A durian that has fallen onto netting at a farm in Malaysia's Pahang state. ( AFP / Mohd RASFAN)

Catatan media sosial sebar dakwaan tak sahih yang mengaitkan 'kematian vaksin Covid-19' dengan makan durian

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 27/07/2021 pukul 07:34
  • Dikemas kini pada hari Selasa 27/07/2021 pukul 08:03
  • Durasi bacaan 1 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Para pengguna Facebook di Malaysia berkongsi catatan yang memberi amaran kepada orang ramai agar tidak makan durian sebelum atau selepas vaksinasi Covid-19 kerana ia boleh "membawa maut". Beberapa catatan tersebut juga mengongsikan gambar seorang lelaki yang kononnya meninggal dunia sehari selepas dia diberi vaksin kerana dia telah makan durian. Dakwaan itu tidak benar. Timbalan Menteri Kesihatan berkata bahawa amaran itu tidak mempunyai asas perubatan. Polis mengatakan bahawa pemeriksaan bedah siasat mendapati sebab kematian lelaki itu adalah penyakit jantung.

Dakwaan tersebut dikongsikan pada 23 Jun 2021 di Facebook di sini.

Catatan itu menyatakan: "KEPADA YANG MENGAMBIL VAKSIN, JANGAN MAKAN DURIAN SEBELUM DAN SELEPAS VAKSIN ."

Image
( Yenni KWOK)

Dakwaan itu juga dikongsi di Facebook dalam bahasa Cina di sini dan di sini .

Beberapa catatan, seperti di sini, sini dan sini, berkongsi gambar seorang lelaki yang memakai baju T-shirt merah jambu, dengan dakwaan ia menunjukkan lelaki yang telah disuntik vaksin dan kononnya meninggal dunia selepas makan durian.

Dakwaan itu tidak benar.

"Tidak termaktub dalam buku perubatan tak boleh makan durian selepas cucuk (vaksin), itu tidak betul," kata Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali, yang dipetik oleh media di sini dan sini.

Kementerian Kesihatan memuat naikkan catatan ini pada 23 Jun 2021, yang mengatakan bahawa dakwaan tersebut mengenai pemakanan durian sebelum atau selepas vaksinasi adalah "berita palsu".

Kenyataan itu juga dikongsikan di laman Facebook rasmi KKM di sini.

Lelaki dalam foto itu adalah Cheah Kum Seng, 49, yang pengsan ketika membeli makanan di sebuah restoran dan kemudiannya disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 21 Jun 2021, menurut laporan berita di sini dan sini.

Dalam kenyataan media yang dihantar kepada AFP pada 26 Julai 2021, ketua polis daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, menjelaskan bahawa pemeriksaan bedah siasat lelaki tersebut pada 22 Jun 2021 mendapati "sebab kematian adalah 'ischemic heart disease'", atau penyakit jantung iskemik.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," tambahnya lagi.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami