tuntutan mahkamah itu dan memetik kenyataan yang dikaitkan dengan Robert F. Kennedy Jr.

Namun demikian, Kennedy tidak pernah menjadi senator AS. Beliau ialah peguam alam sekitar dan terkenal dengan pendirian anti-vaksinasi.

Image
Peguam AS Robert F. Kennedy Jr di New York Hilton Midtown pada 12 Disember 2018. ( AFP / Angela Weiss)

Akaun Instagramnya telah ditutup pada bulan Februari 2021 "kerana berulang kali berkongsi dakwaan palsu tentang koronavirus atau vaksin", menurut kenyataan Facebook pada 12 Februari 2021.

Kennedy pernah menyokong ICAN dalam tuntutan mereka terhadap HHS pada tahun 2018, tetapi dia tidak memfailkan rayuan baru-baru ini dengan Mahkamah Agung.

AFP pernah membongkar pelbagai dakwaan palsu yang disebar oleh Kennedy di sini, sini, sini dan sini.

Vaksin mRNA tidak ubah DNA

Dakwaan tersebut juga mendakwa bahawa vaksin mRNA Covid-19 “bukan vaksin” tetapi merupakan “instrumen pengaruh genetik” yang mengubah DNA seseorang.

Dakwaan ini palsu. Vaksin menggunakan mRNA tidak mengubah DNA manusia.

"Vaksin mRNA memang benar-benar vaksin hidup yang menghasilkan antigen yang dimaksudkan, iaitu protein spike SARS-CoV-2, di tempat suntikan. Mereka tidak mengubah DNA genetik sel perumah, dan tidak dapat mengubah gen sel penerima," kata Grant McFadden, pengarah Pusat Biodesign untuk Imunoterapi, Vaksin dan Viroterapi, di Universiti Negeri Arizona, kepada AFP pada bulan Mac 2021.

Maria Victoria Sanchez, seorang penyelidik di Makmal Pembangunan Imunologi dan Vaksin IMBECU-CCT-CONICET di Argentina, juga memberitahu AFP pada September 2020 bahawa vaksin mRNA tidak boleh menembusi gen seseorang.
"Proses ini dijalankan dalam sitoplasma, bukan dalam nukleus sel," katanya. "RNA pengutus atau messenger RNA tidak boleh 'masuk ke dalam' DNA kita."

AFP pernah membongkar dakwaan tak benar mengenai vaksin mRNA di sini dan sini.

8 November 2021 Artikel ini dikemas kini untuk menambah komen pakar.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami