Gambar longgokan kayu balak di luar rumah diambil di Kelantan di tahun 2013 — bukan di Pahang di bulan Disember 2021

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari 25/01/2022 jam 11:19
  • Dikemas kini pada hari 25/01/2022 jam 11:41
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Imej balak yang bertaburan di kawasan perumahan telah dikongsi ratusan kali di Facebook pada Januari 2022 bersama dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan keadaan di Pahang selepas banjir akhir tahun 2021. Tetapi, foto itu telah dikongsi dalam konteks palsu. Ia telah tersebar sejak sekurang-kurangnya tahun 2013 dalam laporan berita tentang treler yang terbabas berdekatan sebuah kediaman di Kelantan. 
  

Imej tersebut telah dimuat naikkan di Facebook di sini pada 1 Januari 2022, di mana ia telah dikongsi melebihi 80 kali.

Kapsyennya menyatakan: "BERUNTUNG orang PAHANG… Kerajaan bagi Balak hantar depan rumah lagi ."

Image
Tangkapan skrin hantaran mengelirukan, diambil pada 13 Januari 2022

Pihak berkuasa di Malaysia melaporkan bahawa lebih daripada 125,000 orang telah dipindahkan ketika hujan lebat pada bulan Disember 2021 memburukkan keadaan banjir di tujuh negeri, lapor AFP di sini pada 2 Januari 2022.

Catatan itu nampaknya menyindir pengumuman ini oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang mendapati aktiviti pembalakan bukan sebab sisa-sisa kayu hanyut dalam banjir.

Kenyataan itu turut dilaporkan di sini oleh The Star. 

Imej itu telah dikongsi lebih daripada 1,200 kali setelah ia mula beredar pada akhir Disember 2021 bersama dengan dakwaan yang sama di Facebook, seperti di sini, sini, sini dan sini.

Walau bagaimanapun, imej itu telah dikongsi dalam konteks yang palsu.

Carian imej terbalik untuk imej tersebut mendapati ia telah digunakan dalam laporan ini daripada Harian Metro pada 27 Februari 2013.

Laporan bertajuk "Balak bawa bala" itu mengenai kejadian kayu balak bergolek dari sebuah treler yang terbabas berdekatan sebuah kediaman di Rantau Panjang, Kelantan.

Artikel dan foto yang sama turut diterbitkan pada hari yang sama dalam beberapa blog tempatan, seperti di sini dan di sini.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin foto dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar yang diterbitkan pada tahun 2013 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin foto dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar yang diterbitkan pada tahun 2013 (kanan)

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami