Video ini menunjukkan ahli politik India pengsan di atas pentas — beliau masih hidup

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.
 

Video seorang ahli politik India rebah semasa memberi ucapannya di satu perhimpunan telah ditonton ribuan kali di Facebook bersama-sama dakwaan bahawa beliau meninggal dunia di atas pentas. Dakwaan itu tidak benar; video itu menunjukkan Vijay Rupani, ketua menteri negeri Gujarat di India pada masa itu, pengsan semasa memberi ucapannya pada Februari 2021 tetapi beliau masih hidup.

Video berdurasi satu minit 24 saat itu dimuat naikkan pada 3 Mac 2021 di sini di Facebook, di mana ia telah ditonton melebihi 7,300 kali.

Video itu menunjukkan ahli politik India Vijay Rupani, yang berkhidmat sebagai ketua menteri negeri Gujarat sehingga beliau meletak jawatan pada September 2021, rebah di atas pentas ketika memberi ucapan.

Kapsyen hantaran itu berbunyi: "Chief Minister Gujarat India selalu dlm pidatonya memaki-maki Islam dan dlm satu acara yg cukup meriah di thn 2021 ini di bln ini ketika dia menghina Islam memaki- makinya dan tepuk tangan dari hadirin saat itu luar biasa , maka datanglah balasan Allah seketika dgn dicabut nyawanya,

"Azab ALLAH SWT Sangat Pedih." 

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 1 November 2021

 

Rupani, ahli politik kanan dari parti memerintah Parti Bharatiya Janata (BJP), terkenal kerana membuat kenyataan dan dasar Islamofobia.

Video itu turut beredar dengan dakwaan serupa di Facebook di sini, sini dan sini

Video itu juga dikongsikan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tak benar.

Carian imej terbalik, disusuli dengan carian kata kunci, mendapati video yang lebih panjang telah dimuat naikkan di sini di saluran YouTube saluran berita tempatan Connect Gujarat TV pada 14 Februari 2021.   

Video itu bertajuk, "Ketua menteri berasa pening di perhimpunan pilihan raya Vadodara, beliau jatuh pengsan semasa berucap di perhimpunan itu".

Klip dalam catatan yang mengelirukan tersebut diambil dari tanda 1:00 video asal.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan): 

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan)

Hindustan Times, akhbar harian di India, melaporkan bahawa Rupani pengsan di atas pentas ketika memberi ucapan di perhimpunan di bandar Vadodara, di Gujarat, pada 14 Februari 2021.

Menurut laporan itu, beliau diberi rawatan pertolongan cemas selepas beliau rebah dan kemudian diterbangkan ke ibu negeri, Ahmedabad, untuk pemeriksaan kesihatan.

Acara tersebut juga disiarkan secara langsung dari akaun Twitter rasmi Rupani: pada tanda 14:54, ketua menteri itu kelihatan berasa tidak sihat.

Menerusi ciapannya pada 15 Februari 2021, Rupani mengesahkan bahawa beliau telah diuji positif untuk Covid-19 dan sedang menjalani rawatan. 

Sehingga 30 Oktober 2021, Rupani masih aktif di media sosial, memuat naik foto-foto aktivitinya di India di akaun Facebook dan Instagram rasminya.