Video ini menunjukkan kad vaksinasi buatan syarikat percetakan tempatan dan tidak diluluskan oleh kerajaan

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 11/08/2021 pukul 09:57
  • Dikemas kini pada hari Khamis 12/08/2021 pukul 07:49
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Satu video beredar di Facebook dan TikTok bersama-sama dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan kad vaksinasi Covid-19 ialah "sijil asal" untuk orang yang lengkap vaksinasi. Dakwaan itu mengelirukan. Sebuah syarikat perkhidmatan percetakan di Selangor mengesahkan bahawa ia merakam video tersebut untuk mempromosikan perkhidmatan mencetak kadnya. Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) mengatakan bahawa kerajaan tidak mengeluarkan "sijil vaksinasi fizikal" bagi mereka yang telah lengkap vaksinasi Covid-19.

Video berdurasi satu minit dan 10 saat itu dimuat naikkan pada 23 Julai 2021 di Facebook di sini.

Kapsyennya menyatakan: "Siapa yang dah kena vaksin tu,ni adalah ID KAD anda sijil original senang di bawa mana,siap jenama apa lagi korang di vaksin masa tu.. harap jodoh ku sama brand la nanti."

Image
Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 29 Julai 2021

Seorang wanita kedengaran berkata: "OK, ini adalah ID kad yang dah siap, saiz standard macam [tidak dapat didengar] kad itu, senang nak bawa ke mana-mana ya. Ini adalah sijil original yang kita print daripada MySejahtera. So, dia akan print ikut apa yang pemilik sijil dapat. Kalau Pfizer ke, Sinovac ke, Astrazeneca ke, ikut. Contohnya, macam ini, dia Sinovac… yang ini Pfizer… ID kad."

Video tersebut telah ditonton lebih daripada 198,000 kali setelah ia dikongsikan dengan dakwaan serupa di sini dan sini, dan dalam bahasa Cina di sini.

Video yang sama juga muncul dengan dakwaan serupa di TikTok di sini dan sini.

Dakwaan itu mengelirukan.

Carian kata kunci di Facebook menjumpai video yang sama di Facebook di sini, dimuat naikkan oleh Binalia Printing & Trading, sebuah syarikat perkhidmatan percetakan di Selangor, pada 23 Julai 2021.

Kapsyen catatan itu berbunyi: "Kepada diluar sana
*Sijil di cetak oleh my sejahtera anda sahaja
*Dilarang meminta edit sama sekali
*Boleh dicetak kepada yang sudah lengkap dua dos sahaja
Disclaimer: kami tidak menerima TEMPAHAN kad masuk ke syurga ataupun kad anti vaksin
TERIMA KASIH ".

Sejak pelancaran program imunisasi Covid-19, MySejahtera, aplikasi mudah alih rasmi daripada kerajaan, juga berfungsi menyimpan rekod vaksinasi, mengesan kontak rapat Covid-19 dan memaparkan sejarah hasil ujian Covid-19.

Apabila dihubungi AFP pada 6 Ogos 2021, Binalia Printing & Trading mengesahkan bahawa video dan reka bentuk kad adalah miliknya.

Syarikat itu mengatakan bahawa para pelanggan juga boleh minta reka bentuk mengikut tempahan, seperti cetak foto mereka di satu sisi kad.

Tambah syarikat itu lagi, "Yang penting (adalah bahagian) belakang itu sijil original yang diprint dari MySejahtera."

Syarikat tersebut juga memuat naikkan gambar pelbagai jenis kad vaksinasi plastik pada hari yang sama di sini, dan menyatakan bahawa kad "lebih mudah bawa ke mana-mana".

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menciapkan ini pada 23 Julai 2021.

Ciapan itu menyatakan: "Tiada kad sijil vaksinasi fizikal. Hanya sijil digital di MySejahtera dan kad vaksinasi yang diterima di PPV. Sijil vaksinasi digital juga boleh dicetak sendiri nanti."

"Kad vaksinasi" yang disebut dalam ciapan ialah kad kertas yang diisi menggunakan tangan oleh profesional perubatan di pusat vaksinasi, seperti ini atau ini.

Khairy Jamaluddin, menteri sains, teknologi dan inovasi dan pengerusi bersama JKJAV, juga memberikan penjelasan yang sama dalam sidang media pada hari yang sama di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami