Gambar ini telah tersebar di dalam laporan tahun 2014 mengenai bahagian dalam sebuah kilang di China

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Isnin 27/07/2020 pukul 11:50
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Satu gambar telah dikongsi ribuan kali di pelbagai catatan pada Jun 2020 di Facebook bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan keadaan kebersihan yang buruk di dalam sebuah kilang pembuatan bihun di Malaysia. Dakwaan itu tak benar. Gambar ini telah tersebar di dalam laporan mengenai sebuah kilang di China sejak sekurang-kurangnya tahun 2014.

Gambar tersebut diterbitkan di sini di Facebook pada 26 Jun 2020. Ia telah dikongsikan melebihi 6,400 kali.  

Gambar itu menunjukkan beberapa lelaki yang berkaki ayam duduk dan baring di atas bihun yang terletak di atas lantai.

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan yang diambil pada 22 Julai 2020

Sebahagian daripada keterangan catatan yang panjang menyatakan: “Betapa kotor nya. Produk buatan sikafir ni.
Antara jenama bihun dari syarikat KBB Resources ini adalah ...”

Kafir merupakan istilah yang sering digunakan untuk merujuk kepada orang yang tidak beriman dalam Islam.

KBB Resources Berhad (KBBR), kini dijenama semula sebagai EKA Noodles Berhad, adalah sebuah syarikat Malaysia yang menghasilkan beras dan mee lain.

Syarikat ini telah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Menurut laman web kerajaan Malaysia di sini, makanan yang halal bermaksud “halal untuk dimakan oleh orang Islam dan dibenarkan dalam agama mereka sebagai makanan yang disebut untuk dimakan”. 

Gambar itu juga telah dikongsikan lebih daripada 9,400 kali setelah ia muncul di sini, sini dan sini di Facebook bersama-sama dakwaan yang mencadangkan bahawa gambar tersebut telah ditangkap di sebuah kilang berhampiran kandang babi – binatang yang haram di sisi Islam. Catatan-catatan tersebut merujuk kepada syarikat yang sama.

Dakwaan-dakwaan itu tak benar.

Dalam responnya kepada catatan-catatan itu, EKA Noodles Berhad telah menyangkal dakwaan tersebut di dalam e-mel berbahasa Inggeris kepada AFP bertarikh 22 Julai 2020, dengan memanggilnya “berita palsu”.

“Gambar itu bukan milik syarikat kami,” kata wakil syarikat itu.

Laporan berita dari China

Gambar di dalam catatan-catatan yang mengelirukan telah tersebar sejak tahun 2014 di dalam laporan mengenai sebuah kilang di China.

Carian imej terbalik di Google menjumpai gambar yang sama diterbitkan di sini di dalam sebuah laporan pada 10 Jun 2014 di laman web Sina, yang berpusat di China, yang mengkreditkan Berita Petang Yangcheng

Tajuk laporan itu, diterjemahkan dari tulisan Cina ringkas ke bahasa Malaysia, menyatakan: “‘Bihun kaki busuk’ Dongguan, ini sukar dipercayai! Syarikat yang terlibat telah ditutup untuk pembaikan.”

Sebahagian daripada laporan itu menyatakan: “Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Dongguan mendedahkan pada 9 haribulan bahawa syarikat yang terlibat adalah Kilang Produk Beras Tongcheng Daojiao. Gambar tersebut diambil sebelum Perayaan Tahun Baru Cina pada 2014. Para pekerja yang telah didedahkan di dalam gambar-gambar itu telah meletak jawatan. Sekarang, syarikat itu telah diarahkan untuk menggantung perniagaan untuk pembaikan, tiada pengeluaran makanan dibenarkan sehingga tindakan pembaikan dilaksanakan.”

Daojiao ialah sebuah bandar di wilayah Guangdong, China. 

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin antara gambar dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan artikel Berita Petang Yangcheng dari 2014 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara gambar dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan artikel Berita Petang Yangcheng dari 2014 (kanan)

Ia juga diterbitkan di dalam laporan yang sama oleh penyiar Perancis France24 di sini dan surat khabar dalam talian dari UK, MailOnline di sini

Tuduhan mengenai kandang babi?

Dakwaan bahawa gambar tersebut diambil di sebuah kilang berhampiran sebuah kandang babi boleh dijejak balik ke tahun 2013. 

KBBR menafikan dakwaan di dalam laporan bertarikh 2 November 2013 ini oleh penyiar Malaysia, Astro Awani. 

Artikel tersebut berjudul: “Kilang nafi proses bihun dan laksa berhampiran kandang babi.” 

Sebahagiannya menyatakan: “Kilang Bihun Bersatu Resources Berhad (KBBR) menafikan pihaknya memproses bihun dan laksa berhampiran sebuah ladang babi dan menegaskan dakwaan di beberapa laman sosial tidak berasas dan berunsur fitnah.”

Erwan Tahir, bekas ketua jawatankuasa audit di KBBR, juga menafikan dakwaan tersebut di dalam catatan Facebook ini yang diterbitkan pada 20 Januari 2020.

Sebahagian catatan itu menyatakan: “Sejak minggu lepas telah tular satu berita tentang Kilang Bihun yang beroperasi bersebelahan kandang babi di Pulau Pinang yang menimbulkan perasaan yang agak kurang senang kepada masyarakat terutamanya yang beragama Islam di negara kita.

“Kilang Bihun Beras Indah (KBBI) yang beroperasi di sebelah kandang babi itu dikatakan adalah milik saya.

“Untuk makluman, nama syarikat saya adalah KBB Resources Berhad dan telah ditukar nama kepada EKA Noodles Berhad. Saya tidak pernah memiliki syarikat Kilang Bihun Beras Indah (KBBI) sepertimana yang ditularkan itu dan ini adalah satu tuduhan yang tidak berasas dan fitnah semata-mata terhadap diri dan nama baik saya serta syarikat saya.” 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami