Gambar-gambar Khairy Jamaluddin ini diambil di dua acara vaksinasi Covid-19 berbeza

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Dua gambar dikongsi dalam pelbagai catatan di Facebook dengan dakwaan foto-foto tersebut menunjukkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerima vaksin Covid-19 hanya sekali, bukan dua kali, kerana beliau memakai pakaian yang sama dalam foto-foto itu. Dakwaan itu tak benar. Gambar pertama diambil daripada acara vaksinasi pertamanya pada bulan Mac 2021, manakala gambar kedua daripada acara vaksinasi kedua sebulan kemudian. Khairy memakai stoking dan kasut yang berbeza ketika kedua-dua peristiwa itu. Jurucakap kementeriannya juga telah menolak dakwaan itu.

Dua gambar yang menunjukkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memakai pakaian serba hitam telah dimuat naikkan di Facebook di sini pada 6 Januari 2022.

Dalam foto yang pertama, beliau memegang plakad "Saya Telah Divaksin," manakala dalam foto kedua, plakadnya berbunyi: "Saya Sudah Lengkap Dua Dos."

Kapsyen catatan itu menyatakan: "done dos 1....done dos 2.... aik.... baju y sama...fashion rambut y sama... peace✌️ yg sama... tempat y sama.... frontliner y sama.... TAPI....... placard je yg lain SURATAN ATAU KEBETULAN???Atau main amik je gambar sebelum ni yg sama edit utk posting media?"

Tangkapan skrin catatan Facebook mengelirukan yang diambil pada 13 Januari 2022

Khairy, terdahulu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan ketua program vaksinasi Covid-19, menjadi orang yang pertama di negara ini yang menerima dos pertama vaksin Covid-19 jenama Sinovac pada 18 Mac, 2021, seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia dan Astro Awani.

Beliau menjadi menteri kesihatan selepas rombakan kabinet pada 27 Ogos 2021.

Dua gambar tersebut telah dikongsi lebih daripada 50 kali selepas mereka muncul dengan dakwaan yang serupa di Facebook di sini, sini, sini dan sini.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar.

Foto pertama

Carian imej terbalik mendapati foto yang pertama muncul dalam laporan ini yang diterbitkan oleh portal berita tempatan Sinar Harian pada 18 Mac 2021.

Laporan itu bertajuk: "KJ individu pertama terima suntikan vaksin Sinovac."

Kapsyen foto itu berbunyi: "Khairy Jamaluddin selesai mendapatkan vaksin Covid-19, jenis Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Hospital Rembau sebentar tadi."

Berikut ialah tangkapan skrin laporan Sinar Harian:

Tangkapan skrin laporan Sinar Harian

Gambar-gambar daripada vaksinasi pertamanya di Hospital Rembau turut dimuat naik dalam ciapan ini oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dalam catatan di laman Facebook beliau pada hari yang sama.

Foto kedua

Carian imej terbalik mendapati gambar kedua pertama kali muncul dalam ciapan ini daripada akaun Twitter rasmi MOSTI pada 8 April 2021.

Ciapan itu berbunyi: "YB @Khairykj menerima dos kedua vaksin jenis Sinovac di Hospital Rembau, Negeri Sembilan hari ini bersama para petugas barisan hadapan."

Gambar yang sama berserta foto-foto lain daripada acara vaksinasi kedua Khairy turut dimuat naikkan di laman Facebook beliau dan laman web MOSTI pada hari yang sama.

Pakaian berbeza

Dengan meneliti gambar-gambar daripada acara vaksinasi pertama dan kedua beliau, Khairy boleh dilihat memakai stoking dan kasut yang berbeza semasa kedua-dua peristiwa itu.

Seperti yang dilihat dalam gambar-gambar vaksinasi pertama, dimuat naikkan di sini dan sini, Khairy memakai sepasang kasut serba hitam bersama dengan sepasang stoking kuning.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin foto-foto daripada vaksinasi pertama Khairy:

Perbandingan tangkapan skrin foto-foto daripada vaksinasi pertama Khairy

Berikut adalah perbandingan syot rapat kasut dan stoking beliau semasa acara vaksinasi pertamanya:

Perbandingan syot rapat kasut dan stoking beliau semasa acara vaksinasi pertamanya

Semasa acara vaksinasi kedua, beliau memakai sepasang kasut hitam putih dan sepasang stoking berwarna kuning firus, seperti yang dilihat dalam foto ini dan ini.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin foto-foto daripada vaksinasi kedua Khairy:

Perbandingan tangkapan skrin foto-foto daripada vaksinasi kedua Khairy

Berikut adalah perbandingan syot dekat kasut dan stoking beliau semasa acara vaksinasi keduanya:

Perbandingan syot dekat kasut dan stoking beliau semasa acara vaksinasi keduanya

Setiausaha akhbar menteri kesihatan Raja Syahrir Abu Bakar, memberitahu AFP pada 28 Januari 2022: "Dia memakai kemeja-T yang sama untuk kedua-dua acara. Tetapi anda boleh lihat kasut dan stokingnya berbeza."

Malaysia memulakan kempen vaksinasi Covid-19 pada 24 Februari 2021, dengan Muhyiddin Yassin, perdana menteri ketika itu, menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech.

Menurut data setakat 7 Februari 2022, hampir 80% penduduk telah menerima dua dos vaksin.

9 Februari 2022 Laporan ini telah dikemas kini pada 9 Februari 2022 untuk menambah gambar perbandingan syot dekat.
COVID-19 VAKSIN