Siaran palsu kongsi berita rekaan tentang kemunculan harimau di padang golf
- Diterbitkan pada hari 06/08/2026 jam 09:12
- Dikemas kini pada hari 06/08/2026 jam 10:08
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi MAMAT, AFP Malaysia
Kelibat harimau Malaya di luar habitat semula jadinya telah dilaporkan beberapa kali pada tahun ini, namun, satu laporan berita yang mendakwa haiwan tersebut berkeliaran di sebuah padang golf adalah palsu. Laporan itu direka menyerupai muka hadapan akhbar Utusan Malaysia, yang telah menafikan pernah menerbitkan artikel sedemikian. Kelab golf yang didakwa sebagai lokasi kejadian turut menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan bahawa tiada sebarang penampakan harimau berlaku di premis berkenaan.
"Harimau Muncul di Padang Golf Bukit Unggul, Pemain Cemas Permainan Dihentikan Serta-Merta," bunyi tajuk laporan sebuah artikel yang kononnya dalam bentuk muka depan akhbar Utusan Malaysia.
Laporan yang dikongsi di Facebook pada 30 Julai 2026 itu mendakwa kehadiran seekor harimau dipercayai berkeliaran di kawasan padang golf di Sepang. Satu imej yang memaparkan seekor harimau sedang berjalan merentasi padang golf tersebut turut disertakan.
Ia juga dikongsi dalam siaran serupa di Facebook.
Harimau Malaya merupakan spesies yang amat terancam, dengan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) menganggarkan kurang daripada 150 ekor masih hidup di habitat semula jadi (pautan arkib).
Menurut ahli konservasi, pemburuan haram, kehilangan habitat dan konflik antara manusia dengan hidupan liar yang semakin meningkat merupakan ancaman serius terhadap populasi harimau tempatan itu (pautan arkib).
Harimau Malaya telah beberapa kali dilaporkan muncul di luar habitat semula jadinya, termasuk di lebuh raya, berhampiran sungai yang terletak dekat dengan kawasan kediaman, serta di kawasan ladang (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).
Namun, dakwaan bahawa seekor harimau Malaya dilihat berkeliaran di sebuah padang golf adalah tidak benar. Laporan berita yang kononnya melaporkan kejadian tersebut pula hanyalah rekaan semata-mata.
Carian kata kunci di Google membawa kepada satu artikel yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia pada 30 Julai yang menafikan penerbitan laporan tular itu (pautan arkib).
"Utusan Malaysia kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama akhbar ini untuk menyebarkan berita-berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran awam," katanya.
Perbandingan antara laporan rekaan itu dengan muka hadapan tulen Utusan Malaysia mendapati beberapa perbezaan pada kepala akhbar, warna latar belakang halaman serta penjajaran teks.
Carian kata kunci seterusnya membawa kepada satu kenyataan berasingan dikeluarkan oleh Bukit Unggul Country Club di laman Facebook rasmi pada 30 Julai, yang menyifatkan laporan yang tersebar itu sebagai "palsu" (pautan arkib).
"Tiada sebarang kejadian sedemikian berlaku di padang golf kami. Laporan polis telah dibuat berhubung penyebaran maklumat palsu ini," katanya.
AFP menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk mendapatkan komen, namun tidak menerima sebarang maklum balas sehingga artikel ini diterbitkan.
Kandungan berbentuk berita rekaan sering digunakan untuk menyebarkan dakwaan palsu.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami