Jemaah haji mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram di Makkah, Arab Saudi, semasa ibadah haji pada 17 Julai 2021. ( AFP / Fayez Nureldine)

Penerbangan di atas Kaabah bukan dilarang kerana 'daya tarikan magnetik'

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Catatan-catatan Facebook mendakwa bahawa mustahil untuk kapal terbang — ataupun burung — untuk terbang di atas Kaabah kerana tempat paling suci bagi umat Islam itu adalah "pusat tarikan magnet". Tetapi, dakwaan itu tidak benar. Penerbangan di atas Makkah dilarang atas alasan keagamaan, bukan saintifik, kata para pakar geofizik dan pegawai penerbangan awam kepada AFP.

Dakwaan itu dimuat naikkan pada 15 Mac 2021 di sini di Facebook, di mana ia telah dikongsi lebih daripada 2,400 kali.

Sebahagian daripada keterangan panjang itu mengatakan bahawa "dilarang terbang di atas Kaabah dan tidak ada lapangan terbang di Mekah" kerana "ia adalah pusat tarikan magnet" dan "memang disahkan oleh sains bahawa pesawat dan burung tidak dapat terbang di atas Ka'bah kerana daya tarikan magnet."

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 27 Julai 2021

Kaabah terletak Masjidil Haram di Makkah.

Dakwaan itu juga muncul di sini dan sini, di mana ia telah dikongsikan lebih daripada 2,300 kali.

Dakwaan tersebut juga telah dikongsi ribuan kali dalam bahasa Inggeris di sini, sini dan sini; bahasa Perancis di sini dan sini;  bahasa Arab di sini; bahasa Portugis di sini; dan bahasa Sepanyol di sini.

Tiada anomali magnetik di Makkah

Dakwaan itu tidak benar.

Julien Aubert, penyelidik dinamik cecair geologi di Institut de Physique du Globe de Paris (IPGP) berkata bahawa bumi mempunyai medan magnet yang "berasal dari teras cecair di pusatnya" dan "bukan di Makkah".

Magnetisme adalah medan daya yang bertindak pada sebarang objek bermagnet, menurut Vincent Lesur, seorang penyelidik dalam topik geomagnetisme di IPGP.

Anomali magnet memang wujud di bumi tetapi walaupun terdapat pemetaan dan pengukuran secara meluas, para saintis tidak menemui "sesuatu yang khusus kepada Makkah," tambah Aubert.

Katakanlah terdapat anomali magnetik, tidak mustahil untuk burung atau pesawat terbang di atasnya, katanya.

"Gangguan magnetik tidak menghalang pesawat daripada terbang," kata Aubert. "Paling teruk, gangguan ini dapat menyekat kompas, tetapi kapal terbang menggunakan sistem geolokasi yang lebih moden." 

Larangan keagamaan

Penerbangan di atas bandar suci Arab Saudi dilarang atas alasan keagamaan, kata para pakar penerbangan kepada AFP.

Kesatuan Kebangsaan Juruterbang Syarikat Penerbangan Perancis (SNPL) berkata larangan penerbangan itu dipertahankan oleh pihak berkuasa Arab Saudi atas "alasan ideologi [dan] tanda hormat kepada Kaabah".

Oleh kerana Makkah dianggap suci, hanya umat Islam dibenarkan masuk ke dalam bandar itu. Larangan tersebut juga merangkumi ruang udara di atas bandar, kata SNPL lagi.

Pihak Penguasa Am bagi Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) dan Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan tidak membalas permintaan untuk komen.

Namun begitu, di laman web GACA, dokumen ini menggariskan bahawa terdapat "sekatan penerbangan berhampiran penjaga dua masjid suci dan pihak lain", iaitu merujuk pada Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. 

Larangan itu memperincikan bahawa "tidak ada sesiapa pun yang boleh mengendalikan kapal terbang di atas atau di sekitar mana-mana kawasan yang akan dilawati atau dilalui oleh penjaga dua masjid suci, atau tokoh awam yang lain bertentangan dengan sekatan yang ditetapkan oleh presiden dan diterbitkan dalam Notice to Airmen (NOTAM)."

NOTAM tersebut disenaraikan di laman web Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan mereka memberitahu syarikat penerbangan tempat-tempat yang mereka tidak boleh lalui, serta syarat-syarat sebarang larangan penerbangan.

Terdapat beberapa pengecualian untuk larangan penerbangan di atas Makkah: helikopter boleh melintasi Makkah dan mendarat di sana, termasuklah daripada perlindungan awam.

AFP menerbitkan laporan ini pada 13 September 2016 yang memaparkan gambar-gambar dari jurugambar AFP yang terbang di atas Makkah. Ini adalah gambar lain dari wartawan yang sama dari sebuah helikopter yang "terbang di atas Mina berhampiran dengan bandar suci Makkah".

Laporan berita daripada media antarabangsa lain, termasuk penyiar antarabangsa Jerman, Deutsche Welle (DW) di sini dan saluran berita televisyen antarbangsa Arab Saudi, Al Arabiya di sini, menceritakan tentang helikopter mengelilingi Makkah untuk memantau keselamatan jemaah haji dan jemaah umrah.

Pihak berkuasa anti-khabar angin Arab Saudi sebelum ini pernah memuat naikkan video ini di mana seorang juruterbang dan pegawai navigasi Arab Saudi menjelaskan bahawa alasan larangan terbang di Makkah adalah untuk menghormati tempat-tempat suci dan tidak mengganggu jemaah di sana. 

4 Ogos 2021 Artikel ini dikemas kini untuk memperbetulkan tarikh penerbitan laporan AFP pada September 2016.
Marion LEFEVRE