Komen lama PM Anwar disalah tafsir sebagai reaksi kekalahan dalam PRN Negeri Sembilan
- Diterbitkan pada hari 22/07/2026 jam 09:52
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi MAMAT, AFP Malaysia
Beberapa hari selepas gabungan Pakatan Harapan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengalami kekalahan besar dalam Pilihan Raya Negeri Johor, satu laporan lama muncul semula dalam siaran mengelirukan yang mendakwa Pilihan Raya Negeri Sembilan tidak akan diadakan. Laporan berita itu sebenarnya diterbitkan ketika Negeri Sembilan berdepan ketidaktentuan politik, apabila Anwar menyatakan bahawa sebarang keputusan untuk mengadakan pilihan raya mengejut terletak di tangan Yang di-Pertuan Besar dan Dewan Undangan Negeri
"PRN Negeri Sembilan mungkin tidak diadakan - PM Anwar," bunyi teks pada sebuah video TikTok dikongsi pada 13 Julai 2026.
Klip yang diambil daripada laporan berita Astro Awani itu memaparkan seorang penyampai berita melaporkan kenyataan Anwar mengenai ketidaktentuan politik di Negeri Sembilan.
"PMX dah takot ke tu?," tulis teks pada siaran itu. "Haritu cakap tak takut dengan BN, tapi takut dengan PAS rupanya," tambah teks itu lagi.
Klip sama turut dikongsi di TikTok dan Facebook, selepas Pakatan Harapan mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor pada 11 Julai (pautan arkib).
"Aku dah siap bersedia nak mengundi ni," kata seorang pengguna TikTok. Seorang lagi pengguna berkata: "Takut la tu, dah kecundang teruk kat Johor."
Namun, video yang beredar dalam talian itu diambil daripada berita disiarkan beberapa bulan sebelum PRN Johor.
AFP tidak menemui sebarang laporan rasmi yang menyatakan Anwar atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penangguhan atau pembatalan PRN Negeri Sembilan yang dijangka diadakan pada 1 Ogos.
Carian imej terbalik di Google pada klip TikTok itu membawa kepada satu video YouTube yang dimuat naik oleh Astro Awani pada 28 April (pautan arkib).
Menurut kapsyen siaran itu: "Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan berkemungkinan tidak diadakan susulan ketidaktentuan politik yang sedang berlaku di negeri itu. Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bergantung kepada keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir."
Pentadbiran Negeri Sembilan dilanda krisis politik pada 27 April apabila kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO menarik balik sokongan mereka terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun (pautan arkib).
Pada 5 Jun, DUN Negeri Sembilan dibubarkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar, sekali gus memberi laluan kepada PRN ke-16.
Pada 14 Julai, Anwar telah mengumumkan senarai calon gabungan PH yang akan bertanding, susulan kekalahan di Johor.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami