Hantaran palsu dakwa sijil lahir tulisan tangan tidak sah
- Diterbitkan pada hari 19/05/2026 jam 08:33
- Durasi bacaan 1 minit
- Oleh: Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Sijil lahir tulisan tangan dikeluarkan sehingga 1994, namun hantaran media sosial yang mendakwa dokumen tersebut tidak lagi sah adalah tidak benar. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan itu, dengan menyatakan bahawa ia tidak pernah meminta orang ramai untuk menggantikan sijil lahir kecuali jika dokumen tersebut rosak.
Satu video yang dikongsi pada 6 Mei 2026 di TikTok mendakwa sijil kelahiran tulisan tangan tidak lagi sah dan menggesa orang ramai untuk mengemas kini dokumen tersebut.
Tambahnya, ramai hanya menyedari mereka perlu menggantikan dokumen itu apabila diperlukan untuk urusan rasmi kerajaan.
Setiap kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia dengan sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia mesti didaftarkan bagi memastikan identiti dan status kewarganegaraan mereka diiktiraf (pautan arkib).
Malaysia mengeluarkan sijil lahir tulisan tangan sejak tahun 1955 ketika Malaysia masih di bawah pemerintahan British, sebelum beralih kepada sistem berkomputer pada tahun 1994 (pautan arkib).
Hantaran serupa turut tersebar di Facebook, Threads dan X. Komen pengguna menunjukkan ada yang mempercayai dakwaan tersebut.
"Wajib tukar. Sebab diorg nak masukkan data dlm server ikut negeri kelahiran,untuk memudahkan carian dlm sistem berkaitan urusan2 kerajaan nanti..," tulis seorang pengguna.
Seorang lagi berkata: "Bahaya .. ada yang ckp klu tak tukar mykad akan digunting."
Namun, kerajaan tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian.
Carian kata kunci di Google mendapati JPN menolak dakwaan tersebut melalui akaun Threads rasmi mereka pada 20 April (pautan arkib).
"JPN tidak pernah membatalkan penggunaan sijil kelahiran lama, ia masih sah digunakan," katanya.
"Namun, dalam situasi tertentu, semua orang yang berkenaan digalakkan mendapatkan cabutan sijil kelahiran terkini, terutamanya jika dokumen asal telah rosak, pudar atau sukar dibaca."
Jabatan itu juga memuat naik video di akaun TikTok rasmi mereka bagi menjelaskan dakwaan yang tular, dengan jurucakap JPN mengulangi kenyataan tersebut (pautan arkib).
"Sesetengah agensi kadang-kadang dia minta surat beranak baru sebab tulisan tangan itu dah pudar ataupun dah terkoyak, rosak dan sebagainya. Jadi, kena buat yang baru," katanya.
AFP sebelum ini turut menangkis dakwaan palsu lain berkaitan dokumen pengenalan diri di Malaysia.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami