Video letusan gunung berapi Anak Krakatau di Indonesia hasil janaan AI

Gunung berapi Anak Krakatau di Indonesia meletus pada awal Julai, memuntahkan kepulan abu yang menjulang ratusan meter ke udara, namun satu video yang tular di media sosial mendakwa memaparkan letusan itu sebenarnya dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI). Agensi Pengurusan Bencana Nasional dan Agensi Geologi negara itu menyangkal klip tersebut, yang disifatkan sebagai "berita palsu" dan telah tersebar dalam talian sejak November 2025.

"terkini..Anak krakatau diselat sunda..dah mula aktif..bakal meletus..," tulis kapsyen Facebook dikongsi pada 6 Julai 2026. 

Video itu memaparkan beberapa individu di atas bot menggunakan telefon bimbit mereka untuk merakam kejadian letusan gunung berapi yang menyebabkan langit bertukar warna merah dan biru. Suara latar belakang yang kononnya memberi amaran tentang kejadian gunung berapi itu turut didengari.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 13 Julai 2026 dengan tanda X merah dan label AI ditambah AFP

Video itu juga dikongsikan dalam siaran sama di TikTok dan Facebook. Ia muncul beberapa hari selepas Agensi Geologi Indonesia menaikkan status amaran gunung berapi itu daripada Tahap II kepada Tahap III -- iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat negara itu -- susulan peningkatan aktiviti gunung berapi (pautan arkib di sini dan di sini).

Gunung berapi Anak Krakatau merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia dan letusan serta runtuhan susulan pada 22 Disember 2018 telah mencetuskan tsunami dahsyat yang meragut lebih 400 nyawa mencederakan ribuan cedera (pautan arkib).

Pihak berkuasa mewujudkan zon larangan di sekitar gunung berapi itu pada awal Julai selain memberi amaran kepada penduduk tempatan, nelayan dan pelancong supaya menjauhi kawasan tersebut berikutan risiko letusan.

Namun, video yang beredar itu tidak menunjukkan gunung Anak Krakatau meletus.

Media tempatan melaporkan beberapa kejadian letusan selepas video itu muncul pada 7 dan 8 Julai yang memaparkan ia memuntahkan kepulan abu hingga ratusan meter ke udara (pautan arkib di sini dan di sini).

Video palsu

Agensi Mitigasi Bencana Nasional Indonesia dan Agensi Geologi di bawah kementerian tenaga kedua-duanya menyifatkan klip itu sebagai "berita palsu" (pautan arkib di sini dan di sini).

Agensi Geologi turut menyertakan gambar-gambar tulen yang menunjukkan letusan terkini dirakam menggunakan kamera pemantauan.

Image
Tangkapan skrin dari kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsi Agensi Geologi Indonesia menunjukkan letusan pada 2 Julai dan 3 Julai

Hasil carian imej terbalik dan kata kunci menemui klip yang sama -- walaupun tanpa audio -- telah dimuat naik ke TikTok pada 5 November 2025.

Sebahagian daripada kapsyen yang panjang itu berbunyi, "Letusan Krakatau: Hujan Lava di Laut Semasa Perjalanan Bot Kami". Klip TikTok itu juga memaparkan label janaan AI. 

Analisis lebih dekat mendapati klip itu mempunyai tanda-tanda ralat visual yang merupakan tanda jelas kandungan hasil janaan AI.

Letusan itu tidak kelihatan pada skrin telefon yang kononnya merakam kejadian itu. Selain itu, letusan itu sendiri kelihatan tidak semula jadi dengan kepulan asap yang berubah warna daripada ungu terang kepada merah dan kemudiannya jingga.

Image
Tangkapan skrin video dikongsi secara salah, dengan tanda ralat visual ditanda AFP

Satu analisis menggunakan alat pengesanan DeepFake-o-Meter daripada Universiti at Buffalo menunjukkan bahawa kebarangkalian kedua-dua klip dan audionya dihasilkan oleh AI adalah "tinggi" (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin hasil analisis DeepFake-o-Meter

AFP sebelum ini menyangkal maklumat salah mengenai fenomena letupan gunung berapi.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami