Imej janaan AI dakwa Arab Saudi larang foto, video di lokasi haji
- Diterbitkan pada hari 08/05/2026 jam 04:11
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Ketika berjuta-juta jemaah haji dari seluruh dunia berhimpun di Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji, hantaran di media sosial secara palsu mendakwa negara itu telah melarang pengambilan foto dan video di Masjidil Haram. Pihak berkuasa Arab Saudi tidak mengenakan sebarang sekatan, tetapi mengingatkan jemaah agar mengutamakan ibadah serta bertimbang rasa terhadap jemaah lain. Imej yang disertakan bersama hantaran tersebut, yang kononnya menunjukkan papan tanda larangan berkenaan, juga dijana oleh kecerdasan buatan (AI).
Satu siaran Facebook yang dikongsi pada 25 April 2026 mendakwa Arab Saudi telah melaksanakan beberapa sekatan baharu untuk jemaah haji tahun ini.
"Adalah dilarang sama sekali untuk membuat sebarang jenis *fotografi atau video* di dalam atau di luar Masjidil Haram atau semasa Tawaf. Mana-mana jemaah lelaki atau wanita yang melanggar peraturan ini akan ditangkap serta-merta dan didenda 10,000 riyal Saudi. Dan pada masa yang sama, visa Haji akan dibatalkan dan dia akan dihantar pulang ke negaranya," bunyi hantaran itu.
Hantaran tersebut turut disertakan dengan imej yang kononnya memaparkan papan tanda di Masjidil Haram mengenai larangan itu.
Hantaran serupa yang menggunakan imej sama turut dikongsi di Facebook, Instagram and Threads.
Walaupun Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menerbitkan panduan mengenai tingkah laku jemaah di tempat suci, ia tidak pernah mengharamkan fotografi atau videografi (pautan arkib).
"Kami menghargai keinginan anda untuk merakam detik yang tidak ternilai ini, namun terlalu sibuk mengambil gambar boleh mengalih tumpuan daripada ibadah, mencabul privasi orang lain serta mengganggu pengunjung di Dua Masjid Suci," menurut panduan tersebut yang merujuk kepada Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.
"Sila bertimbang rasa terhadap keselesaan jemaah lain dan elakkan daripada mengambil gambar."
Carian kata kunci turut menemui satu hantaran Facebook oleh kementerian tersebut pada 1 Januari yang menyeru pengunjung supaya menjaga adab ketika mengambil foto dan video (pautan arkib).
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, juga memberitahu Astro Awani bahawa tiada larangan terhadap fotografi atau videografi, namun beliau mengingatkan jemaah supaya memberi keutamaan kepada ibadah ketika berada di masjid (pautan arkib).
Analisis terhadap imej yang disertakan dalam hantaran palsu itu menunjukkan ia dijana oleh AI.
Tera air Gemini, alat AI milik Google, dapat dilihat di sudut kanan bawah imej tersebut (pautan arkib).
Bahasa pada papan tanda yang kononnya melarang pengambilan foto dan video juga ditulis dalam bahasa Urdu, bahasa kebangsaan Pakistan, bukannya bahasa Arab, bahasa rasmi Arab Saudi. Saiz fon pada papan tanda itu juga kelihatan tidak konsisten.
AFP sebelum ini telah menangkis pelbagai maklumat salah lain berkaitan ibadah haji.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami