Video ini menunjukkan panggilan azan di sebuah konsert di Kolej Eton, England

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton ribuan kali di Facebook, Twitter dan YouTube dengan dakwaan bahawa ia memaparkan panggilan azan berkumandang di sebuah gereja terkenal di Sepanyol. Dakwaan itu tak benar: panggilan azan itu sebenarnya adalah sebahagian sebuah konsert di Kolej Eton, di England, pada tahun 2014.

Video berdurasi lima minit dan 49 saat itu dimuat naikkan di Facebook di sini pada 5 Ogos 2021, di mana ia telah ditonton lebih daripada 2,400 kali.

Kapsyennya menyatakan: "Ini adalah gereja di Sepanyol yang dulu disebut Masjid Katedral Cordoba. Masjid yang diubah menjadi gereja setelah runtuhnya kerajaan Andalusia namun para muazzin tetap datang setiap hari pada masuknya waktu solat untuk mengumandangkan azan walaupun ianya telah diubah menjadi gereja.

"......walaupun ketika itu orang Kristian sedang berdoa namun mereka menghormatinya dengan berdiam diri sehingga akhir laungan azan."

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 26 Ogos 2021

Masjid-Katedral Cordoba telah ditukarkan menjadi katedral Katolik pada abad ke-13. Ia juga dikenali sebagai Masjid Agung Cordoba disebabkan statusnya sebagai bekas rumah ibadat orang Islam.

Video itu telah ditonton lebih daripada 4,400 kali setelah dikongsi bersama-sama dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia, bahasa Arab dan bahasa Somali di Facebook; serta bahasa Inggeris di YouTube.

Rakaman dan dakwaan itu juga muncul di Twitter.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar.

Carian imej terbalik di Google, dengan menggunakan tangkapan skrin keyframes video itu, menjumpai video yang lebih panjang telah dimuat naikkan di YouTube di sini pada 7 Disember 2014 oleh Hassen Rasool.

Rasool menggambarkan dirinya sebagai "artis" dan "vokalis lagu berunsur kerohanian" di akaun Twitternya dan akaun Instagramnya.

Video berdurasi enam minit dan 53 saat itu bertajuk: "Hassen Rasool - Panggilan Untuk Berdoa Diraja Dari Eton, England - The Armed Man - Azan Terindah".

Keterangan penuh video tersebut menyatakan: "Seruan untuk Berdoa oleh Hassen Rasool yang gembira diminta untuk melaungkan Azan di kalangan Persatuan Koir Windsor dan Eton di Dewan Sekolah Eton pada 27 September 2014.

"The Armed Man (Lelaki Bersenjata), karya Karl Jenkins, berserta Mass in Time of War, karya Haydn, dipersembahkan untuk memperingati ulang tahun ke-100 permulaan Perang Dunia Pertama, Persatuan Koir Windsor dan Eton dengan bangga mempersembahkan dua karya nyanyian koir yang mengagumkan dengan Azan (Panggilan Untuk Berdoa) terletak di antara keduanya, memberikan kontras yang ketara pada malam muzik dan kerohanian yang menggembirakan dan penuh inspirasi."

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube yang asli (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube yang asli (kanan)

Dewan Sekolah adalah sebahagian daripada Kolej Eton, sebuah sekolah berasrama penuh untuk budak lelaki di Eton, di daerah Berkshire, England.

Foto Dewan Sekolah di Eton, diterbitkan di sini di laman web rasmi Festival Windsor, menunjukkan bahagian dalaman yang padan dengan apa yang dilihat dalam video.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan (kiri) dan imej di laman web Festival Windsor (kanan), dengan ciri-ciri sepadan dibulatkan oleh AFP:

Perbandingan tangkapan skrin video di catatan mengelirukan (kiri) dan imej di laman web Festival Windsor (kanan)

Membalas pertanyaan AFP pada 28 Ogos 2021, Rasool berkata bahawa video itu "dirakam di Kolej Eton di England dan bukan di Sepanyol. Dakwaan yang beredar yang mengatakan bahawa ia berlaku di Sepanyol adalah tidak betul."

Konsert bulan September 2014 itu juga didokumentasikan di sini di laman web rasmi Persatuan Koir Windsor & Eton, yang menyenaraikan semua konsert dan pemuzik solo mereka sejak tahun 1985.

Berikut adalah tangkapan skrin laman web Persatuan Koir Windsor & Eton, dengan bahagian yang relevan ditandakan dalam warna merah oleh AFP:

Tangkapan skrin laman web Persatuan Koir Windsor & Eton