Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg menyampaikan ucaptama pembukaan di Persidangan Facebook F8 di San Jose, California, pada 30 April 2019. (AFP / Amy Osborne)

Komen dengan perkataan ‘gratula’ di Facebook tidak akan mengesahkan bahawa akaun anda ‘selamat’, kata Facebook

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai catatan di Facebook yang dikongsi ribuan kali mendakwa bahawa dengan menaip perkataan “gratula” ke dalam ruangan komen Facebook akan membantu mengesahkan sama ada keselamatan akaun anda “selamat”. Dakwaan itu tak benar. Facebook berkata platformnya tidak menggunakan kaedah sedemikian untuk menunjukkan sama ada akaun pengguna “selamat”.

Dakwaan tersebut diterbitkan di sini di Facebook pada 20 Julai 2020. Ia telah dikongsikan melebihi 1,000 kali.  

Catatan teks itu disertakan dengan gambar Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg dan dua tangkapan skrin lain yang menunjukkan para pengguna Facebook membuat komen “Gratula”.

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 22 Julai 2020

Keterangannya menyatakan: “Terbaikla.Mark zuckerberg ketua pegawai eksekutif facebook mencipta perkataan baru GRATULA untuk memastikan akaun facebook anda dlm keadaan selamat. Taip GRATULA dalam komen jika merah,akaun anda masih selamat.jika ia tidak bertukar kepada warna merah, sila tukar kata laluan facebook anda.akaun anda sudah di hack!

“Congratulations kpd yg warna merah.”

Dakwaan yang sama telah dikongsikan lebih daripada 6,300 kali setelah diterbitkan di pelbagai catatan Facebook di sini, sini dan sini. Beberapa catatan berasal dari tahun 2018.

Dakwaan tersebut tak benar, kata Facebook.

Seorang jurucakap syarikat Facebook memberitahu AFP melalui e-mel pada 22 Julai 2020 dengan menyatakan: “Ada perkataan di Facebook yang beranimasi atau dikodkan dengan warna di dalam Suapan Berita (News Feed). Membuat catatan menggunakan perkataan tertentu ke Facebook tidak akan melindungi akaun anda. Keselamatan dibina ke dalam setiap produk Facebook dan kami menawarkan beberapa ciri keselamatan, seperti amaran log masuk dan pengesahan dua faktor, untuk membantu anda menambahkan lapisan perlindungan tambahan kepada akaun anda. Kami menggalakkan semua orang untuk mengkaji semula dan mengemas kini tetapan keselamatan mereka. Maklumat lebih lanjut ada (tersedia) di sini.”

Pengguna Facebook juga boleh melaporkan masalah yang berlaku di akaun mereka di sini.

“Gratula” bukan perkataan baru. Ia bermaksud “tahniah” dalam bahasa Hungary.

AFP pernah membongkar beberapa dakwaan dalam pelbagai bahasa berkaitan dengan platform Facebook. Catatan tersebut termasuk: taktik penipuan di Nigeria untuk meningkatkan para pengikut Facebook, bayaran yang dikatakan diperlukan untuk penggunaan Facebook, dasar baru yang memberi Facebook akses penuh kepada kandungan pengguna, dan tipu helah ini mengenai penggodam Facebook.