Video ini adalah animasi digital dan bukan ribut tropika di Oman

Satu video yang menunjukkan ribut yang menjulang tinggi melewati sebuah bandar tepi pantai dikongsikan di media sosial dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan Taufan Shaheen, taufan yang membawa maut dan menyebabkan kerosakan yang meluas di Oman pada bulan Oktober 2021. Dakwaan itu tidak benar. Klip tersebut telah dicipta dengan perisian animasi dan imej komposit pada tahun 2019.

Video yang memaparkan apa yang kelihatan seperti ribut dramatik menuju ke arah sebuah bandar pesisir pantai tersebut dimuat naikkan di Facebook di sini pada 22 Oktober 2021 di mana ia telah ditonton melebihi 8,300 kali.

Kapsyennya menyatakan: “Ribut Taufan Shaheen melanda Oman & Iran... Be prepared...…”

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 8 November 2021

Taufan Shaheen melanda Oman pada 3 Oktober 2021, menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang meluas, lapor AFP di sini dan sini. Bencana itu mengakibatkan setidaknya 14 kematian.

Video itu telah ditonton lebih daripada 47,800 kali setelah muncul dengan dakwaan yang serupa di Instagram dan YouTube.

Rakaman video itu juga beredar dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris.

Walau bagaimanapun, video tersebut tidak menggambarkan bencana ini.

Karya seni digital

Video tersebut ialah berdasarkan imej komposit karya artis digital Amerika Syarikat Brent Shavnore.

AFP pernah membongkar dakwaan tak benar bahawa video itu menunjukkan Taufan Dorian di Bahamas pada tahun 2019.

Pada masa itu, Shavnore menjelaskan kepada AFP bahawa video itu adalah versi animasi satu imej komposit yang diciptanya dengan menggabungkan satu foto udara (aerial shot) Pantai Selatan di Miami dan satu gambar stok awan ribut.

Image
Perbandingan tangkapan skrin imej yang digunakan untuk mencipta video (kiri) dan dua gambar stok yang digunakan untuk mencipta imej komposit itu (tengah dan kanan)

Shavnore berkata animasi pada imej itu dibuat oleh pengguna Instagram lain bernama TheGlitch, yang memuat naikkan video itu di sini pada 18 Mei 2019.

Shavnore turut memuat naikkan video tersebut ke akaun Instagramnya sehari kemudian.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan (kiri) dan video asli di Instagram (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan (kiri) dan video asli di Instagram (kanan)

Pada tahun 2020, AFP juga pernah membongkar satu lagi karya Shavnore yang didakwa memaparkan ribut di Carolina Selatan, Amerika Syarikat. Kali ini, imej komposit Shavnore, bukan video, yang disalahnyatakan.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami