Siaran palsu kongsi reka bentuk MyKad baharu tanpa gambar

Rancangan kerajaan untuk menambah baik MyKad menjadi sasaran maklumat salah apabila timbul dakwaan bahawa kad pengenalan baharu akan dikeluarkan tanpa gambar. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan palsu tersebut, manakala seorang pakar undang-undang memberitahu AFP bahawa gambar pemilik merupakan antara butiran wajib dalam MyKad, seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Satu imej kononnya menunjukkan reka bentuk kad pengenalan baharu, yang memaparkan jata negara, bendera dan cap ibu jari digital, dikongsi di Facebook pada 14 April 2026.

"Katernya mycard baru tanpa gambar. Bahaya ni," bunyi teks pada gambar siaran itu, dengan kesalahan ejaan pada nama rasmi kad pengenalan yang lazimnya disebut 'MyKad' (pautan arkib). 

Siaran itu turut mendakwa bahawa warga China yang tinggal di Malaysia melebihi tempoh visa boleh diberikan kad baharu tersebut bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya umum akan datang. Siaran itu juga mendakwa bahawa kad pengenalan baharu berkenaan akan dikeluarkan oleh sebuah syarikat dari China.

AFP sebelum ini menafikan dakwaan palsu bahawa berjuta-juta rakyat China diberi kewarganegaraan. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 21 April 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Imej sama dikongsi dengan dakwaan serupa tentang reka bentuk kad pengenalan baharu di Facebook, manakala versi lain dakwaan itu yang menunjukkan gambar pemilik digantikan dengan kod QR.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, mengumumkan pada 8 Januari bahawa kerajaan merancang untuk memperkenalkan pasport dan kad pengenalan baharu dengan ciri keselamatan dipertingkatkan pada tahun ini sebagai langkah untuk mengekalkan integriti dokumen itu (pautan arkib di sini dan di sini). 

Setakat 24 April, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang imej rasmi dokumen pengenalan diri yang baharu. 

Carian kata kunci di Google mendapati Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata dakwaan itu "palsu" menerusi siaran Facebook pada 17 April (pautan arkib).

"Imej maklumat yang disebarkan tidak menggambarkan reka bentuk sebenar MyKad baharu," kata jabatan itu, sambil menambah ciri-ciri kod QR hanyalah merupakan salah satu ciri tambahan untuk meningkatkan keselamatan dan memudahkan pengesahan digital kelak.

Image
Tangkapan skrin kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara di Facebook

Katanya, MyKad baharu akan dihasilkan mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPPN 1990) yang telah menetapkan beberapa butiran asas tertentu perlu ada pada dokumen pengenalan diri itu. 

Joshua Wu, seorang timbalan pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam Malaysia, memberitahu AFP pada 24 April, butiran gambar pemilik disenaraikan secara khusus dalam peraturan-peraturan, sambil merujuk kepada dokumen elektronik yang diarkib oleh sebuah syarikat penerbitan undang-undang. 

Image
Tangkapan skrin dokumen elektronik, diarkib oleh sebuah syarikat penerbitan undang-undang

"Salah satu perlindungan perlembagaan yang ada untuk memastikan orang layak mengundi pada pilihan raya ialah gambar pemilik [kad pengenalan]," kata Wu mengenai dakwaan bahawa warganegara asing yang berada di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan visa boleh menggunakan kad pengenalan dengan reka bentuk baharu tanpa gambar itu untuk mengundi dalam pilihan raya umum.

Jelasnya lagi, perlindungan perlembagaan lain adalah Daftar Pemilih dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan hanya individu dalam Daftar Pemilih yang layak mengundi.

"Ini adalah perlindungan terhadap (kes) pemalsuan MyKad," katanya, sambil menambah rakyat boleh menyemak maklumat Daftar Pemilih secara dalam talian (pautan arkib). 

AFP telah menafikan dakwaan palsu lain tentang dokumen pengenalan diri baharu.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami