Siaran kongsi grafik berita palsu menjelang PRN Negeri Sembilan
- Diterbitkan pada hari 03/08/2026 jam 09:31
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Najmi MAMAT, AFP Malaysia
Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, dua grafik palsu tersebar yang mendakwa kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) telah ditamatkan, manakala satu lagi siaran palsu berkaitan keputusan undi awal. Grafik pertama memaparkan kenyataan yang kononnya dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, namun pejabat beliau memaklumkan kepada AFP bahawa grafik tersebut adalah "palsu". Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menafikan infografik kedua dan menjelaskan bahawa undi awal hanya dikira selepas selesai proses pengundian biasa.
"Macam ni lah baru betul-betul presiden Melayu Islam," bunyi kapsyen siaran Facebook yang kononnya berbentuk grafik berita dikongsi pada 28 Julai 2026.
Grafik yang memaparkan logo akhbar Utusan Malaysia itu turut memaparkan gambar Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Zahid Hamidi, yang disertakan dengan teks berbunyi: "Kenyataan Sanusi: UMNO sedia tamatkan kerjasama, seru ahli 'usah undi PN'."
Zahid, pengerusi Barisan Nasional (BN), membentuk persefahaman politik bersama Perikatan Nasional (PN) dengan tujuan yang disifatkan sebagai "merampas pentadbiran negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH)" (pautan arkib disini dan disini).
Kenyataan yang didakwa diulas oleh Zahid itu adalah kononnya sebagai respons kepada ucapan kempen oleh pengarah pilihan raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor yang menyebut 'Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand' (pautan arkib).
Satu lagi infografik mengenai PRN Negeri Sembilan turut dimuat naik di Facebook pada 29 Julai.
Infografik berbentuk poster itu menunjukkan gabungan PN mendahului dalam keputusan kiraan undi awal berserta kapsyen berbunyi: "Alhamdulillah keputusan pengundi awal tentera dan polis PRN NSembilan amat membanggakan."
Grafik tersebut dikongsi beberapa hari sebelum PRN Negeri Sembilan. Pentadbiran negeri itu dilanda krisis politik pada 27 April apabila kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO menarik balik sokongan mereka terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun (pautan arkib).
Pada 5 Jun, DUN Negeri Sembilan dibubarkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar, sekali gus memberi laluan kepada PRN ke-16.
Siaran terbabit juga muncul di akaun lain di Facebook, Instagram dan TikTok.
"Nampak tak permainan diaorang saja lagakan org melayu," tulis seorang pengguna di ruangan komen. Sementara yang lain berkata: "Zahid lebih pentingkan kedudukannya, bukan penyatuan Melayu."
Kedua-duanya grafik itu bagaimanapun adalah palsu.
Berita rekaan
Seorang jurucakap bagi pihak Zahid memberitahu AFP pada 29 Julai bahawa dakwaan yang tersebar itu adalah "palsu" dan timbalan perdana menteri tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Zahid juga memberitahu media bahawa BN tidak perlu menamatkan kerjasama pilihan rayanya bersama PN susulan ucapan kontroversi Sanusi itu (pautan arkib).
Selain itu, Utusan Malaysia menafikan penerbitan laporan itu dalam satu siaran artikel pada 28 Julai (pautan arkib).
"Tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyalahguna logo Utusan Malaysia yang telah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pembaca, amat dikesali," katanya.
Hasil gabungan carian imej terbalik dan kata kunci di Google mendapati imej Zahid itu telah diterbitkan sejak 20 November 2022 (pautan arkib).
Gambar tersebut digunakan dalam satu artikel Utusan Malaysia yang bertajuk "BN tidak pernah berunding bentuk kerajaan PN". Artikel itu sebenarnya mengenai penafian Zahid bahawa BN tidak pernah sama sekali berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan menubuhkan kerajaan pada waktu itu bersama PN.
Maklumat palsu
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pula menolak grafik yang kononya menunjukkan keputusan undi awal dan menyifatkan infografik yang tersebar itu sebagai "maklumat palsu" dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi pada 29 Julai (pautan arkib).
"SPR ingin memaklumkan bahawa proses kiraan pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 hanya akan bermula pada jam 5.00 petang, 1 Ogos 2026 (selepas selesai urusan pengundian)," katanya.
AFP sebelum ini telah menyangkal dakwaan membabitkan berita akhbar Utusan Malaysia dan grafik palsu.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami