Ketua pegawai eksekutif Pfizer selesai terima dos kedua vaksin pada Mac 2021
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Jumaat 27/08/2021 pukul 11:21
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Malaysia, AFP Amerika Syarikat, AFP Nigeria
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Satu video telah dikongsikan pada 10 Ogos 2021 di Facebook di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 210 kali.
Video berdurasi 53 saat itu menampilkan foto dan klip temubual dengan Albert Bourla, ketua pegawai eksekutif Pfizer, syarikat farmaseutikal dan bioteknologi yang berpusat di Amerika Syarikat (AS).
Keterangan catatan itu berbunyi: "CEO Pfizer Sendiri TAK NAK Vaksin dengan Vaksin yamg dicipta... FIKIR²KANLAH…"
Rakaman bersama-sama dakwaan yang serupa juga telah ditonton lebih daripada 750 kali setelah tersebar di catatan Facebook ini, ini dan ini.
Tangkapan skrin klip itu dimuat naikkan dengan dakwaan serupa di sini dan sini.
Rakaman wawancara Bourla juga muncul dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris di Facebook di sini dan sini; serta dalam bahasa Indonesia di Instagram, di Facebook dan di YouTube.
Walau bagaimanapun, dakwaan itu mengelirukan kerana catatan-catatan tersebut bergantung pada maklumat yang sudah lapuk.
Video temubual yang asli disiarkan pada 14 Disember 2020 di sini di saluran YouTube CNBC Television, di mana Bourla ditemu ramah mengenai vaksin Covid-19 buatan syarikat yang dipimpinnya.
Adegan yang sama dengan rakaman video dalam catatan-catatan yang mengelirukan bermula dari minit ke-1:42.
Bertentangan dengan dakwaan catatan mengelirukan, Bourla menyatakan kesanggupannya untuk mendapatkan suntikan vaksin, tetapi bertambah lagi bahawa beliau akan mengikuti jadual yang disyorkan oleh kerajaan untuk orang ramai dalam kumpulan umurnya dan dengan profil kesihatannya.
"Sebaik sahaja saya boleh, saya akan melakukannya," kata Bourla. "Satu-satunya yang sensitif di sini adalah bahawa saya tidak mahu mennunjukkan contoh bahawa saya memotong barisan. Saya berumur 59 tahun, dalam keadaan yang sihat; saya tidak bekerja di barisan hadapan. Kumpulan saya tidak digalakkan untuk mendapatkan vaksinasi sekarang."
Pada 14 Disember 2020, AS memulakan program vaksinasi Covid-19 dan kumpulan pertama yang diberi vaksinasi adalah pekerja penjagaan kesihatan, seperti yang dilaporkan BBC di sini.
Dalam satu wawancara dengan CNN pada 14 Disember 2020, Bourla juga menyatakan bahawa dia belum lagi mengambil vaksin itu dan akan mengikuti saranan vaksinasi dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS yang memberikan keutamaan pertama kepada pekerja penjagaan kesihatan, diikuti orang lanjut usia berumur 75 tahun ke atas. Bourla tidak termasuk dalam dua kumpulan terpilih itu.
Pada 10 Mac 2021, Bourla memuat naikkan foto dirinya menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Twitter di sini.
Excited to receive my 2nd dose of the Pfizer/BioNTech #COVID19 vaccine. There's nothing I want more than for my loved ones and people around the world to have the same opportunity. Although the journey is far from over, we are working tirelessly to beat the virus. pic.twitter.com/ES05WPBLJA
— AlbertBourla (@AlbertBourla) March 10, 2021
Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, ciapannya berbunyi: "Teruja untuk menerima vaksin Pfizer/BioNTech #COVID19 dos kedua saya. Tiada yang lebih saya mahukan selain daripada orang yang saya sayangi dan orang ramai di seluruh dunia untuk mempunyai peluang yang sama. Walaupun perjalanan masih belum selesai, kami berusaha tanpa henti untuk mengalahkan virus."
Faith Salamon, jurucakap Pfizer, berkata kepada AFP: "Saya boleh mengesahkan Albert Bourla divaksinasi sepenuhnya."
Vaksin Covid-19 yang tersedia di Amerika Syarikat, termasuk yang dibangunkan oleh Pfizer dengan firma Jerman BioNTech, selamat dan berkesan, menurut CDC.
Gambar yang muncul dalam video yang mengelirukan adalah foto AFP yang diambil pada 19 Februari 2021, semasa Bourla menemani Presiden AS Joe Biden mengunjungi kilang pfizer di Michigan.
Pada kesempatan itu, Biden menggesa rakyat Amerika untuk mendapatkan vaksin, seperti yang dilaporkan di sini dan sini.
AFP pernah membongkar dakwaan yang serupa tentang Bourla pada Januari 2021 di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami