Penipuan pancingan data menyamar sebagai inisiatif kerajaan sasar ibu mengandung

Kerajaan persekutuan tidak menawarkan skim bantuan berjumlah RM500 kepada ibu mengandung, bertentangan dengan dakwaan dalam hantaran media sosial. Siasatan AFP mendapati skim itu sebenarnya merupakan penipuan pancingan data (phishing) yang bertujuan mendapatkan akses kepada akaun Telegram pengguna. Kementerian Kewangan tidak menyenaraikan sebarang skim bantuan sedemikian di laman web rasminya, manakala kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat turut mengesahkan tiada bantuan untuk ibu mengandung disediakan di peringkat persekutuan.

"Info Bantuan Ibu Bersalin 2026. Jom Ibu² Yang Tengah Mengandung Boleh Mohon Sekaran," bunyi siaran TikTok dikongsi pada 27 April 2026. 

Hantaran itu memaparkan grafik yang mengandungi logo Malaysia Madani serta Jata Negara. Teks pada grafik tersebut mengulangi dakwaan palsu bahawa ibu yang sedang hamil atau yang baru melahirkan anak boleh memohon bantuan tunai RM500.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 27 April 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Hantaran serupa turut dikongsi di siaran TikTok yang lain, namun kerajaan persekutuan tidak menyediakan bantuan kepada ibu mengandung atau mereka yang baru melahirkan anak.

Akaun tersebut, yang kononnya dimiliki oleh seorang doktor bernama Dr Faizan Irda Atty, menggesa individu berminat untuk menghantar mesej ke nombor telefon WhatsApp yang disenaraikan dalam biodata akaun itu bagi tujuan permohonan.

Semakan terhadap daftar doktor Majlis Perubatan Malaysia tidak menemui individu dengan nama tersebut (pautan arkib).

AFP menghubungi nombor WhatsApp berkenaan dan diminta untuk memberikan nombor telefon Telegram, yang didakwa oleh pengguna itu sebagai satu-satunya kaedah untuk memohon bantuan tersebut. Selepas AFP memberikan nombor telefon, pengguna itu mendakwa telah menghantar kod pengesahan dan meminta AFP untuk memberikan kod tersebut.

Pihak polis sebelum ini telah memberi amaran mengenai penipuan pancingan data seumpama ini, yang menurut mereka bertujuan merampas akaun Telegram untuk digunakan dalam jenayah siber lain seperti penyamaran, pemerasan dan penipuan dalam talian (pautan arkib).

Skim bantuan bersasar

Carian kata kunci Google membawa kepada laman web Kementerian Kewangan, yang menyenaraikan semua program bantuan kerajaan yang tersedia (pautan arkib). Senarai itu tidak menyertakan sebarang skim bantuan bersalin.

Image
Tangkapan skrin laman web Kementerian Kewangan yang memaparkan senarai semua skim bantuan kewangan yang tersedia

Carian lanjut mendapati bahawa bantuan tunai bersasar untuk ibu mengandung atau mereka yang baru melahirkan anak disediakan oleh kerajaan negeri Sarawak, serta oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) (pautan arkib di sini dan di sini).

Bantuan tunai yang disediakan oleh Sarawak hanya ditawarkan kepada ibu mengandung yang dilahirkan di negeri itu dan mempunyai huruf "K" pada kad pengenalan mereka.

Sementara itu, bantuan MITRA pula terhad kepada wanita berpendapatan rendah daripada komuniti India.

Seorang jurucakap Kementerian Kewangan mengesahkan kepada AFP pada 29 April: "Kami telah berunding dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang mengesahkan bahawa tiada bantuan sedemikian disediakan di peringkat persekutuan."

AFP sebelum ini telah menafikan akaun-akaun yang menyamar sebagai skim bantuan kerajaan, serta penipu dalam talian yang menyasarkan rakyat Malaysia yang mencari bantuan kewangan atau memohon dokumen imigresen dengan menggunakan klip video berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami